Friday 16 August 2013

NASIB PEKERJA SELEPAS PRU13

PEMBINAAN SOLIDARITI DAN PERJUANGAN KELAS PEKERJA AMAT PERLU UNTUK PERUBAHAN TULEN

Barisan Nasional sekali lagi telah menubuhkan kerajaan dan kabinet baru. Manakala, parlimen sudah bersidang dan 222 wakil rakyat yang terpilih dalam PRU13 sudah mengangkat sumpah berjanji menjalankan tanggungjawab mereka kepada rakyat. Majoriti pengundi yang memilih mereka adalah warga pekerja yang setiap hari perlu membanting tulang di ladang atau kilang, dan bekerja keras memberikan perkhidmatan kepada pelanggan seperti di bank, restoran dan lain-lain untuk menyara hidup mereka dan keluarga. Tetapi, adakah hasrat dan keperluan mereka akan diberikan keutamaan oleh kerajaan dan wakil-wakil rakyat tersebut?

Seperti biasa, selepas pilihan raya umum, isu-isu asas pekerja dan rakyat biasa seperti gaji yang mencukupi, perumahan selesa, kenaikan kos sara hidup, hak dan demokrasi di tempat kerja, dan hak kesatuan sekerja sentiasa dipinggirkan. Walaupun ada kala isu-isu tersebut dibincangkan, dan polisi dan undang-undang tertentu dibawa, semuanya hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’ kerana tiadanya komitmen dan keseriusan untuk melaksanakan apa yang dipersetujui dengan berkesan.


Salah satu contoh adalah ‘Akta Gaji Minimum’ yang diluluskan oleh kerajaan pada tahun lalu dengan matlamat untuk meningkatkan taraf hidup pekerja. Sebelum pelaksanaan gaji minimum tersebut, CWI telah pun menjangka kegagalan akta tersebut kerana kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam memaksa majikan untuk melaksanakan polisi tersebut. Baru-baru ini Perdana Menteri Najib merungut dalam satu forum bahawa banyak syarikat masih enggan membayar gaji minimum walaupun telah mendapat keuntungan besar. Manakala Menteri Sumber Manusia yang baru, Richard Riot, yang diharapkan akan lebih bertanggungjawab daripada menteri yang sebelum ini pula memberitahu, “kira-kira 400 syarikat besar diberi kebenaran menangguhkan pelaksanaan gaji minimum sehingga 31 Disember ini”. Malahan di banyak kilang atau syarikat yang telah melaksanakan gaji minimum, upah sebenar yang diterima pekerja tidak berubah. CWI mendapati banyak syarikat atau kilang telah memberhentikan elaun-elaun seperti syif, makanan, pengangkutan dan lain-lain. Dengan menggunakan isu gaji minimum, beberapa majikan menggunakan taktik ‘pecah dan perintah’ di mana pekerja asing tidak diberikan gaji yang setara dengan pekerja tempatan, dan dipaksa kerja lebih masa.
     
Contoh yang lain adalah kenaikan harga rumah yang tidak terkawal oleh kerajaan. Walaupun berbagai-bagai-bagai dasar dibincangkan di kabinet dan parlimen untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah dan menengah dapat memiliki rumah sendiri, tetapi isu ini masih tidak mendapat penyelesaian. Ramai lagi warga pekerja dan anak muda yang tidak mampu memiliki rumah sendiri. Manakala pihak pemaju hartanah pula mengaut keuntungan besar dengan membina rumah mewah lebih RM 300,000 atau rumah dengan harga melebihi kemampuan golongan berpendapatan rendah dan menengah. Hanya golongan kaya yang sudah ada rumah atau pelabur hartanah yang mampu beli rumah yang tidak mampu dimiliki oleh warga pekerja dan rakyat biasa.

Dalam kedua-dua isu gaji minimum dan harga rumah tersebut, ternyata kerajaan tunduk kepada kehendak majikan dan pemaju daripada membela hasrat pekerja dan rakyat biasa. Inilah sistem yang didukung oleh kerajaan yang berlandaskan kepada kapitalisme (keuntungan maksimum kepada kapital atau pemodal). Ini menunjukkan bahawa selagi kerajaan masih mengagungkan kepentingan keuntungan maksimum pemaju dan majikan daripada keperluan dan kebajikan rakyat, masalah sosial dan ekonomi rakyat akan terus bertapak di negara ini.  

Ketidakpuasan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan yang tidak berpihak kepada rakyat telah ditunjukkan dalam PRU13. Kemenangan kerajaan Barisan Nasional pada PRU13 semakin merosot jika dibandingkan dengan PRU12. Manakala Pakatan Rakyat telah memenangi undi popular sebanyak 51 peratus walaupun berbagai-bagai taktik digunakan oleh BN untuk mendapatkan majoriti yang lebih tinggi. Nampaknya, sokongan daripada rakyat di kawasan bandar masih kukuh bersama Pakatan, manakala BN pula terus mempergunakan jentera kerajaan dan habuan wang untuk memenangi undi di kawasan luar bandar terutama di negeri Sabah dan Sarawak.

Kemerosotan undi kepada BN menunjukkan semakin ramai rakyat inginkan perubahan kerajaan. Kemelesetan taraf hidup akibat kenaikan kos hidup adalah ketidakpuasan utama untuk kebanyakan rakyat yang merasakan keadaaan ekonomi tidak terjamin walaupun kerajaan sentiasa mempamerkan angka-angka ekonomi yang baik. Manakala isu demokrasi dan korupsi dalam kerajaan yang tidak terkawal pula menjadi keutamaan untuk rakyat di kawasan bandar selain daripada isu-isu sosial seperti kos perumahan dan kenaikan kos hidup.

Walaupun kerajaan BN menjanjikan berbagai-bagai habuan selepas pilihan raya seperti BRIM 3.0 sebanyak RM1000, penurunan harga kereta dan lain-lain, tetapi perubahan tulen ke atas taraf hidup rakyat biasa tidak akan tercapai selagi kerajaan berlandaskan kepada kapitalisme. Walaupun ada beberapa wakil rakyat dalam Pakatan Rakyat mahu membawa perubahan dalam taraf hidup rakyat dan warga pekerja, tetapi ini hanyalah ‘angan-angan mat jenin’  memandangkan Pakatan juga tidak mempunyai dasar dan agenda alternatif kepada kapitalisme.

Ini bermakna pembinaan solidariti dan perjuangan di kalangan pekerja harus dimulakan oleh pemimpin pekerja dan kesatuan sekerja untuk memperkuatkan hak dan kebajikan pekerja. Selain itu warga pekerja juga perlu mencapai satu penyelesaian politik ke atas isu-isu sosial dan ekonomi mereka. Selagi tiada parti politik yang ingin membawa agenda dan hasrat warga pekerja dan rakyat biasa, satu perubahan tulen untuk meningkatkan keperluan dan kebajikan rakyat tidak akan tercapai. Pembinaan parti kelas pekerja yang disokong oleh anak muda dan golongan tertindas yang lain harus dimulakan sebagai alternatif kepada parti-parti yang berlandaskan kepada kapitalisme.                 


No comments: