Tuesday 30 July 2013

HIPOKRASI DALAM ISU JEREBU...RAKYAT BIASA MENJADI MANGSA



Persoalan jerebu dari Indonesia yang kita hadapi hampir setiap tahun mendapat perhatian yang sangat besar pada tahun ini. Sejak pertama kali isu jerebu ini melanda negara dan kawasan serantau pada tahun 1997, tahun ini jerebu paling teruk sampai ke semenanjung. Semua pihak mengeluh dengan keadaan cuaca yang dapat merosakkan kesihatan. Tidak menghairankan jika banyak yang menuding jari kepada rakyat republik itu kerana membakar hutan. Walaupun kita tahu bahawa segelintir sahaja yang melakukan perbuatan khianat itu, tetapi kerana fikiran kita telah lama dibentuk untuk melihat dalam kerangka sempit negara, maka mudah sahaja untuk menyalahkan seluruh rakyat Indonesia sebagai punca jerebu di Malaysia. Padahal, sebahagian besar rakyat negara itu, terutama di kawasan tempat berlaku pembakaran tersebut paling menderita kerana keadaan jerubu jauh lebih teruk daripada yang kita alami di sini. Mereka juga adalah mangsa salah laku segelintir pihak yang membakar hutan. Lalu, bagaimana kita hendak melihat isu jerebu ini dari kacamata pekerja? Setidaknya ada dua perkara yang penting untuk dibincangkan. Pertama, ialah motif pembakaran hutan dan impaknya kepada orang ramai. Kedua, bagaimana tanggapan orang ramai terhadap isu ini.


Indonesia pada mulanya menumpukan pembangunan ekonominya kepada pertanian. Pada tahun 80-an dulu, majoriti masyarakatnya masih hidup bertani dan mereka dapat menampung keperluan rakyatnya dengan simpanan beras hasil dari pertanian sendiri. Namun dengan masuknya pelaburan dan modal asing telah merubah struktur masyarakat yang pada mulanya berasaskan pertanian telah beralih kepada masyarakat industri. Banyak masyarakat desa, terutama anak para petani tidak mahu melanjutkan tradisi bekerja sebagai petani kemudian pindah ke bandar untuk bekerja di kilang-kilang.

Pada pertengahan tahun 1990-an, ketika harga dan permintaan terhadap minyak sawit dalam pasaran dunia semakin meningkat, banyak pihak yang melihatnya sebagai peluang perniagaan yang memiliki masa depan cerah. Mulai dari pengusaha dan syarikat besar yang melabur dalam jumlah yang besar, hinggakan individu-individu pemilik tanah kecil-kecilan teruja menanam sawit. Sesiapa yang pernah berkunjung ke Sumatera, terutama di Riau, pasti terpegun melihat pemandangan di kawasan luar bandarnya. Sejauh mata memandang, hanya perkebunan sawit yang terlihat. Sebahagian besar perkebunan itu dimiliki oleh syarikat-syarikat kapitalis besar, terutamanya dari Malaysia. Sime Darby, Kuala Lumpur Kepong, dan Multi Gambut Industri yang merupakan anak syarikat Tabung Haji memiliki kawasan pertanian sawit yang luas di Sumatera. Media di Indonesia melaporkan ketiga-tiga syarikat Malaysia tersebut terlibat dalam pembakaran hutan baru-baru ini, walaupun pihak syarikat menolak tuduhan tersebut.

Saat ini, jumlah kawasan perkebunan sawit di Indonesia sudah jauh melebihi tanah persawahan dan pertanian tradisional sehingga untuk memenuhi keperluan beras dalam negara sahaja Indonesia harus mengimport. Sedangkan keuntungan dari hasil sawit ini sepenuhnya menjadi milik syarikat-syarikat besar. Pemusnahan hutan yang terus berlaku kerana penanaman sawit semakin tidak terkawal. Impak daripada perluasan ladang sawit tidak hanya berkurangnya kawasan pertanian untuk tanaman lain, tetapi juga semakin pupusnya hutan simpanan. Di Riau terdapat dua buah syarikat pembuat kertas, iaitu RAPP dan Indah Kiat. Kedua-duanya berperanan besar dalam berkurangnya jumlah hutan di Riau kerana mereka memang memerlukan kayu sebagai bahan utama pembuatan kertas. Adanya pembakaran hutan untuk membuka ladang sawit menjadikan masalah kebotakan hutan semakin teruk. Syarikat kapitalis tidak peduli dengan persekitaran kerana hanya memikirkan keuntungan. Jika dengan membakar hutan mereka dapat mengurangkan biaya untuk membuka ladang sawit, maka itulah jalan yang menjadi pilihan mereka. Akibat jalan mudah yang diambil oleh kapitalis ini, penderitaan dan ancaman terhadap kesihatan mesti ditanggung oleh jutaan orang di Indonesia, Malaysia, dan Singapura.

Walaupun isi jerebu ini menimbulkan sedikit ketegangan hubungan antara Indonesia dengan Malaysia dan Singapura, akhirnya presiden negara itu, Susilo Bambang Yudhoyono telah menyatakan permohonan maaf kepada pemerintah dan penduduk kedua-dua negara tersebut. Namun hal ini telah menimbulkan kemarahan beberapa pihak di Indonesia. Bukan faktor nasionalisme, harga diri, atau kebencian terhadap Malaysia yang menjadi sebab. Mereka marah kerana presiden tidak meminta maaf terhadap rakyatnya sendiri yang juga menjadi mangsa keadaan jerebu. Padahal pemerintah Indonesialah yang mesti bertanggung jawab ke atas pembakaran ini dengan ketidaktegasan mereka dalam memperkuatkuasakan undang-undang dan melakukan pengawasan. Unsur-unsur korupsi yang telah menjadi barah bagi masyarakat di negara itu juga dikatakan menjadi penyebab longgarnya penguatkuasaan itu. Memang betul pemerintah sudah menangkap para pelaku pembakaran hutan, tetapi mereka hanya rakyat biasa. Mungkin mereka hanya orang suruhan syarikat-syarikat besar yang mahu mengelak didakwa jika terlibat langsung membakar hutan.

Lalu apa relevannya isu jerebu ini dengan nasib pekerja? Pertama, sepatutnya kita tidak melihat isu ini dalam kerangka sempit negara, iaitu Indonesia yang menjadi punca dan Malaysia menjadi mangsa. Rakyat biasa di Sumatera yang terkena jerebu juga sebenarnya marah dengan pemerintah mereka. Mereka juga adalah mangsa pemerintah dan syarikat-syarikat besar pelaku pembakaran hutan yang hanya mengutamakan keuntungan tanpa menghiraukan akibatnya. Dalam isu ini, rakyat biasa di Indonesia sepatutnya mendapat simpati dan solidariti dari pekerja di Malaysia.

Kedua, keluhan yang kita dengar dari setiap orang tentang dampak kesihatan yang boleh ditimbulkan oleh jerebu sebenarnya bukan perkara baru bagi sebahagian besar pekerja. Banyak majikan tidak memperuntukkan pelindung kepada pekerja yang terdedah kepada jerebu walaupun pihak kesihatan telah memaklumkan pentingnya penggunaan pelindung. Tetapi, sesiapa sahaja yang bekerja di kilang ais, kilang cat, kilang bateri, dan kerja-kerja yang terdapat bahan-bahan kimia selalu terdedah dengan masalah kesihatan. Pemandu lori jarak jauh juga berisiko mengalami sakit belakang dan pinggang. Bekerja di kilang yang tertutup dan pengap, dan terpaksa berdiri selama berjam-jam juga akan menyebabkan sakit pada masa hadapan. Buruh angkat barang juga akan menghadapi masalah fizikal pada hari tua mereka. Banyak daripada mereka ini dipaksa untuk bersara awal jika mengalami gangguan kesihatan akibat persekitaran di tempat kerja. Masalah ini mesti dihadapi oleh pekerja setiap hari, bukan setahun sekali seperti datangnya jerebu. Namun terhadap mereka ini, tidak ada siapa pun yang memberikan perhatian kerana sudah dianggap sebagai perkara biasa. Di situ terlihat jelas bagaimana tidak pekanya kerajaan terhadap masalah kesihatan dan persekitaran tempat kerja pekerja yang terdedah kepada berbagai-bagai bahan kimia dan gas beracun.


Sama ada di Indonesia atau Malaysia, warga pekerja menghadapi nasib yang sama. Untuk memecahkan rantai-rantai penindasan terhadap warga pekerja dan memelihara alam persekitaran daripada dicabuli terus oleh syarikat yang mementingkan keuntungan semata-mata, solidariti pekerja harus dibina tanpa batas sempadan negara.     

No comments: