Friday 1 May 2015

HARI MEI 2015: MENENTANG EKSPLOITASI, PEPERANGAN, PENINDASAN DAN PENJIMATAN AWAM

125 TAHUN SEJAK HARI MEI PERTAMA - MEMBINA GERAKAN PEKERJA BERSATU UNTUK SOSIALISME !
Committee for a Workers’ International (CWI) menyampaikan salam sosialis dan salam solidariti kepada warga pekerja, anak muda dan mereka yang dieksploitasi oleh kapitalisme.
Tahun ini menandakan Hari Pekerja Antarabangsa , atau Hari Mei yang ke 125. Panggilan yang pertama untuk pekerja berdemonstrasi di seluruh dunia pada 1 Mei telah dibuat pada bulan Julai 1889 di Kongres Antarabangsa Pekerja Sosialis di Paris yang telah mengasaskan pertubuhan antarabangsa yang dikenali sebagai ‘International Kedua’. 1 Mei telah dipilih untuk memperingati  ‘Pembunuhan Haymarket’ pada tahun 1886. Semasa permogokan umum di Chicago menuntut lapan jam masa kerja sehari pada tahun 1887, pengeboman yang berlaku dipergunakan oleh pemerintah untuk membawa tuduhan palsu ke atas empat pemimpin dan aktivis pekerja, dan melakukan konsipirasi untuk memutuskan hukuman bunuh ke atas mereka. Kejayaan Hari Mei pertama pada 1890 dijadikan inspirasi oleh Kongres antarabangsa pada tahun 1891 untuk memutuskan Hari Mei perlu menjadi acara tahunan.
Tujuan asal Hari Mei adalah untuk menunjukkan kekuatan gerakan pekerja, mempelajari pengalaman perjuangan pekerja yang lalu, mengesahkan semula penentangan terhadap kapitalisme dan peperangan, dan memaparkan semangat juang dan matlamat sosialisme. Hari Mei dilancarkan pada satu masa apabila, di kebanyakan negara, gerakan pekerja telah mula berkembang dengan pesat, dan dalam beberapa kes dengan agak cepat, Hari Mei mulanya menyuarakan keyakinan sosialis pada masa itu.
Tetapi tahun demi tahun berlalu semenjak Hari Mei antarabangsa yang pertama, kelas pekerja terus dalam belenggu penindasan. Walaupun banyak pembinaan organisasi pekerja yang kuat, dan banyak perjuangan dan revolusi pahit yang sering berakhir dengan tumpahan darah, dunia masih dikuasai oleh kapitalisme.
Kelas pemerintah kapitalis melancarkan 'penjimatan awam' tanpa henti-henti, menurunkan taraf hidup serta menghakis hak dan situasi kerja. Dunia ini berhadapan dengan konflik, 'campur tangan' bersenjata imperialis, pembaziran gelojoh untuk ketenteraan dan perang saudara yang dahsyat, termasuk di Yaman, Syria, Iraq dan Ukraine. Baru-baru ini tragedi pelarian terdesak yang terbunuh akibat lemas di Mediterranean adalah jenayah yang dilakukan oleh para kaki-perang imperialis dan kapitalis Kesatuan Eropah, yang mengakibatkan pembaziran yang tidak terbilang di negara-negara tersebut dan telah mewujudkan bilangan pelarian terbesar sejak Perang Dunia Kedua.
Ini bukan bermakna tiada apa-apa yang dicapai dengan mengorganisasi pekerja dan melalui perjuangan pekerja untuk dekad-dekad yang lalu. Sebaliknya, di banyak negara manfaat yang sangat penting telah dicapai untuk kelas pekerja: hak demokrasi yang penting telah dituntut dari kelas pemerintah, dan juga peningkatan besar dalam kebajikan, pendidikan dan kesihatan dan keperluan-keperluan lain. Taraf hidup yang lebih tinggi untuk pekerja ini adalah hasil daripada perjuangan massa atau desakan daripada perjuangan. Tetapi, seperti yang dicerminkan oleh krisis-krisis semasa, semua manfaat ini boleh diancam dan juga diambil balik selagi kapitalisme masih wujud.

Antara krisis kapitalisme yang paling teruk
Hari ini, ketika kita sedang menghadapi salah satu krisis kapitalisme yang paling teruk yang pernah dihadapi, manakala pakar strategi dan pemikir sistem kapitalisme tidak mampu mengemukakan perspektif yang meyakinkan, kita perlu sedar bahawa gerakan pekerja di banyak negara, sedang menghadapi masalah yang teruk dan dalam kerumitan. Pemimpin-pemimpin kesatuan yang masih bersifat konservatif, gagal untuk memimpin dan membangunkan perjuangan yang kuat dan berkesan untuk menghentikan penjimatan awam dan serangan lain ke atas warga pekerja dan masyarakat miskin. Pembinaan kesatuan sekerja yang mampu berjuang dan demokratik tetap menjadi tugas utama yang dihadapi oleh kelas pekerja.
Ini bukan dimaksudkan bahawa perjuangan sudah lenyap. Sebaliknya, perjuangan secara kerap dilihat di seluruh pelusuk dunia. Tidak pernah ada satu dekad sejak hari Mei yang pertama yang tidak mencetuskan pertarungan kelas dan revolusi yang sengit berlaku di sesuatu tempat.
Sekarang kita dapat melihat satu perkembangan radikal yang pesat dan penting, dan permulaan perjuangan di Amerika Syarikat, yang merupakan kuasa imperialis yang paling berkuasa, terutamanya di sekitar tuntutan gaji minimum 15 dolar sejam dan penentangan terhadap kekejaman polis.
Sepanjang tahun lepas, di banyak tempat di dunia telah melihatkan pekerja dan anak muda membantah dan memperjuangkan tuntutan mereka. Brazil menyaksikan bantahan besar-besaran di sekitar Piala Dunia dan pelajar membantah di Chile; gelombang mogok yang kuat berlaku di Afrika Selatan; mogok pekerja yang semakin meningkat di China; Belgium telah menyaksikan gerakan mogok yang besar, dan protes besar-besaran terhadap cukai baru di Ireland. Dua keputusan pilihan raya kecil yang memberangsangkan pada tahun 2014 menyaksikan calon Parti Sosialis (CWI) dipilih untuk parlimen Ireland, dan menunjukkan bahawa kelas pekerja akan menentang agenda penjimatan awam. CWI juga memainkan peranan penting dalam TUSC (Gabungan Kesatuan Sekerja dan Sosialis) di Britain, yang bertanding di lebih 100 kawasan parlimen pada pilihan raya umum ini.
Selain mogok dan bantahan, Januari lepas menyaksikan pemilihan kerajaan Syriza yang berjanji untuk menentang penjimatan awam di Greece. Di Afrika muncul gerakan baru untuk menentang rejim autoritarian. Compaore, diktator di Burkina Faso, telah dijatuhkan selepas 27 tahun berkuasa.
Ini hanya beberapa contoh terkini warga pekerja yang bersedia untuk berjuang. Walaupun di beberapa negara terdapat suatu jangka masa yang agak lama yang kelihatan sebagai ‘akur kepada sistem’ dan hampir tidak ada perjuangan kelas, ini tidak akan terus kekal selama-lamanya.
Walau bagaimanapun, di banyak negara kekecewaan dan kekalahan lalu juga menjadi pembantut kepada gerakan pekerja, dan keadaan menjadi lebih teruk dengan serangan yang dilancarkar oleh kelas pemerintah. Serangan kapitalis ini bukan semata-mata  mengakibatkan taraf hidup yang lebih rendah tetapi juga mereka melancarkan serangan ideologi terhadap idea-idea seperti tindakan kolektif dan sosialisme. Ejen Propaganda kapitalisme juga telah mempergunakan kontra-revolusi di Afrika Utara dan Timur Tengah seperti campur tangan tentera imperialis, perkembangan sektarianisme agama dan etnik, dan perang saudara berdarah , untuk mencantas semangat  revolusi 2011 di seluruh dunia yang dicetuskan  di Tunisia dan Mesir .
Apa yang telah berlaku sejak 'Arab Spring' bukan hujah terhadap revolusi, tetapi untuk mencapai perubahan sebenar dan yang berkekalan memerlukan pembinaan gerakan pekerja bersatu yang berlandaskan kepada program sosialis yang jelas, dan memahami langkah-langkah konkrit yang diperlukan untuk menamatkan pemerintahan kapitalisme dan elit mereka.
Dalam membina gerakan tersebut, sosialis harus mampu untuk menjawab soalan-soalan sama ada "sosialisme" gagal di negara-negara seperti bekas Kesatuan Soviet. Ini bermakna perlu menjelaskan dua faktor penting untuk mewujudkan masyarakat sosialis, iaitu pertama pengambilalihan elemen-elemen penting yang menguasai ekonomi dan yang kedua, kawalan demokratik dan perancangan sumber-sumber bagi kepentingan majoriti, sesuatu yang memerlukan langkah-langkah yang jelas untuk menghalang kemunculan golongan elit birokrasi yang baru.
Banyak pengalaman yang dilalui oleh rakyat di bawah kerajaan-kerajaan yang kononnya ‘sosial demokratik’, 'sosialis' atau 'buruh', yang mana gagal untuk melaksanakan janji-janji mereka dan cuba untuk bekerja dalam jaket sistem kapitalis, juga menjadi persoalan ramai sama ada idea sosialisme boleh menjadi alternatif kepada kapitalisme. Kerajaan Syriza di Greece dalam bahaya jika akhirnya gagal dalam matlamatnya untuk mencabar penjimatan awam, dan ini kerana keengganan mereka untuk memobilisasi sokongan ramai untuk melawan agenda kapitalisme itu. Malangnya, di peringkat antarabangsa gerakan pekerja telah banyak kali berhadapan dengan peluang-peluang sedemikian tetapi terlepas.  Itulah sebabnya membina sebuah organisasi dan kepimpinan dengan idea-idea sosialis yang jelas dan keyakinan untuk berpisah dengan kapitalisme adalah sangat penting.
Idea sosialisme sebagai alternatif kepada kapitalisme akan disambut semula
Walaupun dalam kerumitan-kerumitan sedemikian, idea sosialisme sebagai alternatif kepada kapitalisme akan disambut semula apabila lebih ramai pekerja dan anak muda ingin mencari jalan keluar daripada kebuntuan ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh dunia. Pada masa kini, ini dapat dilihat dengan jelas di Amerika Syarikat, sebahagiannya kerana sebelum ini perkembangan idea sosialisme di negara ini agak lemah. Kejayaan pemilihan sosialis Kshama Sawant ke Majlis Bandaraya Seattle pada pilihan raya tahun 2013, merupakan petunjuk kepada permulaan radikalisasi yang penting yang boleh memberi kesan ke atas sebahagian masyarakat Amerika Syarikat.
Kebuntuan kapitalisme dapat dilihat melalui keadaan kucar-kacir yang diwujudkan oleh wakil-wakil pemerintahnya dalam dua dekad yang lalu apabila, di sesetengah kawasan, mereka bertindak sesuka hati. Ini berakhir dengan konflik yang besar yang membawa kepada genangan ekonomi, dan mewujudkan percanggahan besar akibat pelbagai krisis ekonomi, sosial dan alam sekitar. Sistem kapitalis berada dalam kebuntuan pada ketika perkembangan pesat sains dan teknologi menawarkan potensi yang besar bagi umat manusia. Sistem kapitalisme tidak dapat menyediakan mahupun air bersih untuk setiap manusia, dan memimpin ketidaksamaan yang semakin melebar di semua pelusuk dunia.
Tugas untuk aktivis sosialis dan pekerja bukan hanya membina yang baru atau membina semula organisasi-organisasi kelas yang mampu berjuang, walaupun ianya satu tugasan yang amat penting. Kita juga harus mempelajari daripada pengajaran-pengajaran selama 125 tahun yang lalu, dan mahir mempergunakannya dalam keadaan masa kini. Pengalaman tersebut boleh disimpulkan sebagai, pertama, dengan kunci utama untuk mengubah dunia adalah dengan memberhentikan kediktatoran kapitalis ke atas ekonomi dan, kedua, membina massa secara besar-besaran yang boleh memenangi sokongan untuk program sosialis, terutamanya di kalangan kelas pekerja, masyarakat miskin dan anak muda.
Ini tidak boleh dilakukan dalam abstrak, tetapi dengan menggalakkan tindakan kolektif dan idea-idea sosialis dan juga dengan penyertaan aktif dalam perjuangan yang akan timbul di bawah eksploitasi sistem kapitalis. Dengan cara ini, sosialis dapat memberikan jawapan kepada persoalan "Apa yang boleh dilakukan?" dan membantu mewujudkan satu gerakan massa yang akan, akhirnya, mencapai objektif pengasas Hari Mei.

Ahli-ahli organisasi dan bahagian CWI akan menyambut Hari Mei 2015 di seluruh dunia. CWI menyeru kepada warga pekerja, penganggur,anak muda dan masyarakat miskin di mana jua untuk menyertai kami dalam perjuangan untuk membina dunia sosialis.

No comments: