Monday 15 June 2015

RANCANGAN MALAYSIA KE-11: SATU LAGI ILUSI KAPITALISME


Sudah 10 rancangan Malaysia dilaksanakan sejak 1956, dan rancangan Malaysia yang ke-11 (RM11) diumumkan oleh Najib pada 21 Mei yang lalu untuk jangkamasa 5 tahun iaitu dari 2015 hingga 2020.  Manakala 2020 adalah tahun Malaysia menjadi negara maju mengikut wawasan Mahathir pada tahun 1991. 
Pendapatan negara yang dijangka meningkat dalam tempoh lima tahun yang akan datang, dan pertumbuhan ekonomi 5 hingga 6 peratus adalah satu yang tidak realistik dengan keadaan ekonomi negara yang agak rapuh semenjak krisis kewangan 1997. Ekonomi negara amat bergantung kepada percaturan ekonomi global kerana ia terus berlandaskan kepada ekspot dan pelaburan luar negara. Pada bulan Disember 2014, kejatuhan nilai ringgit yang teruk semenjak krisis kewangan 1998 telah melesapkan hampir RM8 billion kekayaan negara dalam sehari daripada bursa saham KL akibat kejatuhan harga minyak dunia. Ini menunjukkan ketidakstabilan ekonomi negara yang berlandaskan kepada keanarkian sistem pasaran bebas kapitalisme. 
Walaupun 10 rancangan Malaysia telah meningkatkan beberapa kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan bangunan yang setanding dengan negara-negara maju, pada masa yang sama ia telah mewujudkan berbagai konflik sosial dan polarisasi kelas akibat fokus kemajuan, pelaburan dan pembangunan yang mengutamakan keuntungan maksimum. 
Tanpa berkonfrantasi dengan kapitalisme, adalah mustahil untuk meningkatkan pendapatan rakyat. Misalnya, pada tahun 2013, 26000 jutawan dan biliawan di Malaysia mempunyai kekayaan RM527 billion. Golongan ini hanya 0.001 peratus daripada seluruh penduduk Malaysia tetapi mampu menikmati 50 peratus kekayaan negara jika kita mengambilkira jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2013 iaitu RM 1089 billion. Kekayaan 0.001 peratus jutawan dan biliawan tersebut berkembang pada kadar yang melampau iaitu hampir 60 peratus di antara tahun 2009 hingga 2013 walaupun ekonomi dunia terumbang-ambing, dan sedang menghimpit sebilangan besar rakyat biasa. Kajian Institut Penyelidikan Kazanah menunjukkan, peningkatan gaji di Malaysia secara konsisten tidak setara dengan pertumbuhan produktiviti. Gaji hanya 33.6 peratus daripada KDNK pada tahun 2013 dan hampir tidak berubah semenjak 1971. Sebaliknya bahagian KDNK dibawa pulang oleh sektor korporat telah meningkat daripada 51.7 peratus pada tahun 1971 kepada 64.2 peratus pada tahun 2013. Ini jelas menunjukkan rancangan-rancangan Malaysia telah menjadikan yang kaya sangat kaya dengan ekonomi yang berorientasikan kapitalisme.
Pendapatan median isirumah di Malaysia ialah RM3626 sebulan, dan untuk golongan berpendapatan rendah yang merupakan 40 peratus penduduk, pendapatan median isirumah hanya RM1852 sebulan. Purata isirumah di Malaysia membelanjakan 44 peratus daripada gaji mereka hanya untuk membayar pinjaman. Manakala hutang isirumah yang ditanggung oleh rakyat di akhir tahun 2013 sudah meningkat kepada 86.8 peratus daripada KDNK, dari 60.4 peratus pada 2008. Kos perubatan telah meningkat pada tahun ini dalam kadar 10 hingga 15 peratus. Harga rumah di Malaysia 5.5 kali ganda lebih daripada pendapatan median isirumah. Fakta-fakta ini pula menunjukkan yang miskin semakin miskin, dan rancangan-rancangan Malaysia tidak dapat menangani keperluan ekonomi dan sosial rakyat. 
Jadi, bagaimana polisi-polisi yang menjadikan yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin selama ini, mampu 1)meningkatkan pendapatan isirumah kepada RM 10500 pada 2020 daripada RM 3626 pada masa ini, 2)menggandakan pendapatan isirumah 40 peratus penduduk berpendapatan rendah, 3)meningkatkan gaji kepada 40 peratus daripada KDNK pada 2020 daripada 33.6 peratus daripada KDNK pada 2013, jikalau masih dikongkong oleh ekonomi yang berorientasikan kepada kapitalisme ?

Di bawah keadaan ekonomi yang tidak stabil dan kerajaan yang berorientasikan kapitalisme,  pencapaian yang digariskan dalam RM11 hanyalah satu lagi ilusi untuk menutup pekung di dada kerajaan sekarang. Hanya dengan ekonomi terancang sebagai alternatif kepada ekonomi pasaran bebas, dan sosialisme yang mementingkan keperluan rakyat biasa sebagai ganti kepada kapitalisme yang mementingkan keuntungan maksimum segelintir kaya, konflik sosial dan ekonomi yang dihadapi oleh kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa boleh diatasi.

No comments: