Friday 1 August 2014

KONFLIK MENTERI BESAR DI SELANGOR

Konflik menteri besar muncul sekali lagi di Selangor, dan pada kali ini Pakatan pula ingin mendesak Khalid Ibrahim meletakkan jawatan untuk pemilihan menteri besar yang baru.

Semenjak 1980an hingga kini, setiap menteri besar di Selangor yang mengambil kuasa, telah dicemari dengan berbagai skandal dan konflik yang telah memaksa mereka untuk meletak jawatan. Mat Taib dengan konflik membawa keluar wang tunai RM 2.4 juta ke Australia; Abu Hassan dengan skandal seks; Khir Toyo dengan skandal rasuah. Semua menteri besar tersebut adalah daripada BN, sebelum Khalid Ibrahim daripada Pakatan Rakyat mengambilalih kuasa pada 2008.  Kejatuhan Selangor ke tangan Pakatan adalah disebabkan oleh kemarahan rakyat terhadap pemerintahan BN yang penuh dengan rasuah dan salahguna kuasa dengan berkomplot untuk memenuhi nafsu kroni-kroni kapitalis yang berhajat melipatgandakan kemewahan mereka dengan menganaktirikan keperluan rakyat.

Rakyat Selangor berharap dengan pertukaran kerajaan daripada BN ke Pakatan, satu perubahan akan berlaku dalam politik Selangor supaya mementingkan keperluan rakyat daripada keperluan kroni. Selepas mengambilalih kuasa, Khalid yang berlatarbelakangkan korporat telah melancarkan beberapa program kebajikan seperti air percuma yang mendapat sambutan rakyat, sekaligus meningkatkan sokongan terhadap kerajaan Pakatan. Ini dicerminkan apabila Pakatan pada pilihanraya 2013 mencapai kemenangan yang lebih besar daripada pilihanraya 2008 di Selangor.

Negeri Selangor merupakan negeri terkaya di Malaysia, dan kebanyakan aktiviti industri, pelaburan dan kewangan utama negara tertumpu di Lembah Kelang yang juga merupakan kawasan dengan kepadatan penduduk tertinggi.   Tidak dapat dinafikan, majoriti rakyat iaitu kelas pekerja di Selangor merupakan nadi utama yang terus menerus menjana kemewahan dan pembangunan yang dinikmati di Selangor. Tetapi, ramai rakyat di Selangor masih tidak dapat merasakan pembangunan tersebut memandangkan pembahagian kekayaan yang tidak sama rata yang terus dipraktikkan oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan sama seperti kerajaan-kerajaan negeri sebelum ini di bawah BN.

Walaupun, Khalid dianggap lebih telus dan ikhlas dalam mengendalikan pentadbiran kerajaan Selangor, tetapi polisi-polisi yang dipraktikkan masih memberikan keutamaan kepada kehendak sistem pasaran bebas kapitalisme.  Beberapa konflik yang muncul dalam pentadbiran Pakatan di Selangor, termasuk isu pembinaan lebuhraya Kidex menunjukkan bahawa keputusan politik yang diambil Khalid masih dikongkong oleh agenda kapitalis seperti mana keputusan-keputusan politik yang dibuat oleh menteri-menteri besar di bawah BN.  Dalam linkungan kapitalisme, kerajaan negeri juga tidak mampu menyelesaikan konflik air dan masalah perumahan yang semakin meruncing di Selangor.  

Ini bermakna, perlantikan seorang lagi menteri besar yang baru sama ada Wan Azizah atau Azmin Ali atau calon lain tidak mampu menyelesaikan isu-isu sosial dan ekonomi rakyat Selangor. Menteri besar baru juga akan terus didesak oleh agen-agen kapitalis untuk tunduk kepada naluri memaksimumkan keuntungan.  Ini kerana seperti BN , Pakatan juga mendukung agenda kapitalisme, di mana kerajaan akan menuruti kehendak minoriti golongan kaya dan kapitalis.


Hanya kerajaan yang mampu memiliknegarakan aktiviti ekonomi di bawah kawalan dan pengurusan majoriti kelas pekerja dan rakyat biasa sahajalah, satu perubahan sosial yang memihak kepada rakyat dapat menjadi kenyataan. Untuk menuju ke arah tersebut, parti massa yang berlandaskan kepada hasrat dan keperluan kelas pekerja dan anak muda harus dibina.

No comments: