Friday 19 April 2013

PILIHAN RAYA KE 13: PILIHAN RAYA YANG PALING SENGIT UNTUK BARISAN NASIONAL


PAKATAN RAKYAT MUNGKIN MENANG UNTUK PERTAMA KALI...TETAPI TANPA ALTERNATIF TULEN, KEPERLUAN RAKYAT BIASA DAN ANAK MUDA TIDAK AKAN TERJAMIN.

Pilihan raya umum ke-13 akan berlangsung pada 5 Mei ini. Pilihanraya ini dianggap pilihanraya umum yang paling sukar untuk BN setakat ini. Kepimpinan BN di bawah Najib amat terdesak untuk meningkatkan bilangan kerusi daripada apa yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu, dan ini telah memaksa Najib untuk tunggu sehingga tempoh kerajaan lima tahun tamat.

Pada awal Januari tahun ini, 100,000 penyokong Pakatan Rakyat dengan berbagai-bagai isu seperti FELDA, royalti, pendidikan, Lynas, BERSIH membanjiri Stadium Merdeka untuk menyeru perubahan kerajaan dalam pilihan raya umum ke-13 ini. Semangat sangat tinggi di kalangan penyokong-penyokong yang meningkatkan lagi keyakinan Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim untuk menawan Putrajaya.

‘Habuan Pilihan raya’ lawan ‘Agenda Populis’


Semenjak dua tahun lepas, BN memperkenalkan berbagai-bagai program bantuan dengan jenama 1Malaysia seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan lain-lain kepada rakyat berlainan kaum dan latar belakang (luar bandar, bandar, wanita, anak muda, warga tua, pelajar, pekerja, kelas pertengahan) untuk memenangi sokongan mereka. Dianggarkan bantuan-bantuan tersebut adalah habuan pilihan raya yang paling mewah pernah diberikan oleh kerajaan BN kalau dibandingkan dengan pilihan raya-pilihan raya umum sebelum ini. BN dengan dominasi UMNO dengan slogan ‘janji ditepati’ cuba menunjukkan bahawa ia telah banyak berubah sejak pilihan raya umum lalu dengan melaksanakan beberapa pembaharuan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan AUKU, serta memperkenalkan program kebajikan untuk mengurangkan beban sosial dan ekonomi rakyat. Tetapi pada realitinya, rakyat terutama kelas pekerja merasakan bahawa taraf hidup mereka tidak banyak berubah atau menjadi lebih teruk dengan harga barangan dan perkhidmatan terus naik mendadak tetapi gaji tidak meningkat walaupun kerajaan mendakwa inflasi masih di bawah kawalan.

Walaupun ada peningkatan dalam ruang demokrasi terutama hak untuk protes tetapi hak-hak lain seperti hak menubuhkan kesatuan sekerja atau hak pekerja terus dikawal. Beberapa pembaharuan telah juga dilakukan dalam sistem pilihan raya yang sebelum ini lebih memihak kepada kerajaan yang memerintah selepas desakan daripada gerakan ‘BERSIH’, tetapi pembangkang masih waswas bahawa penipuan masih boleh berlaku memandangkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dilihat sebagai ‘alat’ kerajaan.

Pemimpin Pakatan Rakyat dengan agenda ‘populis’ pula mendakwa ia akan menjadi kerajaan yang lebih baik jika menawan Putrajaya dengan agenda seperti pendidikan percuma, kereta murah dan harga petrol yang rendah. Mereka juga memberi contoh kejayaan Pakatan memerintah beberapa negeri sejak pilihan raya umum lalu yang telah mengurangkan rasuah dan meningkatkan ketelusan, serta memperkenalkan beberapa program seperti air percuma dan bantuan-bantuan kebajikan yang lain. Sesetengah rakyat juga merasakan bahawa perkhidmatan-perkhidmatan tertentu kerajaan telah bertambah baik di negeri-negeri di bawah kawalan Pakatan terutama di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah sejak pilihan raya umum lalu. Walau bagaimanapun, lima tahun kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak berupaya menyelesaikan isu-isu asas sosial dan ekonomi seperti gaji, kenaikan harga rumah, hak pekerja, isu-isu alam sekitar tetapi menumpukan lebih kepada pemberian bantuan kebajikan untuk bersaing dengan habuan yang diberikan oleh kerajaan BN.

Program dan dasar-dasar Pakatan serta pelan induk mereka dalam rancangan ‘Buku Jingga’ jelas menunjukkan mereka selesa untuk bekerja dalam rangka kapitalisme dan bukannya untuk mencabar sistem berorientasi keuntungan tersebut untuk memenuhi keperluan- keperluan asas rakyat.

‘Gaji Minimum’ untuk meraih undi kelas pekerja

Kerajaan BN juga telah memperkenalkan gaji minimum buat kali pertama untuk mendapatkan sokongan daripada kelas pekerja. Tetapi jumlah RM800 di Sabah dan Sarawak, dan RM900 di Semenanjung yang telah dilaksanakan mulai bulan Januari adalah jauh lebih rendah daripada gaji sara hidup pada masa kini. Malah dengan jumlah yang tidak memadai untuk pekerja, telah wujud berbagai manipulasi dalam pelaksanaan gaji minimum oleh pihak majikan yang mahu terus mengekalkan dasar upah murah. Kerajaan juga tunduk kepada tekanan majikan untuk mengurangkan faedah-faedah kepada pekerja asing, misalnya levi kepada kerajaan kini harus ditanggung sendiri oleh pekerja asing dengan perlaksanaan gaji minimum.

Penindasan gaji oleh pihak majikan akan terus berlaku terutamanya untuk warga pekerja yang tidak mempunyai kesatuan sekerja, pekerja kasual, pekerja kontrak atau pekerja yang bekerja di bawah syarikat ‘outsourcing’ dan pekerja sambilan selagi kerajaan memberikan majikan kebebasan dan kelonggaran dalam pelaksanaan undang-undang dan dasar untuk memenuhi keperluan sistem pasaran bebas kapitalisme.

Pakatan Rakyat berjanji bahawa ia boleh melaksanakan RM1100 sebagai gaji minimum jika ia berjaya mengambil kuasa kerajaan pusat. Beberapa kesatuan seperti Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank pula menuntut bahawa gaji minimum harus ditetapkan pada kadar RM1500 dengan mengambil kira kadar inflasi pada masa kini, tetapi Pakatan Rakyat menolak dengan memberi alasan bahawa ‘pasaran bebas’ tidak akan menerimanya.

Ini mendedahkan sifat sebenar Pakatan yang mempergunakan slogan ‘populis’ seperti ekonomi berorientasikan rakyat tetapi tidak sanggup untuk berhadapan dengan sistem berorientasikan keuntungan kapitalisme untuk meningkatkan taraf hidup pekerja dan rakyat biasa.

‘Parlimen tergantung’ selepas pilihan raya umum?

Majoriti rakyat masih tidak yakin dengan polisi dan program kedua-dua parti, dan masih belum membuat keputusan untuk siapa mereka akan undi dalam pilihan raya umum nanti. Tetapi kelas menengah di bandar dan orang muda kebanyakannya menyokong Pakatan Rakyat dengan harapan hak-hak demokratik dan sosial akan meningkat. Walaupun bilangan penduduk luar bandar tidak seramai penduduk di bandar, tetapi terdapat lebih banyak kawasan Parlimen dan DUN di kawasan luar bandar di mana BN masih mempunyai kelebihan terutamanya dari segi wang, media dan jentera pilihan raya untuk mempengaruhi pengundi. Tetapi, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Pakatan sedikit sebanyak telah meningkatkan sokongan di beberapa kawasan luar bandar. Kebanyakan penganalisis politik meramalkan BN akan membentuk kerajaan semula walaupun dengan majoriti yang berkurangan. Tetapi, beberapa penganalisis pula tidak menyangkal kemungkinan untuk pembangkang mengambil kuasa kerajaan pusat buat kali pertama.

Ada juga yang meramalkan bahawa keadaan ‘Parlimen tergantung’ juga boleh berlaku di mana sama ada BN atau Pakatan Rakyat tiada majoriti yang jelas yang boleh mewujudkan ketidakstabilan yang berpanjangan dalam kerajaan. Kerajaan BN telah mempergunakan pertumbuhan ekonomi sekitar 5% sebagai faktor utama untuk mempertahankan kuasa kerajaan, tetapi pertumbuhan tersebut tidak diterjemahkan kepada peningkatan sebenar dalam taraf hidup bagi rakyat biasa di mana jurang antara golongan kaya dan miskin semakin melebar, dan Malaysia adalah salah satu negara dengan jurang kaya miskin yang paling tinggi di Asia Tenggara.

Sejak kelembapan ekonomi dunia yang bermula pada tahun 2008, kerajaan BN telah mengepam berbilion-bilion ringgit untuk merangsang ekonomi domestik, tetapi dengan ketidaktentuan dalam ekonomi global yang berlanjutan tanpa penyelesaian konkrit, eksport dan pelaburan negara masih tidak menggalakkan. Ini bermakna dengan kembalinya kerajaan BN untuk satu penggal lagi, ia akan terdesak untuk melaksanakan pemotongan perbelanjaan awam dengan nama penjimatan kewangan untuk membendung defisit bajet dan hutang negara yang semakin meningkat jika ekonomi global tidak banyak berubah atau menjadi lebih teruk.

Ini boleh menjurus kepada ketidakpuasan sosial yang meluap di kalangan rakyat yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan, dan mewujudkan lebih banyak konflik politik. Walaupun, kemenangan pembangkang buat kali pertama akan memberikan harapan kepada rakyat untuk satu kerajaan yang lebih baik, ini boleh meleset dengan cepat jika kerajaan Pakatan tidak mampu meningkatkan keperluan-keperluan sosial dan ekonomi rakyat terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak banyak berubah disebabkan ketidaktentuan dalam ekonomi global.

‘Revolusi Arab’ telah dipergunakan oleh Mahathir dan pemimpin lain dalam BN untuk mewujudkan rasa takut di kalangan pengundi bahawa kemenangan pembangkang dalam pilihan raya umum akan mewujudkan lebih banyak ketidakstabilan. Tetapi, sesiapa sahaja yang mengambil alih kuasa, jika keperluan sosial dan ekonomi rakyat tidak berkembang atau semakin buruk, tindak balas seperti ‘Revolusi Arab’ daripada rakyat biasa dan anak muda tidak dapat dielakkan.

Sosialis dan Kesatuan Sekerja

PSM yang selama ini tidak menganggap ia sebahagian daripada Pakatan secara rasmi, kini telah mengumumkan bahawa ia bersedia untuk menyertai Pakatan Rakyat. Keputusan ini dibuat untuk mendapatkan semula kerusi yang mereka bertanding pada pilihan raya yang lepas di bawah logo Pakatan dan untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dengan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya yang akan datang. Walaupun isu-isu sosial, ekonomi dan alam sekitar yang memberikan kesan kepada rakyat ditonjolkan dalam program mereka serta memberikan sokongan kepada tuntutan pekerja seperti gaji minimum RM1500, tiada penyelesaian alternatif yang jelas diberikan untuk menangani isu-isu tersebut selain daripada menumbangkan UMNO/BN. Pendirian mereka tidak banyak berbeza daripada ABU (Asalkan Bukan UMNO/BN), walaupun terdapat isu-isu asas rakyat seperti tuntutan gaji minimum RM1500 di mana Pakatan Rakyat tidak memberikan sokongan. Ini menunjukkan bahawa PSM tidak mengambil posisi sosialis dan posisi bebas untuk kelas pekerja ke arah membina sebuah parti untuk kelas pekerja dan golongan tertindas yang lain sebagai alternatif kepada parti-parti pro-kapitalis.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, serangan ke atas hak-hak dan kebajikan pekerja telah meningkat dengan dasar-dasar pro-kapitalis kerajaan BN. Tekanan dari pekerja telah mendesak beberapa kepimpinan kesatuan sekerja untuk melancarkan protes dan piket. Protes pekerja-pekerja sektor perbankan, pengangkutan, elektronik dan lain-lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini memberikan lebih keyakinan tentang perlunya pekerja bersatu untuk memperjuangkan hak-hak mereka. Tetapi kepimpinan MTUC tidak mengambil inisiatif untuk membina perjuangan pekerja secara kolektif untuk mengalahkan dasar-dasar pro-kapitalis kerajaan tetapi tunduk kepada sama ada desakan kerajaan atau permintaan kapitalis.

Pekerja yang berasa marah terhadap dasar-dasar pro-kapitalis BN akan memilih untuk mengundi Pakatan Rakyat seperti dalam pilihan raya umum yang lalu dengan tiadanya alternatif jelas yang lain. Tetapi, Pakatan yang mesra kepada pasaran bebas kapitalisme juga menunjukkan bahawa ia tidak akan menyelesaikan tuntutan pekerja jika ia mengambil kuasa. Pendirian Pakatan untuk tidak bersetuju kepada tuntutan adil gaji minimum RM1500 menunjukkan bahawa mereka tidak akan berkonfrontasi dengan kapitalis untuk meningkatkan keperluan sosial dan ekonomi pekerja dan rakyat biasa. Ini menunjukkan bahawa warga pekerja dan rakyat biasa yang mahukan perubahan tulen, tidak mempunyai alternatif sebenar antara BN dan Pakatan. 

Ini menggariskan bahawa, untuk perubahan tulen, pekerja, kesatuan sekerja dan sosialis mempunyai tugas penting untuk memulakan pembinaan parti massa kelas pekerja dengan program-program dan dasar untuk meningkatkan hak-hak demokratik dan keperluan sosial dan ekonomi kelas pekerja, orang muda dan golongan lain yang tertindas di bawah sistem kapitalis. Hanya dengan cara ini sahajalah, kerajaan untuk 99% (majoriti) dengan mengutamakan keperluan dan hak-hak mereka boleh dibentuk sebagai alternatif kepada kerajaan untuk 1% (minoriti) yang hanya mengutamakan keuntungan dan keperluan kapitalis dan kroni. Ini akan menjadi hala tuju ke arah membina sebuah masyarakat yang berlandaskan demokratik sosialisme di Malaysia dan antarabangsa.

No comments: