Sunday 25 May 2014

PILIHANRAYA INDONESIA : TIADA PARTI UNTUK MEWAKILI KELAS PEKERJA DAN RAKYAT MISKIN

PEMBINAAN PARTI KELAS PEKERJA DAN RAKYAT MISKIN PERLU UNTUK MEMBINA POLITIK ALTERNATIF 

Indonesia, negara keempat penduduk terbanyak di dunia, telah selesai melaksanakan pilihanraya pada 9 April yang lalu untuk memilih calon legislatif. Hasil rasmi menunjukkan Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) pimpinan Megawati, anak kepada pendiri bangsa Soekarno, meraih kemenangan dengan perolehan undi sebanyak 19%. Golkar, parti yang pernah memerintah selama 32 tahun (1966-1998) pada masa pemerintahan Diktator Soeharto di urutan kedua (14%). Sedangkan di urutan ketiga adalah Partai Gerindra (11%) yang dipimpin oleh Prabowo, bekas jeneral tentera yang dipecat setelah terbukti bersalah memberi perintah penculikan beberapa aktivis menjelang kejatuhan diktator Soeharto tahun 1998.

Pada 9 Julai nanti akan diadakan pilihanraya untuk mengundi presiden secara langsung yang dijangkakan akan lebih menarik perhatian dunia daripada PRU yang lepas. Sampai dengan penamaan calon ditutup pada 20 Mei, hanya  dua pasangan calon yang telah mensahkan diri untuk bertanding, iaitu pasangan Jokowi dan Jusuf kalla bersaing dengan Prabowo-Hatta Rajasa. Ini bermakna proses pemilihan presiden nanti hanya akan berlangsung satu pusingan sahaja dengan kiraan undi majoriti mudah.

Sebelum kita teruskan perbincangan dengan prospek pemilihan presiden yang akan datang , ada baiknya kita imbas kembali proses pemilihan ini dari mula supaya kelas pekerja mendapat pelajaran dari PRU Indonesia.

PRU Sebagai Jalan Keluar?

Indonesia memiliki sejarah perjuangan kiri yang besar hasil dari perjuangan menentang penjajahan. Tetapi Soeharto telah memerintah selama 32 tahun setelah melakukan pembunuhan terhadap lebih daripada sejuta orang yang dituduh sebagai komunis pada tahun 1965-1968. Selepas Soeharto digulingkan melalui demonstrasi rakyat pada tahun 1998, beberapa siri kerajaan yang tunduk kepada kuasa neoliberal terus memerintah. Namun begitu, rakyat Indonesia semakin tidak berpuas hati dengan praktik korupsi hampir di semua institusi politik, peningkatan harga barangan asas, kekurangan kemudahan infrastruktur, layanan kesihatan yang teruk, serta ketidakjelasan prospek ekonomi.

Sebahagian rakyat masih berilusi bahawa PRU kali ini akan membawa negara yang sudah 15 tahun terbebas dari pemerintahan authoritarian tersebut dapat keluar daripada krisis. Sebahagian yang lain sudah jemu dengan PRU kerana dianggap tidak dapat menyelesaikan persoalan kehidupan mereka sehari-hari. Inilah sebab jumlah yang keluar mengundi kali ini lebih kecil dari PRU-PRU sebelumnya, iaitu hanya 73%.

Pada tahun 1999, iaitu PRU demokratik pertama yang diadakan selepas kejatuhan jeneral Soeharto melalui demonstrasi rakyat, jumlah pengundi mencapai 93%. Namun pada PRU-PRU setelahnya, jumlah ini semakin menurun. Bahkan dalam tiga PRU terakhir, jumlah yang tidak mengundi lebih besar daripada jumlah perolehan undi pemenang pilihanraya. Jadi boleh dikatakan, pemenang sebenar dari PRU adalah mereka yang tidak mengundi.

Banyak pihak melihat bahawa tren menurunnya jumlah pengundi menunjukkan masyarakat sudah jemu dengan politik pilihanraya yang tidak membawa perubahan riil di masyarakat. Namun masalahnya, masyarakat yang tidak percaya dengan PRU ini belum menemukan sebuah alternatif politik yang betul-betul memihak kepada golongan bawahan. Golput atau tidak mengundi tidak dapat menyelesaikan persoalan. Ketidakpuasan terhadap elit politik mesti disalurkan dengan membangun kekuatan politik alternatif yang dapat mengatasi persoalan masyarakat miskin dan kelas pekerja. Jika sebuah parti politik semacama itu dapat diciptakan, maka ia boleh mengambil alih kuasa demi kepentingan rakyat banyak.

Kegagalan Parti Kiri

Keterbukaan politik hasil dari reformasi memang dirasakan manfaatnya bagi golongan bawahan dengan menciptakan politiknya sendiri. Pemogokan-pemogokan umum secara terorganisir seperti yang berlaku pada tahun 2012 dan 2013 adalah bukti bahawa politik kelas pekerja wujud. Namun hal ini belum berjaya menghasilkan satu sikap politik yang mandiri dari kelas pekerja. Intervensi yang dilakukan oleh kelas pekerja dan gerakan kiri dalam PRU kali ini masih bersikap memihak kepada salah satu calon atau parti yang bertanding, kerana mereka belum mampu membangun parti politik parti sendiri.

Partai Rakyat Demokratik (PRD) yang berperanan besar dalam menjatuhkan Soeharto dan menjadi tempat berkumpulnya aktivis kiri muda radikal tidak pernah pulih dari perpecahan dan krisis ideologi. Status mereka sebagai parti yang pernah diidolakan oleh kalangan anak muda progresif seperti tidak bermakna kerana mereka tidak mampu merespon perkembangan politik yang berlaku selepas reformasi yang sebenarnya mereka terajui. Ketika mereka memiliki kesempatan untuk memimpin gelombang kemarahan rakyat yang benci dengan kekejaman Soeharto selama 32 tahun, mereka malah menyerahkan kepimpinan tersebut kepada elit “borjuis progresif” untuk memimpin reformasi.

Reformasi memang berjaya menjatuhkan Soeharto pada tahun 1998, tetapi sistem dan elit politik lama masih bertahan. Pemerintahan masih didominasi oleh elit politik lama. Pengaruh tentera dalam politik tidak berjaya dihapuskan. Parti Golkar masih terus mendapat undi signifikan dalam setiap pilihanraya.

Kesalahan fatal ini mesti dibayar mahal oleh PRD dan gerakan kiri di Indonesia. Hanya setahun selepas reformasi, ketika PRU demokratik pertama kali diadakan, PRD ikut bertanding tanpa mendapat satu pun kerusi legislatif. Kegagalan dalam memenangkan jalan parliamentarian ini menimbulkan perpecahan dalaman yang tak pernah pulih sampai saat ini. Banyak aktivis PRD kemudian menyerah dan memilih jalan singkat bergabung dengan parti borjuis.

Semenjak PRD bertanding dalam PRU tahun 1999, tidak pernah ada lagi parti kiri yang bertanding dalam PRU. Hal itu bukan disebabkan oleh taktik mereka yang menolak bertanding dalam pilihanraya. Kegagalan mengorganisasi di tingkat basis membuat mereka sukar mendapat sokongan dan memenuhi syarat-syarat sebagai sebuah parti politik yang layak untuk bertanding.

Jika dahulu mereka memilih bergabung dengan “parti borjuis progresif” seperti PDIP, namun sekarang pertimbangannya lebih kepada populariti sesebuah parti untuk memudahkan jalan mereka ke parlimen, tidak kira sama ada parti tersebut progresif atau tidak. 

Kembalinya Kekuatan Lama

PRU kali ini menunjukkan dengan jelas kembalinya unsur kekuatan lama. Jokowi dari PDIP yang dianggap sebagai tokoh politik baru telah memilih Jusuf Kalla, bekas ketua parti Golkar dan pernah menjadi wakil presiden Susilo Bambang Yudhoyono.  Sedangkan Prabowo adalah anak kepada seorang ahli ekonomi pro kapitalis yang membuat pelan perekonomian liberal Indonesia pada masa Soeharto. Bahkan ia juga telah berkahwin (kini sudah berbcerai) dengan Titiek, anak bungsu Soeharto. Titiek baru sahaja terpilih sebagai ahli parlimen setelah 15 tahun dinasti keluarga ini menjauhkan diri daripada politik. Salah satu faktor ia terpilih kerana partinya, Golkar selalu menyuarakan slogan: “Apa kabar? Lebih enak hidup di zaman bapakku kan?” semasa kempen. Kempen ini berjaya kerana propaganda pro Orde Baru yang membuat sebahagian merasa bahawa hidup mereka lebih baik di bawah kepimpinan Soeharto meskipun tiada demokrasi.

Golkar berjaya menarik kembali sokongan masyarakat yang tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi saat ini. CWI telah menekankan semenjak reformasi tahun 1998 lagi, bahawa perjuangan untuk demokrasi dan reformasi sahaja tidak cukup jika tidak diiringi dengan program sosialisme yang dapat memenuhi kebutuhan sosial dan ekonomi masyarakat miskin dan kelas pekerja ke arah perubahan sebenar masyarakat.

Kekuatan politik lama yang paling menonjol adalah Prabowo, yang bertanggung jawab terhadap penculikan aktivis (sebahagiannya ahli PRD) pada tahun 1998, yang merupakan calon kuat untuk terpilih menjadi presiden nanti. Selepas dipecat dari tentera, ia mendirikan partinya sendiri, Gerindra dan telah bertanding dalam PRU semenjak tahun 2004.  

Prabowo tidak disenangi oleh sebahagian aktivis kiri dan kumpulan pro demokrasi lain kerana latar belakang ketenteraan dan masa lalunya yang kelam. Tetapi ia juga mendapat sokongan daripada sebahagian aktivis kiri, sebahagiannya adalah bekas aktivis yang pernah menjadi mangsa penculikannya. Sebahagian mereka menduduki jawatan strategik di dalam parti tersebut dan sebahagiannya sudah dipastikan mendapat kerusi di parlimen.

Prabowo berjanji akan melaksanakan ekonomi kerakyatan dengan meningkatkan pelaburan dalam bidang pertanian sebanyak 10 kali ganda, di mana majoriti rakyat Indonesia masih bekerja di sektor tersebut. Akan tetapi dengan ekonomi Indonesia yang rentan dan pertumbuhan ekonomi yang terhad, ekonomi kerakyatan ini tidak akan boleh dicapai selagi masih tunduk kepada kapitalisme dan tuan tanah.

Prabowo juga mendapat sokongan dari Said Iqbal, presiden FSPMI (Federasi Serikat Pekerja Metal Indonesia) dan juga Konfederasi Serikat Pekerja Indonesia (KSPI), yang merupakan dua buah serikat pekerja terbesar di Indonesia. Kedua-dua serikat pekerja ini berperanan penting dalam mogok nasional yang melibatkan lebih 2 juta pekerja pada tahun 2012 dan 2013 lalu. Pada peringatan Hari Pekerja (Mayday) yang lalu di dalam stadium bolasepak nasional, KSPI menjemput Prabowo untuk berucap di hadapan ribuan massa KSPI. Di sini Said Iqbal secara rasmi menyatakan bahawa KSPI akan memilih Prabowo. Sebelumnya, ketika menanggapi masalah pelanggaran hak asasi yang dilakukan oleh Prabowo, Said Iqbal menyatakan: “Prabowo dikatakan ada masalah hak asasi, tetapi itu tidak ada kaitannya dengan kehidupan pekerja.” Pada masa yang sama Said Iqbal mengecam dasar pesaing kuat Prabowo dari PDIP, Jokowi yang dianggap tidak berpihak kepada kelas pekerja.

Politik Populis Jokowi

Jokowi adalah gabernor Jakarta, ibukota Indonesia yang berpenduduk 10 juta. Sebagai calon presiden dari parti pemenang PRU, PDIP, Jokowi memiliki peluang paling cerah untuk menjadi presiden. Dia adalah satu-satunya calon presiden dan elit politik popular berpengaruh yang bukan berasal dari golongan lama dan bukan pengusaha kaya. Karir politiknya di tingkat nasional mulai meningkat secara spektakuler dalam dua tahun terakhir ini. Ini semua berkat gaya kepimpinannya yang sederhana dan tidak terlihat elit sehingga disukai oleh masyarakat banyak, baik dari kelas bawah mahupun menengah.

Ketika bertanding untuk penggal kedua sebagai walikota (mayor) di kota Solo, Jawa Tengah, ia mendapat lebih 90% undi. Pada tahun 2012, World Mayor Project melalui lawan rasminya worldmayor.com mengiktiraf Jokowi sebagai walikota nombor tiga terbaik di dunia. Kejayaannya dalam mentadbir mendapat respon positif dari masyarakat dan media seluruh Indonesia. Masyarakat Jakarta kemudian mendesaknya untuk bertanding sebagai gabenor Jakarta pada tahun 2012, walaupun masa jawatannya sebagai walikota di Solo belum berakhir.

Dirinya semakin popular selepas mentadbir Jakarta kerana pendekatannya yang langsung turun berhadapan dengan masyarakat bawahan untuk mengetahui persoalan mereka tidak pernah dilakukan pemimpin lain di Indonesia sebelum itu. PDIP segera memanfaatkan populariti Jokowi dengan mencalonkannya sebagai presiden walaupun baru setahun setengah menjawat sebagai gabernor Jakarta.

Tuduhan Said Iqbal terhadap Jokowi memang benar. Walaupun popular di mata rakyat, tetapi dari segi dasar terhadap pekerja, Jokowi tidak pernah betul-betul menunjukkan keberpihakannya. Ketika mogok nasional pekerja yang dipimpin oleh Said Iqbal pada tahun 2013 menuntut kenaikan gaji minimum, Jokowi tidak dapat memenuhinya. Walaupun ia akhirnya menyetujui kenaikan gaji minimum untuk provinsi Jakarta, namun jumlahnya masih jauh di bawah tuntutan pekerja.
Jokowi adalah seorang ahli politik yang jujur dan sangat sederhana, sesuatu yang langka di dunia, lebih-lebih lagi di negara dunia ketiga seperti Indonesia. Namun kesederhanaan dalam tindakan dan gaya hidupnya tidak diiringi dengan kesedaran kelas dalam mengatasi persoalan sebuah negara yang pertentangan kelasnya sangat tajam. Apa yang dilakukan Jokowi adalah berusaha membantu masyarakat tanpa memberdayakan mereka.  

Selain itu, Jokowi juga disenangi oleh pasar modal antarabangsa dan kuasa besar asing, terutama Amerika Serikat. Ketika partinya menamakannya secara rasmi sebagai calon presiden hanya tiga minggu sebelum PRU legislatif, pasar kewangan antarabangsa bereaksi positif. Ia juga banyak mendapat liputan media antarabangsa seperti Wall Street Journal dan New York Times sebagai tokoh politik yang fenomenal dan kandidat terkuat sebagai calon presiden Indonesia. Kapitalis antarabangsa ini berharap Jokowi akan melakukan langkah-langkah reformasi perekonomian untuk kesempatan yang lebih luas bagi mereka mendapatkan keuntungan yang lebih banyak. Seperti yang dinyatakan oleh akhbar Financial Times: “Banyak pelabur asing melihat Jokowi seperti Narendra Modi, calon Perdana Menteri India, pemimpin baru yang akan memulakan kembali reformasi ekonomi yang telah berhenti dengan memotong subsidi dan birokrasi.”

Dengan begitu, wajar jika Said Iqbal sebagai pemimpin kesatuan sekerja menolak Jokowi dalam pemilihan presiden nanti. Apalagi calon wakil presidennya nanti adalah Jusuf Kalla, seorang pengusaha kaya raya dan bekas ketua parti Golkar.  

Tetapi sokongan Said Iqbal terhadap Prabowo menunjukkan bahawa ia punya kepentingan politik tersendiri, bukan didasarkan kepada kepentingan pekerja yang diwakilinya. Kerana jika dilihat dari segi apa pun, Prabowo jauh lebih buruk sikapnya terhadap penentangan kelas pekerja. Pada awal tahun ini, 600 orang pekerja di salah satu syarikat kertas milik Prabowo mogok kerja kerana sudah 5 bulan tidak dibayar gaji. Sebuah akhbar tempatan juga telah melaporkan ucapan Prabowo yang mengatakan ia akan menerapkan dasar neoliberalisme jika berkuasa. Dalam menghadapi pemilihan presiden nanti, Prabowo disokong oleh parti Golkar dan tiga buah parti Islam, iaitu PAN, PPP, dan PKS. Ketua parti PPP yang sedang menjabat sebagai Menteri Agama dalam kabinet SBY baru sahaja ditetapkan sebagai tersangka oleh mahkamah dalam kes penyelewengan dana haji. Sedangkan bekas presiden PKS sudah berada di penjara terlebih dulu kerana kes rasuah yang lain. Selain itu, Prabowo juga mendapat dukungan Front Anti Komunis, sebuah NGO yang selalu melakukan serangan fizikal terhadap aktiviti-aktiviti kelompok kiri.

Oleh sebab itu, Jokowi adalah satu-satunya harapan bagi sebahagian para aktivis kiri dan hak asasi untuk mencegah Prabowo menjadi presiden. Banyak dari mereka kemudian menjadi sukarelawan yang berkempen untuk kemenangan Jokowi. Padahal Jokowi tidak pernah menyatakan sikap terhadap para pencabul hak asasi seperti Prabowo. Jika Jokowi terpilih sebagai presiden nanti mungkin tidak akan dapat berbuat banyak dalam menghadapi kuasa kapitalis dan akan terus membebankan kelas pekerja.

Indonesia Memerlukan Parti Pekerja!

Pengalaman Indonesia sekali lagi menunjukkan bahawa dalam pilihan raya borjuis, rakyat diminta untuk memilih calon terbaik di antara yang terburuk. Ini berlaku kerana tidak ada parti politik yang betul-betul lahir dari bawah dan memperjuangkan nasib masyarakat kelas bawah. Sejarah telah menunjukkan bahawa golongan pekerja perlu mengambil tugas membangun parti supaya hak kelas pekerja dan masyarakat miskin terbela.

Di Indonesia, upaya itu sudah pernah dilakukan oleh PRD, tetapi gagal. Saat ini banyak kelompok kiri sama ada mereka yang berasal dari pecahan PRD atau bukan, namun tidak ada satu pun yang dominan dan berpengaruh terhadap peta politik nasional. Padahal jika mereka mampu menganalisis situasi politik dengan perspektif yang betul dan belajar dari kesilapan orang-orang terdahulu, maka negara dengan penduduk 260 juta ini punya potensi sebagai kuasa kelas pekerja terbesar di dunia.  

Pertumbuhan gerakan pekerja pun semakin memberangsangkan akhir-akhir ini. Namun apa yang kurang adalah perspektif dalam membangun parti. Sehingga peranan kepimpinan belum dapat dikendalikan sepenuhnya melalui kewujudan sebuah parti pekerja. Pada akhirnya gerakan pekerja terjebak dengan pertarungan elit borjuis dan menggantungkan nasib perjuangan kepada mereka.

Sosialis dan Marxist di Indonesia mesti belajar dari kesalahan PKI dan PRD supaya tidak mengulangi perkara yang sama dalam membangun alternatif bagi kelas pekerja dan masyarakat miskin. Mereka juga mesti dapat meyakinkan golongan Golput untuk menyokong inisiatif ini demi mendapatkan sebuah solusi politik bagi seluruh golongan tertindas.

Krisis kapitalisme global akibat dari sistem pasaran bebas turut dirasakan dampaknya di Indonesia. Laporan Bank Dunia pada bulan Mac menunjukkan koefisien ginni ketidaksetaraan pendapatan telah meningkat dari 0,35 pada tahun 2005, menjadi 0,41 pada tahun 2012. Ini telah melebihi angka 0,4 yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai pertanda akan berlakunya keresahan sosial.

Ini menunjukkan bahawa keperluan untuk sebuah parti kelas pekerja dan rakyat miskin sebagai alternatif kepada kapitalisme sudah sangat mendesak. Parti itu mesti mengedepankan program sosialisme untuk mengatasi kesenjangan ekonomi yang semakin melebar di antara kaya dan miskin yang diciptakan oleh sistem kapitalisme saat ini.


IYAN, CWI Malaysia

No comments: