Thursday 18 December 2014

EKONOMI NEGARA SEMAKIN TENAT !

ADAKAH NEGARA MENUJU KE SATU LAGI KEMELESETAN EKONOMI ?

Berdasarkan kepada angka dan statistik ekonomi, keadaan ekonomi negara agak rapuh, dan amat bergantung kepada percaturan ekonomi global. Ini kerana, ekonomi negara berlandaskan kepada ekspot dan pelaburan luar negara. Permintaan yang berkurangan daripada negara-negara pengimport utama seperti US, China, Jepun dan Eropah telah memberikan impak kepada ekspot negara. Manakala pelabur pula tidak mahu mengambil risiko dengan ketidakstabilan pasaran dunia yang terus berlanjutan semenjak 2008 untuk melakukan pelaburan baru atau pun memperkembangkan pelaburan yang ada.

Analisa pendapatan suku ketiga tahun ini (Julai-September) menunjukkan hanya dua daripada lima sektor utama ekonomi meningkat. Sektor perkhidmatan jatuh 58.5 peratus, komoditi jatuh 37.7 peratus, manakala sektor minyak dan gas jatuh 29.3 peratus. Sektor perkhidmatan menyumbang lebih daripada 50 peratus kepada kegiatan ekonomi negara. Kelembapan eksport boleh mengakibatkan Malaysia mengalami defisit kembar (twin deficit) iaitu defisit akaun semasa dan defisit perdagangan.

EKSPOT KOMODITI JATUH DAN NILAI RINGGIT MENJUNAM

Ekonomi China yang semakin merosot telah mengakibatkan pemintaan terhadap bahan komoditi seperti minyak, kelapa sawit, timah, getah turut jatuh, dan eksport barangan pembuatan juga tidak mengalakkan. Ketika US dan Eropah dalam krisis ekonomi, China telah memberikan harapan kepada negara-negara pengeluar komoditi atau ekonomi yang berorientasikan ekspot seperti Malaysia. Tetapi, dengan Eropah masih dicengkam krisis, ekonomi US yang masih tidak stabil, ekonomi Jepun yang dalam kemelesetan dan ekonomi China yang semakin merosot bermakna ekonomi negara juga akan mengalami impak jika fenomena ini berterusan.

Kejatuhan harga minyak (60 dolar setong pada minggu ini) telah memberikan kesan kepada negara-negara pengeluar minyak. Dijangka ini akan meningkatkan defisit (hutang) kerajaan memandangkan lebih 37 peratus pendapatan negara datangnya daripada aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan minyak dan gas. Jika ini berterusan, kerajaan akan ditekan untuk melakukan lebih banyak pemotongan perbelanjaan awam seperti subsidi, dan melancarkan lebih banyak liberalisasi dalam ekonomi dan langkah penswastaan ke atas syarikat atau badan-badan di bawah kawalan kerajaan seperti yang sedang dilaksanakan ke atas Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).

Pada awal bulan ini, nilai ringgit jatuh paling teruk dalam empat tahun kebelakangan ini (kejatuhan dua hari yang paling teruk semenjak krisis kewangan 1998), dan RM8 billion kekayaan negara lesap dalam sehari daripada bursa saham KL akibat kejatuhan harga minyak dunia. Sehingga kini, ringgit telah jatuh 6.8 peratus berbanding dengan dolar US (RM 3.50 sedolar),  dan dijangka akan terus memberikan impak kepada ekonomi jika harga minyak semakin menurun yang dijangka boleh mencecah sehingga 32 dolar setong.

EKONOMI BERLANDASKAN HUTANG

Pertumbuhan ekonomi (KDNK) negara sekitar 5 hingga 6 peratus dapat dikekalkan beberapa tahun kebelakangan ini, hanyalah kerana ekonomi domestik yang dijanakan dengan rangsangan melalui hutang isirumah dan aktiviti-aktiviti infrastruktur kerajaan seperti MRT, iaitu 51 peratus daripada KDNK adalah melalui aktiviti ekonomi domestik. Pada dasarnya pertumbuhan ini adalah didorong melalui hutang isirumah yang ditanggung oleh rakyat di mana pada akhir tahun 2013 sudah meningkat kepada 86.8 peratus daripada KDNK, dari 60.4 peratus pada 2008. Ini merupakan nisbah hutang kepada KDNK yang tertinggi di Asia.

Tetapi kini, ekonomi domestik juga dijangka akan merosot akibat inflasi yang semakin meningkat, dan akan menghadkan rakyat daripada berbelanja. Jika rakyat kurang berbelanja atau tidak mampu membayar hutang/pinjaman kerana kos yang meningkat (seperti yang berlaku di Amerika Syarikat pada Kemelesetan Besar 2008), ini boleh memberikan kesan teruk kepada ekonomi.

GELEMBUNG HARTANAH MENUNGGU MASA UNTUK BERKECAI !

Gelembung hartanah (property bubble) semakin membesar di Malaysia dengan peningkatan harga rumah di antara 15 hingga 20 peratus dalam dua tahun kebelakangan ini. Tetapi permintaan telah jatuh sedikit pada tahun ini akibat kenaikan inflasi dan kesukaran memperoleh pinjaman, dan ini dijangka akan terus memberikan kesan pada tahun hadapan dengan GST. Gelembung hartanah boleh pecah jika ekonomi semakin meleset (beberapa ahli ekonomi menjangkakan pada tahun hadapan atau 2016), dan ini boleh mewujudkan tekanan besar dalam ekonomi.

Kesimpulannya, ekonomi Malaysia amat terdedah kepada impak global, dan hampir semua ‘resepi’ untuk krisis kini wujud dalam ekonomi negara. Maka, kesan spontan yang besar dan mendalam dalam ekonomi global, boleh menyebabkan Malaysia mengalami kemelesetan yang lebih teruk daripada krisis kewangan 1998. Jika ianya berlaku, maka pilihan seperti ‘kawalan kapital’ yang dipergunakan oleh Mahathir pada masa itu, sukar untuk dilaksanakan akibat pergolakan ekonomi yang lebih menyeluruh yang sedang dihadapi pada masa kini.

Pergolakan dalam ekonomi negara adalah akibat keadaan kucar-kacir yang seringkali ditimbulkan oleh sistem ekonomi pasaran bebas, dan akibatnya rakyat biasa yang menjadi mangsa. Konflik ini diwujudkan oleh golongan kapitalis nasional dan antarabangsa yang bermotifkan kepada penjanaan keuntungan semaksimum mungkin dengan memperjudikan keperluan dan hak rakyat.

Intitusi kewangan, bank, syarikat-syarikat besar, badan-badan yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan lain-lain yang mengawal ekonomi harus dimiliknegarakan di bawah ekonomi terancang dengan kawalan dan pengurusan secara demokratik untuk membolehkan keperluan dan hak rakyat biasa diperkukuhkan dengan menidakkan kediktatoran sistem pasaran bebas kapitalisme.


No comments: