Tuesday 8 April 2014

PRK Kajang: Daripada Siapa, Untuk Siapa?


Hujung Januari yang lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang dari PKR iaitu Lee Chin Cheh telah meletakkan jawatan dengan alasan bahawa beliau mengosongkan kerusi itu demi untuk menjaga kepentingan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor. Beliau baru sahaja menjadi Adun selepas dipilih dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lepas. Situasi ini menyebabkan Pilihan Raya Kecil terpaksa diadakan untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut. Lalu, PR mencalonkan Anwar Ibrahim untuk bertanding di kawasan itu. Keadaan ini menimbulkan desas-desus bahawa perletakan jawatan Lee Chin Cheh tersebut sengaja dilakukan untuk memberikan laluan kepada Anwar Ibrahim supaya beliau boleh menjadi Menteri Besar Selangor, sekaligus menyelesaikan konflik dalaman yang berlaku dalam parti politik itu.

Dalam pada itu, persidangan Mahkamah Rayuan yang telah ditetapkan tarikhnya awal-awal lagi telah memutuskan bahawa Anwar Ibrahim disabitkan bersalah atas tuduhan meliwat. Oleh yang demikian, beliau tidak dapat bertanding dan Wan Azizah pula menjadi pengganti sebagai calon dalam pilihan raya tersebut. Situasi-situasi ini seolah-olah untuk menunjukkan bahawa kerajaan tidak berlaku adil dan sengaja menghukum Anwar Ibrahim supaya beliau tidak bertanding. Manakala ada pula yang berpendapat bahawa perkara ini sudah dirancang supaya Anwar Ibrahim dilihat sebagai ikon ketidakadilan sepertimana yang pernah berlaku pada tahun 1998. Mereka mahu mencetuskan Reformasi 2.0. Hal ini jelas dilihat apabila pada malam-malam terakhir kempen pilihan raya, PR telah melancarkan Reformasi 2.0.

Apapun sebabnya, sifat-sifat reaksioner dan kapitalis kedua-dua parti politik, baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, menggambarkan bahawa mereka lebih mengutamakan kuasa berbanding kepentingan dan kebajikan rakyat itu sendiri. Tinjauan Solidariti Pekerja ke ceramah-ceramah kedua-dua parti politik telah mendapati bahawa di pihak Barisan Nasional, mereka akan menyatakan tentang keputusan kes Mahkamah, begitu juga dengan Pakatan Rakyat. Sememangnya sesiapa sahaja yang menjadi mangsa ketidakadilan adalah sesuatu yang harus diakui. Walau bagaimanapun, mengapa parti-parti politik ini tidak bercakap tentang isu-isu rakyat? Apakah tidak ada isu lain selain menyebarkan sentimen kebencian? Bagaimana sebenarnya kedua-dua parti tersebut melihat peranan sesebuah parti politik? Adakah mereka ini bersifat elitisme, yakni cuma mahu mengutamakan diri sendiri? Lebih penting lagi, adakah rakyat cuma dijadikan sebagai alat semata-mata untuk menyelamatkan kuasa mereka?

Justeru, rakyat tidak boleh lagi mengharapkan kedua-dua parti tersebut. Untuk melakukan perubahan, sekarang ia adalah amat penting untuk membina kesatuan sekerja ataupun parti politik yang berlandaskan kepada kelas pekerja dan massa. Hal ini kerana kelas pekerja adalah golongan yang sering ditindas dan lebih merasai keperitan hidup berbanding golongan kapitalis yang cuma tahu untuk meraih keuntungan bagi diri mereka sendiri. Begitu juga dengan parti-parti politik yang ada di negara ini, kebanyakannya dipimpin oleh golongan elit yang kaya raya dan jarang sekali mengambil berat akan kepentingan rakyat dengan serius.

Sharifah, CWI Malaysia

No comments: