Friday 20 November 2015

KAPITALIS ADA DUA PARTI...RAKYAT BIASA PERLU PARTI SENDIRI !



‘Gajah sama Gajah berjuang, Pelanduk mati di tengah-tengah’, inilah situasi politik sistem dua parti dan akibatnya kepada rakyat biasa di negara ini. Sejak PRU-12, persaingan untuk kuasa pemerintahan antara BN dan Pakatan semakin sengit. Di tengah-tengah pertarungan kuasa ini, rakyat biasa terus dipinggirkan daripada manfaat pembangunan negara, dan ditindas dengan serangan demi serangan terhadap hak demokrasi dan sosial oleh kelas kapitalis.

Memandangkang kedua-dua BN dan Pakatan adalah pendokong tegar agenda sistem pasaran bebas kapitalisme, dengan keadaan ekonomi negara dan global yang semakin tidak stabil, rakyat akan terus terhimpit, sekalipun Pakatan mengambil alih kerajaan. Sejak 2008, kerajaan-kerajaan negeri yang ditubuhkan oleh Pakatan termasuk di Kelantan terus mengekalkan ‘status quo’ dan kerangka ekonomi dan sosial kapitalisme dengan beberapa perubahan kosmetik dalam pentadbiran. Isu-isu kos perumahaan tinggi, pembalakan tidak terkawal, gaji yang tidak adil untuk warga pekerja dan agenda kerakusan syarikat-syarikat nasional dan multinasional untuk keuntungan maksimum masih diteruskan oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan. Seperti dalam BN, Pakatan juga mengamalkan budaya politik dominasi kuasa dan pendekatan politik tidak demokratik, misalnya dalam konflik Menteri Besar Selangor dan Langkah Kajang. Seperti yang didedahkan ketika muktamar PAS yang lalu, kepimpinan PAS pula mempergunakan posisi ulama dan agama untuk menghalang hak bersuara dan demokrasi ahli, misalnya dalam isu konflik dengan DAP dan Pakatan. Parti-parti ini yang mempunyai agenda masing-masing yang tidak berlandaskan keperluan dan hasrat rakyat biasa, mempraktikkan politik bagi mendominasikan rakyat untuk berkuasa, bukannya membebaskan rakyat daripada rantai-rantai penindasan. Perpecahan Pakatan Rakyat membuktikan bahawa mereka lebih mementingkan agenda masing-masing daripada agenda rakyat biasa.

Pakatan Rakyat (PR) dikuburkan, dan Pakatan Harapan (PH) menjelma semata-mata untuk menumbangkan pemerintahan BN dalam PRU-14 yang dijangka dalam 3 tahun lagi. Dengan mengambil peluang konflik politik dalam UMNO dan kelemahan BN, PH berazam untuk membawa sebanyak parti politik, organisasi, kumpulan sivil dan individu yang inginkan perubahan kerajaan. Kepimpinan PAS yang tidak akan teragak-agak untuk berkomplot dengan UMNO, dan kini mengambil posisi oportunis ‘tunggu dan lihat’ juga masih diajak untuk bersama dengan PH walaupun sebelum ini konflik dalam PR adalah akibat agenda Hudud PAS. Beberapa ahli UMNO atau parti komponen dalam BN terutama di Sabah dan Sarawak juga mungkin akan melontarkan sokongan kepada PH untuk memastikan kuasa mereka terjamin, jika BN semakin lemah. Pendek kata, agenda utama PH adalah mengambil kuasa kerajaan daripada BN, dan mereka tidak akan teragak-agak untuk berpakat dengan mana-mana pihak asalkan mereka ingin menjatuhkan UMNO. Seperti dalam PRU-12 dan PRU-13, mereka akan mempergunakan kesempitan rakyat akibat polisi-polisi pro-kapitalis kerajaan BN untuk membawa slogan dan retorik populis bagi menarik sebanyak mungkin sokongan rakyat biasa dan anak muda.

Politik parti-parti pro-kapitalis amat kucar-kacir pada masa ini, dan ini boleh mewujudkan kemungkinan-kemungkinan oportunis yang lain menjurus ke PRU-14. Tekanan kepada Najib untuk meletakkan jawatan semakin kuat, dan ini boleh mewujudkan persaingan kuasa dalam kepimpinan UMNO yang mungkin mewujudkan perpecahan dalam UMNO. Jika Najib dan penyokongnya masih berganjak untuk terus berkuasa, maka faksi Mahathir, Tengku Razali dan Muhyidin mungkin akan mengadakan koloborasi dengan PH untuk menjatuhkan Najib. Seperti kata Lim Kit Siang, mereka sanggup untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk Mahathir untuk ‘selamatkan Malaysia’.

Banyak pengalaman sebelum ini telah menunjukkan bahawa dengan hanya meletakkan slogan atau nama ‘Rakyat’ atau ‘Harapan’ dalam suatu parti atau koalisi, isu-isu asas rakyat tidak mampu diselesaikan. Pada tahun 2008, majoriti rakyat Amerika memilih Obama daripada Parti Demokrat yang menjanjjikan satu ‘Harapan’ sebagai presiden Amerika apabila kerajaan di bawah Parti Republik meranapkan ekonomi serta hak-hak sosial. Pertama kali dalam sejarah Amerika, seorang warga kulit hitam menjadi ketua negara, dan ini juga memberikan ‘Harapan’ kepada rakyat kulit hitam yang kebanyakannya miskin dan sering menghadapi penindasan polis. Tetapi 6 tahun Obama berkuasa, ‘Harapan’ hanya tinggal ‘Harapan’, manakala hak-hak warga pekerja dan anak muda terus dicabuli termasuk penindasan terhadap warga miskin kulit hitam semakin meningkat. Ini berlaku kerana kedua-dua parti Demokrat dan Republik adalah parti-parti suruhan kapitalis, dan tidak akan memihak kepada hasrat rakyat biasa. Dari awal lagi Sosialis Alternatif USA telah menggariskan perspektif perlunya alternatif kepada kelas pekerja, anak muda dan rakyat tertindas, dan telah melibatkan dalam gerakan-gerakan rakyat untuk membina alternatif kepada parti Demokrat dan Republik. Kemenangan bersejarah sosialis dalam pilihan raya kerajaan tempatan di Seattle melalui agenda rakyat seperti ‘Gaji Minimum 15 dolar sejam’ telah membuka ruang yang lebih besar ke arah pembinaan sosialisme di Amerika.


Sosialis Alternatif Malaysia berpendirian bahawa dengan hanya menukar satu parti kepada parti yang lain atau satu pemimpin kepada pemimpin yang lain, masalah asas rakyat tidak mampu diselesaikan. Isu-isu seperti prasangka perkauman dan agama akan terus dipermainkan oleh parti-parti pemerintah dan pembangkang dengan mempergunakan kepincangan sosial dan ekonomi yang diwujudkan oleh kapitalisme di Malaysia. Hak sosial dan ekonomi yang saksama dan adil hanya boleh dibina dengan ekonomi terancang dengan kawalan dan pengurusan demokratik warga pekerja dan rakyat biasa. Untuk membina alternatif seperti ini, satu parti untuk mewakili hak dan hasrat rakyat biasa harus dibentuk dan dibina melalui gerakan-gerakan pekerja, anak muda dan rakyat biasa. 

No comments: