Wednesday 16 January 2013

PILIHAN RAYA KE-13: PILIHAN ANTARA 'SYAITAN YANG DIKENALI' ATAU 'MALAIKAT YANG TIDAK DIKENALI’

APAKAH PILIHAN KEPADA KELAS PEKERJA DAN RAKYAT BIASA?

Pilihan raya umum ke-13 yang akan datang perlu dipanggil sebelum April 2013. Pilihan raya ini yang dianggap paling sengit dalam sejarah negara ini, akan menampakkan pertembungan di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Walaupun, PR berjaya untuk sedikit sebanyak meningkatkan sokongan akibat kemerosotan sosial di kalangan rakyat, BN/UMNO dengan politik perkauman dan dengan mempergunakan jentera kerajaan akan cuba sedaya upaya sekurang-kurangnya untuk mengekalkan sokongan masyarakat yang bersifat konservatif serta masyarakat luar bandar.


POLITIK BN BERUBAH SELEPAS 2008 ?

BN masih terus didominasi oleh UMNO, dan parti-parti lain (MIC, MCA, Gerakan dan PPP) masih tidak berjaya dipulihkan sepenuhnya selepas kekalahan teruk pilihan raya 2008. Semenjak kehilangan majoriti dua per tiga dalam parlimen akibat kemerosotan sokongan masyarakat bukan Melayu dalam pilihan raya umum 2008, BN cuba mempergunakan propaganda ‘Satu Malaysia’ untuk mengembalikan sokongan mereka. Walau bagaimanapun, politik perkauman masih dipergunakan untuk menentukan langkah dan dasar-dasar kerajaan, dan ini terus menaikkan kemarahan di kalangan masyarakat bukan Melayu terutamanya mereka yang tinggal di kawasan persekitaran bandar. BN juga cuba untuk mendapatkan semula sokongan yang hilang dengan memperkenalkan pelbagai projek-projek pembangunan dan program kebajikan, tetapi tidak mampu untuk membendung kenaikan harga makanan dan keperluan asas yang telah menjadi isu paling utama bagi majoriti walaupun kerajaan menyatakan bahawa inflasi ‘masih terkawal’.

UMNO dengan sokongan kumpulan-kumpulan ultra-kanan seperti PERKASA juga menyemarakkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat Melayu untuk terus menerus menyokong mereka. Ini adalah untuk mengekalkan sokongan masyarakat Melayu khususnya di kawasan luar bandar yang juga termasuk hampir satu juta pekebun kecil getah/ kelapa sawit dan juga peneroka FELDA. Tetapi, kemelesetan ekonomi di negara China dan India, dijangka akan menyusutkan harga komoditi-komoditi tersebut.  Walau bagaimanapun, beberapa isu lain seperti pengagihan kekayaan dan hak milik tanah telah timbul di beberapa kawasan penempatan FELDA yang menunjukkan peningkatan sokongan kepada PR.

Walau bagaimanapun, sistem pilihan raya yang berat sebelah (ketidakadilan suruhanjaya pilihan raya, media utama yang dikawal oleh kerajaan, tempoh kempen yang singkat, penggunaan habuan wang dan jentera  kerajaan, kelemahan dalam sistem pengundian) memberi kelebihan kepada BN. Beberapa kaji selidik baru-baru ini mendedahkan bahawa sokongan terhadap Najib sedang meningkat akibat bantuan kewangan dan program-program kebajikan yang dilaksanakan oleh kerajaan. Tetapi ini tidak menggambarkan sokongan sebenar rakyat memandangkan hampir separuh daripada pengundi masih di ‘atas pagar’, dan merekalah akan menjadi penentu siapa akan menang dalam pilihan raya akan datang.

Mahathir dalam satu kenyataan baru-baru ini menegaskan  “Rakyat hanya perlu mendesak BN untuk melakukan perubahan yang rakyat mahukan. Syaitan yang dikenali adalah lebih selamat dari malaikat yang tidak dikenali” untuk menyeru rakyat terus memilih BN berbanding dengan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya nanti. Tetapi, ketika pentadbiran Mahathir, desakan demi desakan rakyat dari berbagai-bagai kumpulan dan golongan untuk hak demokrasi dan keperluan asas telah sewenang-wenangnya dipatahkan dengan menggunakan jentera kerajaan seperti ISA, FRU, polis, undang-undang, mahkamah, media oleh ‘syaitan yang dikenali’ oleh rakyat selama lebih 20 tahun. Satu demi satu perkara dengan nama ‘pembaharuan’ hanya cuba dilakukan oleh kerajaan BN sekarang kerana khuatir akan kehilangan kuasanya yang telah dikekalkan lebih lima dekad, apabila rakyat menghukum BN dengan menidakkan undi dua per tiga dalam ‘tsunami politik’ pilihan raya 2008 yang juga merupakan kekalahan pilihan raya yang paling teruk dalam sejarahnya selain di pilihan raya 1969.

Manakala Najib pula dengan slogan ‘Janji Ditepati’ amat menaruh harapan dengan program transformasi ekonomi dan kerajaan, dan, bantuan-bantuan kewangan dan kebajikan yang telah ditunaikan selama ini, supaya membuahkan undi untuk kemenangan besar dalam pilihan raya yang akan datang.  Tetapi,  bagi Najib untuk mengekalkan jawatan Presiden UMNO dan seterusnya Perdana Menteri bagi penggal seterusnya,  kemenangan dua per tiga atau setidak-tidaknya lebih baik daripada pilihan raya 2008 amat diperlukan. Jika tidak beliau juga terpaksa menghadapi nasib Pak Lah yang telah didesak untuk letak jawatan dalam UMNO selepas kekalahan teruk BN dalam pilihan raya 2008. Sebab itu, sehingga kini Najib masih tidak yakin, dan ingin melakukan beberapa cubaan terakhir, termasuk lebih banyak habuan kepada rakyat dalam bajet 2013 untuk mengukuhkan undi kepada UMNO dan BN sebelum parlimen dibubarkan. 

Kerajaan BN selepas pilihan raya umum ke-13 akan merupakan kerajaan yang akan lebih membebankan rakyat. Potongan perbelanjaan awam untuk mengurangkan defisit dengan nama ‘penjimatan’ akan dilaksanakan jika ekonomi global menjadi lebih teruk atau tidak banyak perubahan daripada keadaan sekarang. Tekanan untuk mengurangkan perbelanjaan awam telah dicanangkan sejak ‘kemelesatan besar’ 2008/09 dengan mengurangkan subsidi dan juga dengan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Jika ini adalah situasi selepas pilihan raya akan datang, maka konflik sosial tidak dapat dielakkan yang juga boleh meningkatkan konflik politik dalam UMNO atau antara BN dan PR.

POLITIK PR BOLEH MENJAMIN PERUBAHAN TULEN ?

Manakala, PR pula bertambah yakin untuk menawan Putrajaya terutamanya dengan bertambahnya isu-isu sosial dan ekonomi di kalangan rakyat, dan peningkatan konflik politik dalaman BN di negeri Sabah dan Sarawak yang telah berpihak kepadanya.

Pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 2011 menunjukkan bahawa PR telah sedikit sebanyak berjaya meningkatkan sokongan penduduk luar bandar, dan pada masa yang sama telah mengekalkan sokongan penduduk bandar di negeri ini kerana pelbagai isu sosial seperti hak tanah adat serta kroni kapitalisme yang telah diamalkan oleh Ketua Menteri Taib Mahmud selama lebih daripada tiga dekad pemerintahannya. Kemarahan yang serupa boleh dirasai terutamanya akibat isu migran di negeri Sabah, yang juga merupakan salah sebuah negeri termiskin. Sejak tahun 2008, PR nampaknya telah berjaya memenangi sedikit sebanyak sokongan di negeri-negeri tersebut, tetapi ia masih tidak berupaya menandingi jentera pilihan raya dan keupayaan kewangan BN semasa pilihan raya.

Tidak kurang juga, janji-janji ditaburkan oleh PR, daripada gaji minimum RM1200, pendidikan percuma, pemansuhan tol, penurunan harga petrol hinggalah kepada kereta murah, juga sedikit sebanyak meningkatkan sokongan kepadanya. Manakala, di negeri-negeri di bawah PR terutama Selangor dan Pulau Pinang, beberapa bantuan-bantuan kewangan dan kebajikan juga telah ditunaikan. 

Beberapa penganalisis politik meramalkan bahawa jika PR berjaya mengalihkan antara 5 hingga 6 % undi untuk memihak kepadanya, dan pada masa yang sama mengekalkan peratus sokongan pada tahun 2008, PR mempunyai setiap peluang untuk menang dalam pilihan raya umum yang akan datang. Tetapi analisa yang sama tidak menolak kemungkinan bahawa BN juga mempunyai peluang untuk mengekalkan kuasanya jika ia berjaya mengalihkan peratusan undi yang sama ke arahnya dengan mempergunakan sentimen perkauman dan jentera kerajaan semasa pilihan raya.

Anwar masih menjadi faktor penting untuk mengekalkan gabungan PKR, DAP dan PAS di bawah payung PR untuk memperoleh kuasa daripada BN. Sehingga kini tidak ada calon yang sesuai untuk mengambil alih peranan Anwar dalam PR. Sejak 2009, BN telah mempergunakan tuduhan kes liwat terhadap Anwar untuk membunuh cita-cita politiknya tetapi kemenangan kes mahkamah pada awal tahun 2012 memperkukuhkan kedudukannya. Manakala, pengumuman bahawa beliau akan mengundurkan diri daripada politik jika kalah dalam pilihan raya yang akan datang, mungkin boleh menjanakan undi simpati kepada PR.

Mahathir menegaskan ‘malaikat yang tidak dikenali’ tidak selamat untuk dipilih mentadbir kerajaan dengan merujuk kepada PR di bawah pimpinan Anwar. Tetapi keangkuhan dan konflik sosial dan ekonomi yang diwujudkan oleh ‘syaitan yang dikenali’ menyebabkan rakyat mengalihkan perhatian kepada ‘malaikat yang tidak dikenali’.

Selama 55 tahun ‘syaitan yang dikenali’, telah berlandaskan kepada nafsu sistem kapitalisme untuk keuntungan maksimum kapitalis-kapitalis nasional dan antarabangsa. Ini menyebabkan keperluan dan hak rakyat terus diabaikan. Jadi, jika ‘malaikat yang tidak dikenali’ mengambil alih kuasa kerajaan dan masih ingin bergelumang dalam sistem kapitalisme, maka ia juga akan berubah seperti ‘syaitan yang dikenali’ sebelum ini.     

Walau bagaimanapun, jika PR menang dan berjaya membentuk kerajaan persekutuan, maka ia akan memberikan harapan kepada rakyat bahawa PR akan menggariskan dasar-dasar sosial dan ekonomi yang lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup mereka. PR akan diberikan masa untuk membuat reformasi, dan ia akan cuba meningkatkan demokrasi dan ketelusan dalam kerajaan (seperti yang cuba dilakukan di Selangor dan Penang) untuk menenangkan harapan rakyat. Tetapi PR akan memastikan struktur kerajaan tidak banyak berubah dan ia selari dengan kehendak kapitalisme pasaran bebas. Sejauh mana PR akan melakukan pembaharuan dalam ekonomi dan sosial akan bergantung pada keadaan ekonomi global dan serantau. Jika tidak ada banyak perubahan dalam ekonomi dan faktor-faktor asas ekonomi menjadi lebih rumit, kerajaan akan didesak oleh kapitalisme untuk mengambil langkah-langkah penjimatan dengan menuduh ‘BN gagal untuk menguruskan ekonomi dengan efisien’. Ini boleh mewujudkan konflik di kalangan parti di dalam gabungan PR yang mempunyai orientasi politik yang berbeza untuk menentukan hala tuju ekonomi dan sosial.

APAKAH PILIHAN KEPADA KELAS PEKERJA DAN RAKYAT BIASA ?

Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan berbilang agama di mana parti-parti pro-kapitalis telah mempergunakan perbezaan kaum dan agama untuk melindungi cengkaman kapitalisme. Walaupun perubahan kerajaan BN kepada PR boleh membuka sedikit ruang demokrasi akibat desakan daripada rakyat, tetapi ini tidak akan menjamin bahawa keperluan sosial dan ekonomi kelas pekerja dan golongan lain yang tertindas di bawah sistem ini akan dipenuhi selagi kerajaan tersebut di bawah telunjuk parti-parti pro-kapitalis.

Rakyat yang ingin mengundi hanya ada dua pilihan: BN atau PR, kedua-duanya pro-kapitalis. Rakyat yang mengharapkan perubahan akan mengundi PR, tetapi berlandaskan kepada politik PR perubahan sosial dan ekonomi yang tulen tidak mampu dilakukan kerana parti tersebut masih dikongkong oleh sistem kapitalisme. Oleh itu mengundi PR sebagai alternatif kepada BN sahaja tidak mencukupi, kerana untuk merubah politik, ekonomi dan sosial yang berlandaskan kepada kelas pekerja dan rakyat biasa, satu parti massa berlandaskan kelas pekerja dan anak muda dengan sokongan golongan-golongan terpinggir yang lain perlu dibangunkan. Dengan usaha sebegini sahajalah satu kerajaan untuk memperkasakan keperluan kelas pekerja dan rakyat biasa dapat ditubuhkan.    

No comments: