Thursday 13 March 2014

Pakistan: Kelas pemerintah tidak tentu arah, Taliban semakin mengganas dan penderitaan rakyat semakin parah.

Tidak nampak pengakhiran kepada keganasan untuk rakyat Pakistan...


Sebagaimana pembunuhan dan penganiayaan terhadap orang awam yang tidak bersalah semakin meningkat sejak kebelakangan ini, begitu juga dengan retorik rundingan daripada beberapa badan-badan kerajaan, dan juga daripada Parti PTI (Gerakan Pakistan untuk Keadilan) yang dipimpin oleh Imran Khan. Ini seolah-olah untuk mencetuskan satu lagi harapan apabila keganasan tidak boleh dihentikan dengan mempergunakan kekerasan, maka satu rundingan adalah diperlukan. Nizar, Menteri Dalam Negeri yang juga pemimpin PML-N (Liga Muslim Pakistan-Nawaz) dan Imran Khan, berjaya mempergunakan pendekatan politik Zia ul Haq yang masih wujud dalam kesedaran orang ramai, di mana pemimpin-pemimpin berhaluan kanan ini menganggap bahawa, selagi ada kumpulan yang sedang melonjakkan slogan Islam, maka mereka berhak mendapat perhatian istimewa. Berdasarkan analogi tersebut, suatu strategi dibentuk untuk berunding dengan Taliban.


Perkataan ‘kami akan berunding’, menjadi strategi keseluruhan kerajaan Pakistan. Tidak ada sebarang idea di luar lingkungan tersebut. Strategi kedua-dua parti pemerintah dan parti pembangkang sedang di momok-momokan dan dicemuh oleh militan bersenjata yang diketuai oleh Taliban. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan langsung tidak membalas cemuhan tersebut.

Kerajaan Pakistan tidak memikirkan tentang syarat-syarat kepada rundingan ini. Kini, Taliban pula telah mengumumkan bahawa pelaksanaan undang-undang Syariah adalah syarat perlu sebelum rundingan tersebut boleh dimulakan. Pada masa yang sama, sebelum rundingan itu secara rasmi dimulakan, Taliban terus membunuh dan menyerang rakyat Pakistan di tempat-tempat awam seperti di pawagam, pasar dan hotel.

Adakah para pendukung rundingan ini mempunyai jawapan yang jelas? Apakah niat sebenar kerajaan yang ingin berunding dengan pihak yang meneruskan aktiviti pembunuhan orang awam? Bagaimana dengan Taliban yang kononnya mempunyai niat baik untuk berunding? Ia seolah-olah seperti kerajaan menghentak kaki mereka setiap kali suatu ledakan bom berlaku dan berkata kepada Taliban  ‘kamu dimaafkan, tetapi ini adalah kali terakhir’. Sudah tentu retorik tersebut adalah sehingga satu lagi pembunuhan berlaku.

Walaupun begitu, ramai yang mempunyai ilusi terhadap rundingan ini, tetapi ia pasti tidak akan berlangsung selancar yang diharapkan.

Kumpulan-kumpulan ekstremis agama cuba untuk mendapatkan simpati daripada orang ramai, dan sebilangan besar rakyat di negara ini sudah mula percaya bahawa sesuatu akan dicapai daripada rundingan tersebut. Walau bagaimanapun, ini adalah anggapan palsu. Jalan kepada rundingan tersebut sangat panjang dan sukar. Akan timbul pelbagai isu perbalahan daripada rundingan tersebut.

Dalam keseluruhan proses ini, banyak soalan penting masih tidak terjawab. Antara soalan yang terpenting adalah; apakah yang akan berlaku kepada orang-orang Pakistan yang tinggal di wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Taliban? Undang-undang mana yang patut mereka ikuti? Jika jawapannya adalah undang-undang Taliban, maka ia adalah lebih baik untuk mengundang Taliban ke Islamabad dan menyerahkan semua kuasa pemerintahan kepada mereka dalam suatu majlis besar-besaran untuk menyambut peralihan kuasa ini. Warga perempuan tidak perlu hadir.

Bagaimana pula dengan perasaan beribu-ribu banduan yang sedang meringkuk di penjara disebabkan jenayah membunuh? Mereka pasti sedang mengutuk nasib mereka, sekiranya mereka telah melakukan jenayah membunuh itu atas nama agama, pasti kerajaan Pakistan akan berunding dengan mereka. Mereka yang terlibat dalam peras ugut dan penculikan atas nama agama dibenarkan untuk duduk di meja rundingan dalam dialog dengan kerajaan Pakistan. Mereka yang sedang merancang untuk melakukan pembunuhan kejam dalam masa terdekat patut memberikan perhatian. Sejarah Pakistan akan melihat tempoh masa ini sebagai mendedahkan satu fakta tertentu; khayalan tentang kepentingan orang-orang yang membunuh atas nama agama. Ia adalah agak mengejutkan bagaimana begitu ramai yang telah terpedaya. Berlandaskan kepada strategi rundingan tersebut, Taliban memberikan kita pengajaran sebenar.

Sambil menghadapi kesengsaraan yang teruk, rakyat Pakistan memandang ke arah langit untuk pembebasan mereka. Dalam keadaan terdesak, mereka memandang ke arah pemerintah mereka, tetapi ini adalah para pemerintah yang sedang menggigil ketakutan menghadapi serangan pihak Taliban. Dari 5 Jun 2013, apabila Nawaz Sharif memulakan penggal ketiganya sebagai Perdana Menteri, sehingga kepada 7 Februari 2014, terdapat 863 insiden keganasan yang dilakukan oleh Taliban dan sekutu-sekutunya yang telah disokong oleh Al-Qaeda. Seramai 1403 orang telah terbunuh dalam jangka masa tersebut. Kerajaan tidak mengambil sebarang langkah langsung terhadap kumpulan-kumpulan ini yang melakukan pembunuhan dan kemusnahan atas nama agama.

Sejak tahun 2004, lebih daripada 46 ribu orang telah kehilangan nyawa mereka dan beribu-ribu lagi telah cedera dan mengalami kecacatan. Lebih daripada 3000 anggota keselamatan telah kehilangan nyawa. Ekonomi Pakistan telah kehilangan lebih daripada $68 bilion dolar Amerika Syarikat akibat peperangan dan keganasan ini. Kerugian nyawa dan ekonomi di Pakistan adalah jauh lebih besar daripada kerugian di Afghanistan semenjak Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa imperialis lain campur tangan di negara itu pada tahun 2002. Rakyat jelata dan kelas pekerja terus menderita akibat ketidakwarasan yang dilakukan atas nama agama dan atas nama untuk menyelamatkan negara ini.

Isu sebenar dalam konteks ini adalah sama ada kerajaan Pakistan bersedia untuk meninggalkan agenda agama sebagai slogan politik dan alat untuk menindas kelas pekerja dan rakyat biasa. Sama ada ia bersedia untuk menghentikan sokongannya terhadap organisasi jihad dan kumpulan-kumpulan seperti Taliban. Jawapannya adalah bahawa kerajaan Pakistan tidak bersedia untuk meninggalkan dasar yang dimulakan sejak tahun 1970-an lagi. Masalah dengan kerajaan Pakistan pada masa ini adalah bahawa ia mahu meneruskan dasar reaksioner dan pada masa yang sama, kononnya mahu untuk membawa keamanan kepada negara. Tentera Pakistan memerangi beberapa kumpulan Taliban dan sekutu-sekutu Al-Qaeda di kawasan pedalaman tetapi pada masa yang sama, menyokong kumpulan-kumpulan Taliban yang berjuang di Afghanistan tetapi memiliki tempat perlindungan di Pakistan.

Kerajaan Pakistan telah memutuskan untuk meneruskan rundingan dengan Taliban dengan harapan bahawa mereka boleh dipujuk untuk meninggalkan matlamat mereka yang ingin mewujudkan pemerintahan khalifah Islam, meletakkan senjata mereka dan berikrar kesetiaan kepada perlembagaan. Semenjak skim ini diumumkan oleh Perdana Menteri di Dewan Negara pada 29 Januari, keganasan oleh pihak Taliban langsung tidak reda dan berterusan seperti biasa.

Tindakan ketenteraan oleh kerajaan Pakistan di Waziristan Utara mungkin telah menjana sokongan tertentu daripada khalayak umum dan juga mencetuskan rasa ketidakpedulian dalam kalangan mereka. Tetapi ia membawa kepada lebih banyak serangan di pusat-pusat bandar, maka pihak pembangkang akan mula menyalahkan kerajaan. Di satu sisi, kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang yang zalim seperti Ordinan Perlindungan Pakistan. Pada sisi yang lain, ia mengundang pengganas untuk berunding supaya "keadaan boleh diselamatkan". Taliban melihat kerajaan dan dapat menganggar kekuatan dan kelemahan mereka. Sebuah negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan tetapi selalu terdedah kepada serangan daripada kuasa-kuasa luar bukanlah sebuah negara yang berfungsi dengan betul. Tawaran rundingan yang berpunca daripada kesedaran bahawa kerajaan berada dalam keadaan yang lemah, tidak boleh dikatakan sebagai tawaran, ia adalah konsesi. Undang-undang yang menjanjikan hukuman yang berat bagi militan tetapi digunakan hanya untuk kumpulan pemisah etnik, nasionalis bersenjata dan gerakan kelas pekerja adalah alat penindasan semata-mata.

Kedua-dua kerajaan tentera dan kerajaan awam bersependapat untuk tidak melancarkan operasi yang serius untuk membendung serangan Taliban. Kerajaan PML–N Nawaz Sharif sudah pasti tidak terlalu bersemangat kerana ia mempunyai kepentingan ideologi dan politik dalam gerakan militan agama. Pihak tentera juga tidak menunjukkan sebarang kesungguhan dalam berkongsi maklumat dengan pihak polis untuk memerangi kumpulan pengganas tersebut.

Nampaknya tujuan sebenar cadangan bagi rundingan ini adalah hanya untuk melengahkan sebarang konflik bersenjata yang serius dan mengurangkan aktiviti pengganas sekurang-kurangnya sampai ke tahun terakhir kerajaan berada dalam kuasa. Ini akan memberikan masa yang cukup untuk kumpulan ‘politik elit’ ini untuk mengumpul kekayaan dengan secukup-cukupnya sebelum berundur ke istana dan rumah-rumah besar mereka di London dan Dubai, meninggalkan rakyat biasa Pakistan untuk menangani masalah ‘Talibanisasi’ di Pakistan.

Pendukung Kejahatan

Parti Pembangkang,  PTI dapat meraih 7.7 juta undi dalam pilihan raya umum tahun 2013. Angka itu sudah memadai untuk mendapat sokongan kedua terbanyak di peringkat kebangsaan selepas Nawaz Sharif (PML-N), mengalahkan Asif Zardari (PPP-Parti Rakyat Pakistan) kepada tempat ketiga, dan juga menjadi parti ketiga yang terbesar dalam Dewan Negara. Ia membentuk kerajaan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa. Parti itu, bagaimanapun, rasa tertipu apabila harapan untuk menjadikan Imran Khan sebagai Perdana Menteri telah berkecai. PML-N dan PPP telah bekerjasama untuk menafikan Imran Khan sebarang posisi termasuklah menjadi ketua pembangkang dalam Dewan Negara.

Walau bagaimanapun, Imran Khan telah kembali dengan retorik-retorik untuk berunding dengan Taliban tanpa mencari satu penyelesaian kepada keganasan mereka. Selepas mendapat sokongan daripada ketua PTI itu, Taliban menamakan Imran sebagai salah satu wakilnya bagi membuat rundingan dengan kerajaan.

Tetapi Imran seolah-olah berundur mengatakan bahawa dia adalah merupakan ketua parti dia sendiri, dan dengan itu tidak boleh mewakili Taliban. PTI dan pengerusinya gagal untuk melanjutkan logik yang sama kepada fakta bahawa Taliban juga mencalonkan pemimpin Munawar Hassan (JI- Parti Islam), Fazlur Rehman (JUI–F –Parti Ulama Islam-Fazal), dan Samiul Haq (JUI-S- Parti Ulama Islam-Samiul) dalam pasukan perunding mereka. Tidak ada nasihat daripada Imran sama ada kepada Taliban atau parti-parti ini untuk tidak mewakili Taliban.

Ia kerana Imranlah yang memaksa untuk sebuah Persidangan Semua Parti untuk bersetuju kepada rundingan dengan Taliban apabila majoriti di parlimen mahukan suatu tindakan diambil terhadap Taliban. Imran kemudiannya pula enggan menghadiri Persidangan Semua Parti dan mensyaratkan bahawa dia diberikan taklimat secara peribadi oleh ketua tentera. Imran juga tidak pernah menyalahkan Taliban dalam serangan mereka terhadap rakyat umum. Dia tidak pernah meminta Taliban mengumumkan gencatan senjata tetapi telah menuntut bahawa kerajaan yang patut berbuat demikian. Imran dan partinya tidak mempunyai masalah untuk berpolitik dengan pelbagai percanggahan. Mereka memanggil Taliban untuk berunding di mana hasil rundingan perlu berada dalam lingkungan perlembagaan. Namun, di bawah perlembagaan, kumpulan bersenjata selain badan kerajaan adalah diharamkan. Taliban pula telah lama diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh kerajaan. Bagaimanakah rundingan ini boleh dijadikan sah dari segi perlembagaan?

Hakikatnya adalah bahawa dalam kalangan parti politik sekular, PTI adalah satu-satunya parti yang sentiasa menentang tindakan ketenteraan terhadap kumpulan Taliban dan tidak pernah mengutuk kumpulan-kumpulan ini untuk kesalahan membunuh orang yang tidak bersalah. Polisinya adalah bertujuan untuk memujuk dan memenangi sokongan daripada rakyat yang sedang keliru dengan kejadian-kejadian yang berlaku sejak kebelakangan ini. Imran mengambil jalan pintas supaya dapat melarikan diri daripada mengambil tanggungjawab untuk melakarkan suatu penyelesaian jangka masa panjang.

Hanya ada dua penjelasan kepada politik dwi-kutub Imran. Sama ada dia benar-benar bersimpati dengan perjuangan Taliban ataupun dia menggunakan peluang ini untuk mengukuhkan posisinya sendiri dalam kuasa pemerintahan Pakistan. Setakat ini, tindakan-tindakan Imran seakan-akan menunjukkan dirinya sebagai lebih berpengaruh daripada Perdana Menteri. Dia umpama panglima yang tidak memimpin dari barisan hadapan. Dia mengharapkan ganjaran tetapi tidak ingin beban tanggungjawab.

Imran Khan merupakan seorang yang amat keliru tentang agama. Dia mengalami romantis terhadap naratif agama tanpa memahami apa yang diperkatakannya itu.

Tidak kira jika rundingan ini berlangsung atau tidak, pada realitinya, kerajaan dan elit pemerintah Pakistan tidak boleh menawarkan alternatif kepada pertumpahan darah dan kemiskinan yang dihadapi oleh rakyat. Hanya gerakan rakyat daripada pekerja, petani dan golongan miskin luar bandar yang bersatu padu boleh mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mempertahankan orang awam daripada serangan Taliban dan kelas pemerintah.


Krisis semakin teruk ini telah menimbulkan keperluan mendesak untuk membina sebuah parti politik bebas yang berlandaskan kepada kelas pekerja dan rakyat biasa untuk menawarkan alternatif sebenar kepada kekecohan yang telah disebabkan oleh sistem yang memudaratkan ini.

Khalid Bhatti SMP (CWI in Pakistan), Lahore

No comments: