Wednesday 28 May 2014

TRAJEDI LOMBONG DI TURKI

MOGOK DAN BANTAHAN BESAR-BESARAN TERHADAP KERAJAAN 

Pada 13 Mei, peralatan elektrik yang rosak telah mencetuskan letupan maut di lombong arang batu di Soma, barat Turki. Sekurang-kurangnya 282 pelombong telah kehilangan nyawa manakala lebih 100 pelombong terperangkap di bawah tanah dengan mayat-mayat yang sedang reput. Bencana di Soma adalah kemalangan perindustrian yang paling teruk yang pernah terjadi dalam sejarah Turki.

Sepantas kilat, protes tersebar ke seluruh Turki kerana kebanyakan pekerja dan anak muda dengan tepat telah mengenalpasti bahawa kerajaan pemerintah AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) dan sekutu-sekutu kapitalis mereka adalah punca utama kepada trajedi ini. Tambahan pula, parti pemerintah dan keluarga Perdana Menteri Erdogan telah terlibat dalam pelbagai skandal sejak beberapa bulan lalu dan juga beberapa protes anti-kerajaan besar-besaran telah berlangsung pada tahun lepas sekitar peristiwa-peristiwa di Dataran Taksim.

Walau bagaimanapun, kelas pemerintah Turki gentar pada kali ini disebabkan oleh sejumlah besar daripada golongan pekerja yang telah menjadi pengundi utama mereka sedang didorong dengan kemarahan dan makin berani menentang rejim Erdogan yang semakin tidak popular. Apabila Erdogan melawat lombong di Soma sehari selepas kejadian, dia telah dicemuh dan dikecam sebagai seorang ‘pembunuh dan pencuri’ oleh penduduk tempatan dan keluarga pelombong itu. Sebuah rakaman video yang tersebar luas di internet menunjukkan adegan Erdogan yang terpaksa bersembunyi di dalam sebuah pasar raya yang dilindungi oleh pengawal keselamatan peribadi untuk melarikan diri daripada orang ramai.

Di Istanbul, Ankara dan di beberapa bandar utama yang lain, ribuan rakyat biasa telah turun ke jalan raya menuntut perletakan jawatan kerajaan pemerintah tanpa takut dengan kekerasan daripada pihak polis. Empat kesatuan sekerja di Turki telah melancarkan mogok nasional 24 jam dan disertai oleh anak muda dan rakyat biasa. Di Izmir, bandar ketiga terbesar di Turki, dilaporkan seramai 20 ribu orang telah turun ke jalan raya sebagai tanda solidariti bagi pelancaran mogok itu.

Dari awal lagi, dasar-dasar yang dipegang oleh AKP adalah bertujuan untuk menyebelahi para kapitalis dan kroni-kroni mereka. Ini digambarkan dengan tindak balas angkuh dan menghina terhadap pekerja-pekerja yang terlibat dalam bencana di Soma. Baru-baru ini, penasihat kepada Perdana Menteri Turki, Yusuf Yerkel telah digambar sedang menendang salah seorang ahli keluarga pelombong yang telah maut dalam bencana itu. Erdogan sendiri telah mengulas bahawa bencana sebegini adalah “perkara biasa dalam lumrah perniagaan”, dan bahawa tidak ada “ kerja tanpa kemalangan”.

Tetapi sepertimana pekerja pelombong, wakil-wakil pekerja dan penunjuk perasaan menegaskan, ini bukan satu kemalangan, tetapi satu pembunuhan beramai-ramai. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SPOT ( Solidariti Rakyat Turki ) baru-baru ini menyatakan bahawa " dalam tempoh 12 tahun pemerintahan AKP, lebih daripada 14,000 kematian yang berkaitan situasi tempat kerja telah berlaku". Begitu juga, tanggungjawab bagi bencana maut di Soma ini terletak sepenuhnya di bahu kerajaan AKP yang menyokong agenda kapitalis.

Kerajaan telah menswastakan industri perlombongan pada 2005. Jumlah kematian di lombong swasta di Turki adalah sebelas kali lebih tinggi daripada lombong milik kerajaan. Statistik yang ada menunjukkan bagaimana kehidupan beribu-ribu pelombong telah dikorbankan atas nama keuntungan maksimum bagi segelintir pemilik lombong swasta. Maka, tuntutan yang wajar dalam pergerakan rakyat ini adalah - memiliknegarakan semula semua lombong swasta di bawah kawalan dan pengurusan pekerja secara demokratik.

Pihak berkuasa Turki juga tidak pernah menandatangani ‘Perjanjian Keselamatan dan Kesihatan Lombong ‘ yang dikelola oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa, yang memberikan satu tanggungjawab minimum kepada kerajaan dan pihak majikan lombong untuk menjamin kesihatan dan keselamatan pekerja, dan untuk mengelakkan kemalangan. Para pemerintah AKP juga telah menolak usul daripada pembangkang beberapa minggu lalu yang menuntut siasatan ke atas keadaan keselamatan di lombong-lombong, jelas untuk melindungi kroni mereka. Hubungan intim antara parti pemerintah dan kelas kapitalis telah terbongkar apabila didapati bahawa isteri kepada pemilik lombong Soma telah dilantik menjadi ahli majlis tempatan untuk AKP!


CWI di Turki dan di negara lain telah mengambil pendirian untuk bersolidariti dengan pelombong Soma dan saudara-mara mereka, dan dengan pekerja-pekerja dan anak muda yang sedang berjuang di Turki. Kami menyokong pembinaan sebuah pergerakan besar-besaran dan berterusan yang boleh menjatuhkan rejim kejam Erdogan. Dalam erti kata itu, mogok ini mesti menjadi langkah pertama dalam pembinaan gerakan tersebut. Gerakan itu diperlukan untuk menjatuhkan kerajaan AKP dan menggantikannya dengan kerajaan pekerja yang akan mempertahankan hak-hak demokratik, menghancurkan cengkaman kapitalisme dan melaksanakan dasar-dasar sosialis untuk memenuhi keperluan pekerja dan rakyat biasa.

No comments: