Thursday 29 May 2014

DALAM KEMELESETAN EKONOMI PUN, GOLONGAN KAPITALIS SEMAKIN KAYA

Laporan Kekayaan Knight Frank (agensi perundingan hartanah global) 2014 untuk Malaysia, menyatakan bahawa bilangan individu terkaya di Malaysia dengan aset bersih bernilai RM99 juta (30 juta dolar) dijangka meningkat daripada 557 orang kepada 739 orang, iaitu peningkatan sebanyak 33 peratus, dalam masa sepuluh tahun yang akan datang. Untuk tahun 2013, 9 individu baru telah menyertai kategori tersebut untuk mencapai bilangan 557 orang. Manakala, individu kaya yang memiliki aset kekayaan RM 330 juta (100 juta dolar) pula meningkat kepada 206 dengan penyertaan tiga individu yang baru. Hampir 53 peratus daripada golongan kaya tersebut tinggal di Kuala Lumpur.


Ini bermakna, walaupun ekonomi rantau Asia dan dunia terus tidak menentu, golongan jutawan dan kapitalis terus mengaut keuntungan dan terus meningkatkan kemewahan mereka. Manakala, golongan berpendapatan rendah pula terus dibebankan dengan kenaikan harga barang dan peningkatan kos hidup. Untuk kebanyakan kelas pekerja, gaji sebenar yang diperoleh oleh mereka tidak selaras dengan kenaikan harga barang.


Yang jelas, setiap kali krisis ekonomi berlaku, yang menjadi mangsa adalah kelas pekerja walaupun krisis ekonomi dicetuskan akibat keghairahan golongan kapitalis untuk meningkatkan keuntungan. Selagi entiti-entiti ekonomi utama dan penting negara seperti institusi kewangan dan syarikat nasional dan multinasional dimiliki oleh golongan kapitalis maka rakyat biasa dan golongan pekerja akan terus dianaktirikan. Sebab itu untuk manfaat sejagat dengan matlamat untuk meningkatkan keperluan dan kebajikan rakyat, entiti-entiti ekonomi tersebut harus dimiliknegarakan dan di letakkan di bawah pengurusan dan kawalan secara demokratik oleh kelas pekerja.

No comments: