Wednesday 30 April 2014

1 MEI : HARI YANG MENGINGATKAN BAHAWA KELAS PEKERJA ADALAH KUASA PERUBAHAN DALAM MASYARAKAT


Hari Pekerja atau Hari Satu Mei bukan calang-calang hari. Ramai dalam kalangan kita yang menganggap bahawa hari itu adalah hari untuk kita bercuti semata-mata, ataupun hari untuk mendapat ‘double pay’ kerana bekerja ketika cuti umum. Secara sejarahnya, Hari Pekerja adalah hari kemenangan bagi kelas pekerja dalam perjuangan mereka untuk menuntut pengurangan jam kerja iaitu dari 12-16 jam sehari kepada 8 jam sehari. Kemenangan ini tidak diraih dengan sekelip mata, bahkan merupakan satu perjuangan yang panjang kerana berlangsung pada sekitar tempoh tahun 1886-1890-an. Ia adalah perjuangan yang amat mengagumkan kerana melibatkan pengorbanan warga pekerja yang berusaha untuk membebaskan diri mereka daripada penindasan majikan-majikan yang tidak berperikemanusiaan. Dalam hal ini, sistem kapitalisme yang diangkat oleh para majikan itu begitu mementingkan keuntungan sehinggakan sanggup untuk menafikan hak-hak pekerja. Sedangkan tanpa warga pekerja, syarikat-syarikat tersebut pasti tidak akan mendapat keuntungan dan memperkembangkan perniagaannya.

Perjuangan berkenaan menyaksikan hasilnya apabila warga pekerja dapat menikmati masa yang lebih untuk diri sendiri, dan bersama-sama keluarga serta masyarakat. Walau bagaimanapun, kerakusan sistem kapitalisme semakin lama makin menyebabkan syarikat-syarikat menekan pekerja-pekerja untuk bekerja lebih dari 8 jam. Di Malaysia, kebanyakan pekerja masih mengalami masalah tersebut. Bahkan, dasar-dasar GST, TPPA, pemotongan subsidi, kenaikan harga barang dan sebagainya lagi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kapitalis di negara ini turut tidak berpihak kepada kelas pekerja dan masyarakat biasa. Tuntutan para pekerja Hospital Assunta, piket NUBE, piket pekerja Hong Leong Bank dan banyak lagi cukup menggambarkan betapa para pekerja tidak mendapat hak yang sepatutnya.

Sunday 20 April 2014

TPPA: AGENDA TERSEMBUNYI KAPI­TALIS UNTUK MENINDAS RAKYAT BIASA



Presiden Amerika Syarikat, Ba­rack Obama, akan berkunjung ke negara-negara Asia termasuk­lah Malaysia. Sudah tentu TPPA ataupun Perjanjian Rakan Kongsi Negara-Negara Pasifik (Trans Pacific Partnership Agreement) akan menjadi agenda utama Obama. Obama akan cuba untuk memberikan keyakinan kepada para pemerintah negara-negara Asia termasuk kerajaan BN su­paya menerima dan bersetuju dengan perjanjian itu. Ia juga merupakan sebahagian usaha syarikat-syarikat korporat ger­gasi kapitalis yang mendesak su­paya penguasaan mereka dalam ekonomi dapat diperkukuhkan dan diperluaskan tanpa kekangan undang-undang atau keadaan politik-sosial-ekonomi sesuatu negara. Keadaan inilah yang membimbangkan sekiranya Ma­laysia menandatangani perjan­jian itu. Rakyatlah yang akan me­nanggung kesan buruk daripada TPPA tersebut.

Hal ini kerana perjanjian itu di antaranya tidak akan membenar­kan penjualan ubat generik yang murah di negara ini sedangkan ia mempunyai kandungan dan ke­san yang sama dengan ubat yang dikeluarkan oleh syarikat-syari­kat korporat antarabangsa teru­tama di Amerika. Maka, dengan TPPA, rakyat terpaksa menang­gung kos perubatan yang amat mahal, dan ini akan memberikan kesan teruk kepada pesakit-pe­sakit yang menghadapi penyakit kronik seperti HIV, kencing ma­nis, darah tinggi dan lain-lain.

Tuesday 8 April 2014

PRK Kajang: Daripada Siapa, Untuk Siapa?


Hujung Januari yang lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang dari PKR iaitu Lee Chin Cheh telah meletakkan jawatan dengan alasan bahawa beliau mengosongkan kerusi itu demi untuk menjaga kepentingan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor. Beliau baru sahaja menjadi Adun selepas dipilih dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lepas. Situasi ini menyebabkan Pilihan Raya Kecil terpaksa diadakan untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut. Lalu, PR mencalonkan Anwar Ibrahim untuk bertanding di kawasan itu. Keadaan ini menimbulkan desas-desus bahawa perletakan jawatan Lee Chin Cheh tersebut sengaja dilakukan untuk memberikan laluan kepada Anwar Ibrahim supaya beliau boleh menjadi Menteri Besar Selangor, sekaligus menyelesaikan konflik dalaman yang berlaku dalam parti politik itu.

Monday 7 April 2014

Pekerja Hospital Assunta Menuntut Kebajikan Mereka Dihormati



Pekerja Hospital Assunta, Petaling Jaya melancarkan satu piket di luar premis hospital itu pada 19 Mac bagi menuntut pihak pengurusan supaya menyelesaikan masalah mereka. Mereka mendakwa bahawa pihak pengurusan hospital tidak mengambil kisah akan kebajikan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital, Peter Leong, berkata bahawa pihak pengurusan sedih dan terkejut dengan tindakan yang diambil oleh pekerja “Terdapat saluran yang betul untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka dan piket ini adalah tidak perlu. Tindakan mereka juga boleh menjejaskan beberapa pesakit di sini,” katanya.
Leong berkata kakitangan hospital sentiasa dialu-alukan ke pejabatnya untuk membincangkan rasa tidak puas hati mereka kerana dia sentiasa mengekalkan dasar pintu terbuka. “Beberapa isu yang mereka bangkitkan telah dibincangkan dalam mesyuarat kami dengan ketua-ketua jabatan,” katanya.

Walau bagaimanapun, pihak pekerja telah mendedahkan wajah sebenar majikan. Pihak majikan didapati telah memaksa mereka bekerja lebih masa tanpa gaji dan memberikan layanan yang buruk apabila pekerja ingin berbincang dengan majikan mengenai kebajikan pekerja. Majikan didapati langsung tidak mengendahkan masalah pekerja.

Sunday 6 April 2014

Sarawak: Ketua Menteri Bertukar…Nasib Rakyat Biasa Kekal !



Pada 28 Februari lalu , Taib Mahmud , Ketua Menteri  Sarawak telah mengumumkan secara rasmi meletak jawatan yang disandang sejak 26 March 1981.  Beliau telah diganti oleh Adenan Satem , berusia 70 tahun dan dilantik pada 1 March 2014.  Perlantikan ini menanda sudah 5 Ketua Menteri telah memegang jawatan itu semenjak penubuhan persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 bersama Sabah dan Malaya. 

Peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri selepas berkhidmat selama 33 tahun sudah semestinya mengundang pelbagai reaksi oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia dan Sarawak khususnya. Taib mempunyai fail siasatan sebanyak 400 di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM).  Pelbagai pendedahan dibuat di media bahawa Taib mempunyai jaringan perniagaan persendirian luas meliputi Syarikat Cahaya Mata Sarawak (CMS) , Sarawak Energy Berhad ,  Naim Holdings dan lain-lain lagi yang didakwa diperolehi melalui kuasa politik beliau sebagai orang nombor satu di Sarawak.  Namun begitu , dengan kuasa kewangan dan jentera politik yang lebih cekap daripada pembangkang, beliau berjaya memberi kemenangan selesa pada setiap pilihanraya untuk BN dan ini dipergunakan untuk mengekalkan kuasa selama 3 dekad.