Sunday 4 October 2015

PEMBINAAN PARTI PEKERJA MASIH RELEVEN

Sosialis Alternatif mengutuk pemimpin Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) yang menjual maruah pekerja untuk kepentingan peribadi dan untuk mendapatkan habuan dengan melutut kepada kemahuan politik liberal dan kapitalisme dengan melepaskan PPM untuk menjadi landasan kepada Parti Amanah.
Ahli dalam Parti Amanah adalah golongan liberal yang keluar daripada PAS akibat kalah dalam pemilihan kepimpinan parti PAS. PAS dengan agenda konservatif sekarang mahu berjinak-jinak dengan UMNO walaupun pada suatu ketika lantang mengutuk UMNO sebagai parti korup, menyelewang wang, gila kuasa, dan sebagainya.

Dengan memperbaharui pakatan dengan PKR dan DAP, politik liberal yang dipergunakan oleh PAN pula akan menjurus untuk menyelematkan sistem kapitalisme yang terumbang-ambing di bawah pemerintahan BN. Slogan ‘Selamatkan Malaysia’ Pakatan baru ternyata untuk mempertahankan politik pasaran bebas kapitalisme daripada diranapkan oleh BN, dan tidak akan menyelesaikan masalah sosial dan ekonomi yang semakin menekan rakyat biasa.
Kehidupan warga pekerja dan anak muda terus dibebankan oleh kerajaan BN yang meneruskan agenda neo-liberalisme yang hanya memanfaatkan golongan kapitalis dan elit politik yang memuja kapitalisme. Pakatan Rakyat yang ingin mengantikan BN tetapi mempertahankan sistem kapitalisme terbukti tidak dapat menyelesaikan keperluan dan hak pekerja dan anak muda sekalipun di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka. Dengan hanya menonjolkan ‘lebih baik daripada BN’ tanpa alternatif kepada agenda neo-liberal kapitalisme bermakna Pakatan juga akan dibelenggu oleh sistem yang sama.
Justeru itu, satu alternatif kepada parti-parti pro-kapitalis harus dibentuk dan dibina dengan berlandaskan kepada hasrat dan keperluan pekerja, anak muda dan rakyat biasa. Keperluan parti pekerja atau parti buruh di Malaysia merupakan di antara perbincangan di kalangan beberapa pekerja dan ahli kesatuan sekerja yang sedar bahawa satu landasan politik yang berlandaskan hasrat dan hak pekerja perlu dibina.
PPM yang mempergunakan nama pekerja dan awalnya berniat untuk menjadi landasan mengorganisasi kelas pekerja sudah lama tidak aktif. Sosialis Alternatif bersama dengan beberapa anak muda telah melakukan beberapa perbincangan dengan PPM untuk menjadikannya landasan politik yang bebas untuk pekerja dan anak muda. Tetapi pemimpin PPM yang mungkin mengharapkan habuan seringkali menolak usulan tersebut tanpa sebarang sebab, dan jawapannya ‘kami akan bina bila tiba masa’. Tetapi, seperti yang dijangkakan, akhirnya pemimpin PPM yang membelakangkan pekerja semata-mata untuk mencapai cita-cita politik peribadi dengan melutut kepada politik liberal dan kapitalis. Ini adalah satu pengkhianatan dengan mengunakan nama pekerja.
Pekerja dan anak muda memerlukan politik alternatif kepada politik kapitalisme yang dibawa oleh BN dan Pakatan. Isu pembinaan landasan politik alternatif yang bebas untuk pekerja dan anak muda masih releven, dan Sosialis Alternatif akan terus berkempen dan berbincang dengan ahli kesatuan sekerja, pekerja dan anak muda untuk merealisasikan proses tersebut.

No comments: