Thursday 1 October 2015

SANDIWARA JEREBU

PERMAINAN POLITIK UNTUK MENGABURI RAKYAT

Setiap kali Jerebu menyusuk masuk ke Malaysia daripada Indonesia, satu sandiwara akan dipersembahkan kepada rakyat Malaysia seolah-olah untuk menunjukkan kerajaan Malaysia amat prihatin dengan kesihatan rakyat Malaysia. Menteri daripada Malaysia akan berjumpa dengan Menteri di Indonesia, dan seterusnya akan membuat sidang media untuk mengumumkan satu perjanjian sudah dipersetui kononnya untuk meyakinkan kedua-dua kerajaan akan memastikan masalah pencemaran Jerebu tidak muncul lagi. Sandiwara ini sudah berlangsung lebih satu dekad, dan rakyat Malaysia sudah tepu dengan permainan politik dalam sandiwara ini. Yang jelas, permainan politik ini semata-mata untuk menyelematkan pelaku (syarikat-syarikat gergasi perladangan) dan mengkaburi mangsa (rakyat biasa di Malaysia dan Indonesia).

Kerajaan Malaysia dan Indonesia sedar bahawa pembakaran hutan yang tidak bertanggungjawab ini ada kaitan dengan syarikat-syarikat perladangan termasuk beberapa syarikat daripada Malaysia. Tetapi, setakat ini tiada sebarang tindakan diambil terhadap syarikat-syarikat tersebut oleh kerajaan Indonesia mahupun kerajaan Malaysia semata-mata untuk melindungi ‘keuntungan maksimum’ syarikat-syarikat gergasi ini walaupun kesan pencemaran jerebu boleh memberikan impak kesihatan yang besar kepada rakyat biasa.
Dengan teknologi satelit dan pengesan kebakaran, lokasi pembakaran boleh dikenalpasti dengan mudah, tetapi tindakan hanya akan menyusul selepas situasi pencemaran jerebu dalam keadaan ‘bahaya’ atau ‘tidak sihat’ menunjukkan aktiviti ‘memaksimumkan keuntungan’ syarikat-syarikat gergasi lebih diutamakan daripada kesihatan dan kebajikan berjuta-juta rakyat miskin dan biasa di Malaysia dan Indonesia.
Kerajaan BN yang mampu mendapat derma daripada kapitalis Arab untuk menang dalam PRU yang lalu, semestinya mampu untuk memastikan setiap rakyat Malaysia terutama pekerja dan rakyat biasa diberikan alat perlindungan pernafasan (penutup muka dan hidung) untuk melindungi daripada kesan terhadap kesihatan. Begitu juga dengan kerajaan Indonesia yang menang dengan undi rakyat miskin, tetapi kebajikan dan kesihatan rakyat miskin diabaikan untuk menuriti kehendak sistem ekonomi pasaran bebas yang berpihak kepada majikan dan golongan kapitalis. Tetapi, ternyata cita-cita untuk mengekalkan kuasa elit politik lebih penting daripada melindungi keperluan dan kesihatan rakyat untuk kedua-dua kerajaan ini. Begitu juga kerajaan kapitalis ini tidak akan prihatin terhadap pekerja pembinaan, perladangan, pembuatan dan lain-lain yang akan lebih terdedah kepada kesan jerebu, malahan mereka akan terus dipaksa berkerja oleh majikan. Kerajaan pro-kapitalis di Malaysia dan Indonesia tidak akan memaksa majikan untuk menutup kilang ketika jerebu ‘bahaya’ atau ‘tidak sihat’, dan mewajibkan majikan menyediakan alat perlindungan pernafasan.
Rakyat di Indonesia terutama di Kalimantan yang rata-rata hidup dalam kemiskinan sering dimangsakan dengan gejala jerebu. Begitu juga rakyat di Malaysia tanpa mengira latarbelakang agama, bangsa, jantina akan terjebak dalam jerebu yang boleh mengakibatkan berbagai-bagai penyakit. Sepertimana isu-isu persekitaran dan pencemaran seperti Lynas, nuclear dan lain-lain, rakyat biasa memerlukan satu penyelesaian yang akan memastikan kita dan generasi akan datang dapat hidup dalam persekitaran yang sihat. Parti-parti kapitalis di Malaysia dan Indonesia akan terus dengan berbagai-bagai sandiwara untuk melindungi pelaku dan mengaburi rakyat biasa. Rakyat biasa di Malaysia dan Indonesia mempunyai hasrat dan matlamat yang sama iaitu satu kehidupan yang sihat dan keperluan asas yang memuaskan. Untuk mencapai matlamat tersebut solidariti dan perjuangan daripada bawah perlu di bina, di Malaysia dan Indonesia. Sosialis alternatif bergerak dan berkembang atas perspektif tersebut.


No comments: