Wednesday 3 December 2014

SOSIALISME SEBAGAI ALTERNATIF KEPADA KAPITALISME




APA ITU SISTEM KAPITALISME ?

Pada masa kini, agenda kapitalisme sedang mengongkong segala aspek kehidupan manusia. Ini menyebabkan berbagai kemudaratan dan kesengsaraan akibat pencabulan demokrasi dan pembahagiaan kekayaan dan sumber alam yang tidak adil kepada majoriti umat manusia. Justeru pemahaman tentang kapitalisme membolehkan kita untuk membina alternatif. Dalam artikel berbentuk soal-jawap ini, Sosialis Alternatif mengariskan sifat, peranan dan impak kapitalisme.

Sistem Kapitalisme adalah satu sistem ekonomi dan politik yang amat memihak kepada minoriti pemodal-pemodal (atau Kapitalis) yang bersaing di antara satu sama lain di ‘pasaran bebas’ (yang pada realitinya tidak bebas dan dikongkong oleh kapitalis multinational dan transnational) untuk mengaut keuntungan maksimum. 

Keuntungan dicapai melalui eksploitasi tenaga buruh/pekerja yang terpaksa berkerja untuk meneruskan hidup dan menyara keluarga. Ini menyebabkan jurang kekayaan di antara golongan kaya dan miskin semakin melebar di Malaysia, antara jurang kaya-miskin yang paling teruk di Asia Tenggara. 10 peratus golongan terkaya memiliki kekayaan 22 kali ganda daripada kekayaan yang dimiliki oleh 10 peratus golongan termiskin di negara ini. Di antara kapitalis-kapitalis di Malaysia adalah seperti Ananda Krishnan, Robert Kuok dan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang mempunyai kekayaan bernilai berbilion-billion ringgit dengan mengawal syarikat-syarikat utama dan terbesar di Malaysia.

Parti politik pro-kapitalis seperti Barisan Nasional (BN) amat rapat dengan golongan kapitalis dan terus menerus akan memastikan rakyat biasa dan kelas pekerja patuh kepada undang-undang dan regulasi atas nama ‘kestabilan politik’ untuk menjamin keuntungan maksimum. Apabila BN gagal untuk memuaskan keperluan kapitalis, golongan kapitalis tidak akan teragak-agak untuk menukar kerajaan, misalnya kepada Pakatan Rakyat dalam kes negara kita untuk menyelamatkan kapitalisme dan sistem pasaran bebas.

Siapa Yang Menghasilkan Keuntungan?

Memahami bagaimana keuntungan di janakan membolehkan kita memahami apa itu kapitalisme. Walaupun golongan kapitalis membawa modal (kapital), tetapi mereka memerlukan keuntungan untuk membesarkan modal mereka. Tetapi keuntungan ini di janakan oleh tenaga buruh (labour power) dan bukannya kapitalis. Maksudnya sesuatu barang atau produk tersebut mempunyai nilai (value) disebabkan oleh tenaga buruh. Oleh itu, berlandaskan pemikiran rasional, seharusnya keuntungan tersebut dibahagikan secara adil supaya golongan buruh (pekerja) juga dapat menikmati kehidupan yang selesa. Tetapi ini tidak berlaku kerana pekerja dibayar gaji yang rendah, terpaksa berkerja dalam persekitaran kerja yang tidak selamat dan terpaksa menghadapi pelbagai bentuk eksploitasi lain supaya kapitalis mendapat keuntungan maksimum.

Dengan erti kata lain, kapitalis mengawal bagaimana keuntungan itu digunakan dan pekerja tidak diberikan sebarang hak untuk membuat keputusan dalam hal ini. Justeru itu, untung yang di janakan oleh pekerja tidak dapat meningkatkan taraf hidup mereka sendiri, disebabkan oleh kerakusan kapitalis untuk mengaut keuntungan maksimum. Di sini ada ‘rompakan besar’ oleh pihak kapitalis dengan nama keuntungan daripada golongan majoriti rakyat biasa dan pekerja. Sebab itu, kelas pekerja melalui kesatuan sekerja perlu berorganisasi secara kolektif untuk menuntut dan memperjuangkan hak mereka.

Adakah Sistem Kapitalisme Telah Meningkatkan Taraf Hidup ?

Adalah tidak dapat dinafikan, semenjak kemunculan sistem kapitalisme 500 tahun dahulu, banyak penemuan sains dan teknologi telah diterokai bermula dengan revolusi perindustrian pada abad ke 18 and 19, dan ini membolehkan kaedah produksi baru dipergunakan untuk pengeluaran secara besar-besaran. Ini bermakna, pada awalnya, ketika transisi daripada sistem feudalisme kepada sistem kapitalisme, kapitalisme telah memberikan harapan untuk meningkatkan keperluan dan taraf hidup manusia.

Ini juga merupakan era kemunculan kelas pekerja secara besar-besaran untuk memburuh di kilang atau industri. Tetapi disebabkan sifat kapitalisme yang rakus untuk keuntungan, mereka akan memastikan gaji pekerja diminimumkan seboleh yang mungkin. Ini menyebabkan keperluan-keperluan asas kemanusiaan seperti makanan, perlindungan, perubatan dan sebagainya di perjudikan semata-mata untuk memenuhi nafsu keuntungan segelintir kapitalis. Misalnya, pada masa kini, cuma 500 multinasional terbesar di dunia mengongkong sebahagian besar kekayaan yang ada.

Apakah Implikasi Sistem Kapitalisme ?

Ramai manusia di muka bumi ini simpati dengan golongan tertindas disebabkan kekejaman sistem ekonomi dan politik berlandaskan kepada kapitalisme. Kebanyakan daripada mereka mempersoalkan ketidakadilan dalam sistem kapitalisme: Mengapakah ada segolongan kecil boleh hidup dengan kemewahan berbilion-bilion ringgit manakala segolongan besar pula hidup melarat dengan memburuh? Mengapa walaupun di dunia ini makanan dan kep- erluan asas lebih daripada yang diperlukan, tetapi masih berjuta-juta rakyat miskin di negara-negara Afrika dan Asia setiap hari mati kerana kebuluran? Mengapa bayi dan anak-anak kecil di bunuh dengan kejam di Iraq, Palestin, Afghanistan, Sri Lanka kerana segolongan kecil mahukan kekayaan melalui tanah, minyak dan sebagainya ? Mengapa multinasional dan transnasional di dunia ini yang rakus keuntungan terus menerus mencemarkan udara, air dan alam yang pada asasnya memainkan peranan untuk kita dan generasi akan datang untuk terus hidup?


Hari ini lebih ramai golongan miskin yang curi coklat atau gula-gula didakwa kalau dibandingkan dengan kapitalis-kapitalis yang mengaut berjuta-juta ringgit dengan nama keuntungan dan mengakibatkan krisis ekonomi seperti krisis kewangan dunia pada masa kini yang telah melesapkan kekayaan bernilai bertrillion-trillion ringgit. Sebab itu, undang-undang yang pro-kapitalis hanya menyempurnakan kehendak kapitalis-kapitalis dan tidak berdaya mendakwa mereka (di setengah-setengah kes walaupun didakwa, kapitalis-kapitalis ini menggunakan lubang-lubang tertentu untuk lari daripada dakwaan !). Di Malaysia ada undang- undang kesatuan sekerja, tetapi hanya kurang 8 peratus sahaja pekerja berkesatuan. Yang lainnya tidak dapat menubuhkan kesatuan untuk memperjuangkan hak mereka kerana lubang-lubang tertentu yang dipergunakan oleh majikan untuk menghalang hak pekerja, dan kerajaan yang pro-kapitalis hanya menutupi mata mereka. 

APA ITU SISTEM SOSIALISME ?


Ekonomi pasaran bebas + demokrasi (pemerintahan yang berlandaskan kepada keperluan dan keuntungan untuk golongan minoriti pemodal-pemodal)= kapitalisme. Dalam sistem kapitalisme, segala entiti-entiti kerajaan adalah untuk mengawal rakyat biasa dengan nama ‘demokrasi’ untuk mematuhi undang-undang atau lumrah tertentu untuk menjustifikasikan aktiviti- aktiviti ekonomi kapitalis untuk memaksimumkan keuntungan. Ini yang dirujuk dengan demokrasi ala kapitalis di mana keperluan-keperluan rakyat dan hak-hak asasi akan dicabul dan dianaktirikan dengan sewenang-wenangnya untuk matlamat keuntungan segelintir kapitalis. Ini yang sedang berlaku di negara kita dan di negara-negara lain. Sebab itu, berlakunya implikasi-implikasi buatan kapitalis seperti kebuluran, pengangguran, peperangan, prejudis agama/kaum dan sebagainya yang sedang membinasakan kehidupan manusia. 

Ini berlaku kerana dua sifat sistem kapitalisme yang sedang kita alami. Satu, penumpuan kekayaan atau keuntungan kepada segelintir kapitalis yang didokong oleh kerajaan atau negara. Kedua, tiada penglibatan rakyat biasa untuk menentukan bagaimana kekayaan atau keuntungan tersebut perlu diagihkan untuk memenuhi keperluan-keperluan asas mereka.

Sosialisme atau demokratik sosialisme pula adalah satu sistem ekonomi dan politik yang sifatnya untuk memaksimumkan keperluan umat manusia melalui demokrasi sepenuhnya. Ia adalah satu sistem di mana segala teknologi, sumber-sumber alam dipergunakan untuk merancang keperluan umat manusia. Dalam perancangan tersebut demokrasi (penglibatan rakyat biasa) akan di maksimumkan supaya birokrasi dikurangkan. Ini bermakna dalam sistem sosialis segala sumber dan teknologi yang sedia ada akan dikekalkan, diperkembangkan dan dikawal oleh majoriti secara demokratik untuk memenuhi keperluan- keperluan asas umat manusia di negara kita dan sejagat. Sistem demokratik sosialisme (memaksimumkan keperluan untuk semua) dan kapitalisme (keuntungan maksimum untuk segelintir) ini semacam bumi dan langit. Kedua-dua sistem ini tidak dapat dicantumkan kerana percanggahan yang amat ketara di antara kedua-duanya. Hanya ada dua pilihan: ‘KEBINASAAN’ (dengan kerakusan sistem kapitalis) atau ‘SOSIALISME’ (dengan menukar sistem kapitalisme).

No comments: