Friday 19 April 2013

RIBUAN PEKERJA-PEKERJA BANK MEMBANTAH PENINDASAN MAJIKAN-MAJIKAN BANK DAN MENUNTUT PENGAGIHAN KEUNTUNGAN YANG ADIL



GAJI PENGURUS BESAR CIMB, NAZIR RAZAK SEHARI: RM 27,000 DENGAN KENAIKAN GAJI TAHUNAN 53 PERATUS…GAJI PURATA PEKERJA BANK SEHARI: RM 30, TETAPI TUNTUTAN KESATUAN UNTUK 51 PERATUS KENAIKAN GAJI TIGA TAHUN SEKALI DITOLAK ! 

Pada 6 April, ribuan pekerja-pekerja bank yang bekerja di pelbagai bank daripada cawangan-cawangan di seluruh Malaysia telah berhimpun dalam ‘Piket Daulat’ di Kuala Lumpur untuk membantah penindasan majikan-majikan bank terhadap pekerja. Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) yang mempunyai lebih 30,000 ahli telah memimpin bantahan tersebut. Sebelum Piket Daulat tersebut, NUBE juga telah menjelajah dan mengadakan piket di beberapa cawangan CIMB di seluruh semenanjung Malaysia untuk mengutuk penindasan berterusan daripada majikan-majikan bank terhadap pekerja.

Di Piket Daulat, pekerja dengan berpakaian merah membawa berbagai-bagai kain rentang dan sepanduk untuk menyuarakan ketidakpuasan mereka, di antaranya : ‘CIMB hina pekerja miskin’, ‘Darah Pekerja diperah, belanja golf RM18.7 juta’, ‘Abang sulung janji ditepati, adik bongsu janji dimungkiri’, ‘Maybank zalimi pekerja’, ‘Ahli tipu dipecat, pengurus tipu naik pangkat’, ‘Hentikan serangan terhadap kesatuan’,  ‘Pengurus hina pekerja wanita yang hamil’ .


NUBE telah menuntut majikan-majikan bank terutamanya Maybank, CIMB dan Muamalat, untuk menghentikan penindasan terhadap pekerja dan pelanggan bank. Di antara tuntutan tersebut adalah: ‘Hentikan caj yang melampau terhadap pelanggan bank’, ‘Hentikan diskriminasi pelanggan mengikut kaum’, ‘Hentikan penganiayaan terhadap pekerja hamil’, ‘Hentikan pewujudan pengangguran’, ‘Hentikan galakan ketaksamaan pendapatan’. 


Piket Daulat tersebut menggambarkan kerakusan kapitalis-kapitalis bank-bank nasional untuk mengaut keuntungan maksimum dengan mengabaikan hak dan kebajikan pekerja-pekerja bank. Dalam laporan kewangan tahunan 2012, CIMB mendapat keuntungan kasar RM 4.35 billion (kenaikan 7.8 peratus daripada tahun 2011) dan Maybank pula memperoleh keuntungan kasar sebanyak RM 5.7 billion  (kenaikan 17.5 peratus daripada tahun 2011). Ini menggambarkan keuntungan yang amat lumayan terus diperoleh oleh bank-bank tersebut yang juga merupakan antara syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan langsung dengan kerajaan. Misalnya, Pengurus Besar Eksekutif CIMB, Nazir Razak adalah adik kepada Perdana Menteri Najib Razak. Keengganan kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia untuk campur tangan untuk menyelesaikan isu-isu pekerja bank menunjukkan, betapa rapatnya kerajaan dengan kerakusan kapitalis yang semata-mata untuk keuntungan maksimum daripada meningkatkan kebajikan pekerja untuk taraf hidup yang lebih baik.      

Sememangnya, keuntungan lumayan bank tersebut dapat dicapai atas perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja-pekerja bank kepada pelanggan-pelanggan bank yang kebanyakannya rakyat biasa. Tetapi, apabila pekerja menuntut untuk kenaikan gaji yang adil (51 peratus untuk kenaikan sekali tiga tahun), tuntutan mereka dikecam sebagai ‘tidak rasional’ dan ‘melampau’. Manakala pengurus besar (CEO) bank-bank tersebut mampu dibayar 6 hingga 10 juta sebagai pendapatan tahunan dan kenaikan gaji tahunan mereka pula sebanyak 53 peratus setahun. Ini bermakna gaji bulanan CEO bank adalah lebih 500 gali ganda lebih besar daripada gaji pekerja yang berpendapatan rendah (misalnya jika gaji bulanan RM1500).  Bank-bank juga mampu membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk aktiviti-aktiviti mewah seperti pihak pengurusan CIMB yang membelanjakan RM18.7 juta untuk penganjuran golf. Ini menunjukkan sifat kapitalis majikan bank yang hanya melebarkan jurang di antara yang kaya dan miskin, yakni yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin.        

Manakala, pelanggan-pelanggan bank yang kebanyakannya rakyat biasa pula dibebankan dengan kadar faedah yang tinggi dan pelbagai bentuk caj untuk penggunaan perkhidmatan- perkhidmatan bank, semata-mata bertujuan untuk melipat gandakan keuntungan. Keprihatinan pekerja-pekerja bank terhadap beban yang dihadapi oleh pelanggan-pelanggan bank dicerminkan dalam tuntutan NUBE. Ini bermakna, perjuangan pekerja-pekerja bank memerlukan sokongan solidariti daripada rakyat biasa yang merupakan majoriti pelanggan-pelanggan bank. Kehadiran pemimpin dan ahli kesatuan-kesatuan lain seperti Kesatuan Pekerja Kereta Api (RUM) dan Kesatuan Pekerja Elektronik pula menunjukkan betapa pentingnya pembinaan solidariti antara kelas pekerja dan kesatuan sekerja merentasi sektor-sektor pekerjaan untuk memperkuatkan tuntutan pekerja di negara ini. Ini harus terus dibina di dalam perjuangan-perjuangan yang akan datang.      


Setakat ini tindakan piket-piket yang dianjurkan oleh NUBE sedikit sebanyak telah mengaibkan majikan-majikan bank, tetapi jika majikan masih tidak berganjak untuk menyelesaikan tuntutan pekerja bermakna bagi mereka ‘keuntungan’ lebih penting daripada ‘maruah’. Pengalaman-pengalaman perjuangan pekerja menunjukkan bahawa, selagi tindakan-tindakan pekerja tidak memberikan kesan terhadap ‘keuntungan lumayan’ mereka, majikan akan terus menindas pekerja.
   
 ‘Piket Daulat’ yang dianjurkan oleh NUBE telah membuka satu lembaran baru dalam perjuangan kelas pekerja di negara ini, tetapi untuk mendapat kejayaan dalam perjuangan tersebut, komitmen dan penyatuan pekerja dan kesatuan sekerja yang lebih menyeluruh dengan program dan tindakan yang lebih efektif  amat diperlukan untuk merealisasikan tuntutan pekerja. 

No comments: