Wednesday 14 May 2014

AKSI PROTES PEKERJA INDUSTRI MAKANAN SEGERA (FAST FOOD) SEDUNIA PADA 15 MEI

HENTIKAN PENINDASAN TERHADAP PEKERJA MAKANAN SEGERA !

Pada 15 Mei , pekerja industri makanan segera melancarkan aksi mogok sehari di lebih 150 bandar-bandar serata Amerika Syarikat, disertai dengan aksi solidariti di tiga puluh buah negara seluruh dunia. Penganjur menjangkakan bahawa perjuangan ini buat kali pertama akan tersebar ke bandar-bandar dan negara-negara baru dan melibatkan ratusan ribu pekerja industri makanan segera.
Protes 15 Mei khususnya disasarkan terhadap syarikat kapitalis gergasi seperti McDonalds, KFC dan Burger King, dirancang di bandar-bandar seperti di Karachi, Casablanca , London, Sao Paolo , Dublin, Bangkok , Buenos Aires , Geneva, San Salvador , dan juga di negara India, Indonesia, Nigeria , Afrika Selatan, dan Jepun. 

Para aktivis pekerja telah merancang untuk mengadakan protes di luar ibu pejabat McDonald di Auckland, New Zealand; protes ‘flash mob’ di lima lokasi McDonald di Filipina, dan untuk menutup salah satu McDonald terbesar semasa waktu makan tengahari di Belgium. Pada hari berikutnya, pekerja-pekerja makanan segera di Itali merancang untuk melancarkan mogok mereka sendiri, pementasan protes di Rom, Milan, dan Venice dan menutup perniagaan makanan segera untuk hari tersebut.

Pekerja industri makanan segera seringkali dibayar dibawah kadar gaji minima dan ditindas oleh majikan untuk meraih untung bernilai berjuta-juta ringgit. Beribu-ribu pekerja industri makanan segera daripada seluruh dunia telah terlibat dalam pelbagai aksi protes dalam tahun-tahun kebelakangan ini bagi memperjuangkan hak mereka.

Seperti pekerja industri makanan segera di negara-negara lain, pekerja di Malaysia juga ditindas dengan teruk dalam sektor ini. Industri makanan segera di Malaysia sering mempergunakan tenaga kerja anak muda yang diberikan kerja kontrak untuk mencatatkan keuntungan berjuta-juta ringgit setiap tahun.

Dengan menggunakan terma ‘pekerja sementara’ atau ‘pekerja kontrak’, kebanyakkan pekerja makanan segera di Malaysia dibayar dibawah gaji minima. Majikan juga sering memotong kos operasi mereka dengan mengurangkan jumlah pekerja yang sebaliknya menyebabkan penambahan beban kerja dan tekanan kepada pekerja yang ada terutamanya pekerja tetap. 

Dengan peningkatan harga barang, harga minyak, pemotongan subsidi gula, pengenalan GST dan perjanjian TPPA, pekerja di Malaysia semakin hari semakin ditekan dengan masalah-masalah ekonomi. Gaji minima RM900 yang diperkenalkan pada tahun lepas didapati tidak cukup bagi menyelesaikan masalah asas rakyat, apa lagi memberikan peluang kehidupan yang lebih baik bagi masa hadapan keluarga mereka. Secara puratanya, gaji sejam bagi pekerja-pekerja industri makanan segera di Malaysia adalah sekitar RM4.50 sejam. Jika mereka bekerja 8 jam sehari, maka mereka akan dapat RM36 sehari. Sekiranya mereka ingin memperoleh gaji lebih dari RM900 (gaji minimum) dalam sebulan, mereka perlu bekerja setiap hari, tanpa cuti Sabtu dan Ahad ! 

CWI menyokong tindakan pekerja-pekerja industri makanan segera di seluruh dunia pada 15 Mei ini dan menyeru kepada pekerja-pekerja di Malaysia untuk turut bersama memberikan sokongan solidariti. 

Pekerja-pekerja industri makanan segera di Malaysia juga perlu menyusun diri mereka ke dalam kesatuan untuk mempertahankan hak dan kebajikan mereka dan turut terlibat dalam gerakan-gerakan pekerja sebegini untuk membina solidariti. 

PEKERJA SEDUNIA BERSATULAH MENENTANG PENINDASAN KAPITALISME !

No comments: