Wednesday 15 February 2012

KRISIS KAPITALISME DUNIA YANG SEMAKIN TENAT

 
2011 merupakan tahun bersejarah bagi perjuangan kelas pekerja dan anak muda. Ianya telah menyaksikan revolusi dan pergerakan massa di Timur Tengah dan Afrika Utara; krisis di dalam Kesatuan Eropah dan matawang Euro yang semakin meruncing; kebangkitan kelas pekerja di seluruh Eropah akibat serangan kerajaan pro-kapitalisme terhadap hak, demokrasi dan keperluan kelas pekerja dan anak muda; dan perkembangan gerakan ‘Occupy’ yang telah merebak ke seluruh dunia.
Pergolakan Sosial
Baru-baru ini, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah meramalkan “kegawatan sosial” akan melanda sekurang-kurangnya satu pertiga daripada negara-negara di dunia pada tahun ini, dan ini mencerminkan skala pergolakan sosial yang sedang dan akan tercetus akibat daripada krisis ekonomi dunia. Misalnya, pada awal bulan Januari tahun ini, Nigeria telah menyaksikan kesatuan sekerja menganjurkan gerakan kelas pekerja secara besar-besaran dengan pemogokan umum terhadap penarikan balik subsidi petrol dan peningkatan inflasi. Manakala di Rusia bantahan berpuluh-puluh ribu rakyat terhadap penipuan pilihan raya telah menggegarkan kelas pemerintah.
2011 bermula dengan harapan optimistik kelas kapitalis antarabangsa bahawa krisis ekonomi yang paling teruk, yang bermula akibat pergolakan kewangan 2008-09, akan pulih untuk menerajui pembangunan ekonomi. Tetapi anggapan tersebut meleset apabila krisis semakin parah pada tahun 2011. Manakala awal tahun ini pula kebanyakan daripada mereka hampir tidak yakin bahawa pertumbuhan ekonomi akan pulih dalam masa terdekat ini. Sebaliknya, krisis hutang negara-negara di Kesatuan Eropah telah mengakibatkan implikasi ekonomi yang merebak ke seluruh dunia termasuk Malaysia yang sedang menghadapi kemerosotan ekspot dan pelaburan.  Langkah penjimatan melalui pemotongan perbelanjaan dan kemudahan awam yang diumpukkan terhadap Greece dan negara-negara penghutang yang lain, telah menghancurkan jangkaan pertumbuhan ekonomi dan telah memburukkan lagi kemelesetan ekonomi dunia. Ini sekaligus telah memaksa kelas pekerja di seluruh Eropah untuk melancarkan mogok dan protes terhadap program penjimatan yang dicanangkan oleh pihak bank, Kesatuan Eropah (EU) dan Badan Kewangan Antarabangsa (IMF) yang semakin menghakis kemudahan dan hak ‘Negara Kebajikan’.
  Kebantutan ekonomi
Ketika ini kelas kapitalis hanya berupaya untuk mengurus ‘kesakitan’ dalam ekonomi dunia dan tidak berupaya untuk mengubatinya. Pada realitinya, kelembapan ekonomi kali ini telah berlanjutan lebih lama daripada kemurungan ekonomi yang telah melanda dunia pada tahun 1930an yang selama ini dianggap kegawatan ekonomi paling teruk dalam sejarah kapitalisme. Malah, kapitalis-kapitalis utama yang mempunyai timbunan tunai yang agak besar enggan untuk melabur dalam aktiviti pengeluaran untuk merangsangkan ekonomi kerana takut dengan persekitaran ekonomi dunia yang muram yang tidak menjanjikan keuntungan maksima. Ini mengakibatkan kebantutan pertumbuhan sebenar dan pengangguran tinggi di Amerika Syarikat dan Eropah.
Pihak kapitalis juga beranggapan bahawa negara-negara kapitalis maju sedang melalui era ‘Japanisation’ iaitu kebantutan ekonomi atau pertumbuhan ekonomi yang rendah atau tiada pertumbuhan langsung untuk suatu tempoh yang agak lama. Hutang negara di Jepun telah meningkat kepada 200% daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), dan untuk sekian lama masih tidak berupaya untuk mencapai suatu penyelesaian kepada masalah pertumbuhan ekonomi negara yang rendah. Tetapi, Jepun masih tidak digegarkan dengan gerakan pekerja seperti yang kita sedang saksikan di Eropah, kerana selama ini ianya telah diselamatkan oleh pertumbuhan ekonomi yang pesat di China.  Tetapi, ekonomi Jepun boleh menjadi parah jika kemelesetan ekonomi di China semakin teruk. Ini akan mendesak kerajaan Jepun untuk melancarkan lebih banyak pemotongan perbelanjaan awam, yang boleh mencetuskan bantahan rakyat. Dalam situasi tersebut, Jepun juga akan mula menghadapi senario ketidakstabilan dan bantahan yang sama seperti yang kita saksikan baru-baru ini di Amerika Syarikat dan Eropah.
China telah mula merasai impak daripada krisis berterusan di Eropah, dengan penyusutan terhadap permintaan produk pengeluarannya daripada beberapa pasaran utama untuk ekspot. Justeru itu, beberapa pakar ekonomi menurunkan jangkaan kadar pertumbuhan ekonomi China, terutamanya dengan prospek krisis di dalam pasaran hartanah negara tersebut. Mereka juga meramalkan kesan sosial boleh merebak akibat kemerosotan dalam ekonomi China. Bahkan, beberapa protes sosial dan perindustrian sudah mula tercetus akibat serangan kerajaan China terhadap hak dan demokrasi pekerja dan petani. Ini termasuk sebuah gerakan besar di kampung Wukan pada akhir tahun lepas untuk menentang penjualan tanah penduduk kampung tersebut oleh pegawai kerajaan tempatan.
Gerakan ‘Occupy’
Protes dan demonstrasi telah merebak ke seluruh dunia pada tahun 2011. Pihak majikan dan pengulas pro-kapitalis amat risau terhadap perjuangan dan gerakan-gerakan anak muda dan kelas pekerja yang semakin berkembang. Revolusi-revolusi dan pergolakan di Timur Tengah telah diikuti oleh gerakan ‘occupy’ di seluruh dunia yang bermula di Amerika Syarikat dengan kebangkitan semula kelas pekerja dalam gerakan di Wisconsin. Gerakan ‘occupy’ telah memperlihatkan generasi anak muda masuk ke pentas politik untuk menentang kerakusan dan kekuasaan kapitalisme yang semakin bermaharajalela. Di Amerika Syarikat, beberapa gerakan ‘occupy’ yang diterajui oleh anak muda telah menjurus ke arah menyokong perjuangan gerakan pekerja.
Tinjaun-tinjauan awam menunjukkan bahawa majoriti rakyat Amerika Syarikat amat memihak kepada gerakan ‘occupy’. Manakala 59% Afro-Amerika dan 49% anak muda di Amerika Syarikat memberikan pandangan yang menggalakkan terhadap sosialisme. Tetapi, secara umum, gerakan ‘occupy’ hanya menghadkan kepada langkah-langkah untuk mereformasikan kapitalisme dan tidak mengemukakan idea-idea yang jelas untuk menukar sistem kapitalisme yang terus menerus menghakis hak dan keperluan kelas pekerja dan anak muda dengan kerakusan kuasa dan keuntungan maksima.
Krisis Eropah
Eropah telah menjadi pusat krisis ekonomi dunia pada tahun 2011. Ancaman terhadap beberapa negara yang sedang mengharungi krisis hutang yang teruk terhadap risiko kebankrapan dan penyingkiran daripada penggunaan matawang Euro semakin meningkat. Sidang kemuncak Kesatuan Eropah pada akhir tahun lepas hanya mengusulkan kaedah-kaedah untuk mencuba menghalang krisis di masa hadapan, dan bukannya untuk menyelesaikan masalah semasa. Ini seakan-akan, ketika Zon Eropah sedang ‘terbakar’, pemiliknya tidak dapat memutuskan sama ada untuk menghantar pasukan bomba, atau tidak pasti pasukan bomba yang mana satu dan bila ianya patut dihantar, dan pada masa yang sama mereka memanggil arkitek untuk membina sebuah ‘rumah baru’ sebagai ganti!
Buat masa ini, pihak kapitalis Eropah yang diketuai oleh Jerman, menolak idea ‘bon-euro’ untuk membiayai proses menyelematkan negara-negara yang menghadapi krisis, tetapi jika terdesak kemungkinan alternatif ini terpaksa digunapakai. Tetapi jika ekonomi rantau Eropah semakin merosot, mereka akan terdesak untuk menggunakan pakej perangsang untuk merangka langkah keselamatan untuk satu jangkamasa sementara dari kemelesetan yang lebih teruk, dan juga untuk memastikan masyarakat tidak menjadi radikal atau melancarkan revolusi terhadap kerajaan kapitalisme.
Kesatuan Eropah telah mengumpukkan kerajaan teknokrat di negara Itali dan Greece dengan perlantikan Monti dan Papademos, dan seterusnya mempergunakan kerajaan-kerajaan pro-kapitalisme tersebut untuk terus melancarkan dasar penjimatan ke atas rakyat. Peningkatan penggunaan kaedah anti-demokratik oleh kelas pemerintah di Eropah juga telah menaikkan kemarahan pekerja dan anak muda. Adalah dijangkakan dalam peringkat seterusnya, kerajaan-kerajaan tersebut dengan polisi-polisi yang diumpukkan akan mendapat tentangan yang lebih besar daripada kelas pekerja di negara-negara tersebut.
Manakala, negara-negara penghutang di rantau matawang euro juga akan menghadapi komitmen pembayaran balik hutang yang agak besar pada pertengahan tahun 2012 yang mana akan menguji dana penyelematan dan dasar Kesatuan Eropah sekali lagi. Adalah dijangkakan pergolakan akan semakin meruncing di kebanyakan negara dalam masa terdekat ini. Salah satu contoh adalah penarikan taraf ‘AAA’ negara Perancis yang menggambarkan ketenatan krisis tersebut.
Kapitalis Jerman adalah benefisiari utama daripada kemunculan euro di rantau Eropah, di mana negara tersebut telah menjana keuntungan besar daripada jualan barangan pembuatannya. Mereka menggunakan status tersebut sebagai justifikasi untuk mempengaruhi dasar berjimat cermat yang diumpukkan terhadap negara-negara yang mengharungi krisis hutang. Jerman memutuskan tahap pemotongan perbelanjaan awam yang akan dikenakan di negara-negara yang memohon dana penyelematan. Pengumpukkan pemotongan yang tidak berperikemanusian telah menaikkan lagi kemarahan rakyat biasa terhadap Jerman. Manakala, perjanjian dasar-dasar deflasi yang dipersetujui di Kesatuan Eropah juga telah mencetuskan semangat nasionalisme di kawasan seperti Scotland dan Catalonia. Pengalaman di Eropah sekali lagi menggariskan bahawa kelas pekerja adalah kuasa sebenar yang dapat menentang kediktatoran pasaran bebas kapitalisme.
Pengangguran berleluasa
Di Eropah, anak muda, khususnya, terjejas teruk akibat pengangguran yang semakin berleluasa. Fenomena penghijrahan secara besar-besaran telah muncul semula apabila anak muda tidak  berpeluang mendapatkan pekerjaan di negara sendiri. Sebilangan anak muda di negara-negara Eropah, seperti Portugal, terpaksa berhijrah ke bekas tanah jajahan negara tersebut, seperti Angola, untuk mendapatkan pekerjaan.
Manakala, kelas pekerja di Eropah telah kembali ke perjuangan massa untuk mempertahankan hak dan kebajikan mereka. Beberapa siri pemogokan umum di Greece, serta di Portugal, Sepanyol, dan Itali, dan pemogokan umum sektor awam di Britain pada bulan November 2011, telah memaparkan kecekalan berjuang kelas pekerja apabila berhadapan dengan serangan ke atas taraf hidup mereka. Malangnya, dengan ilusi untuk mereformasikan kapitalisme, kepimpinan kesatuan sekerja tidak sanggup menyahut kesanggupan kelas pekerja untuk berjuang. Mereka tunduk kepada desakan kerajaan kapitalis daripada mempertahankan hak dan kebajikan ahli mereka.
Krisis dalam politik kapitalisme dan ketidakpopularan langkah-langkah penjimatan dalam perbelanjaan awam telah mengakibatkan lima perdana menteri digulingkan di Eropah pada tahun 2011. Manakala, dasar-dasar pro-kapitalis parti-parti yang bertopengkan ‘demokrasi sosial’ telah membawa padah dengan kekalahan teruk mereka kepada parti-parti berhaluan kanan di dalam pilihan raya di Sepanyol dan Portugal. Di kebanyakan negara di Eropah, wujud vakum untuk parti berhaluan kiri yang mana telah dipergunakan oleh golongan populis dan liberal kapitalis untuk meraih sokongan. Walaupun beberapa pembentukan parti-parti politik kiri telah muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seperti Syriza di Greece dan NPA di Peranchis, tetapi mereka tidak mampu untuk memenuhi harapan kelas pekerja dan anak muda. Ini kerana kepimpinan parti-parti tersebut tidak menggariskan agenda perjuangan jelas sebagai alternatif kepada krisis kapitalisme. Kegagalan mereka dalam membina gerakan besar tidak bermakna mereka tidak akan meraih beberapa kejayaan dalam pilihan raya. Tetapi kemungkinan untuk gerakan-gerakan dan parti-parti baru dibentuk untuk memenuhi vakum yang wujud tidak dapat disangkal. Tetapi pertubuhan-pertubuhan kiri yang baru perlu mengamalkan program sosialis sebagai alternatif kepada dasar-dasar pemotongan perbelanjaan awam dan berkempen untuk perubahan sistem yang tulen.
Timur Tengah
Revolusi dan gerakan besar di Timur Tengah dan Afrika Utara pada tahun 2011 telah menjatuhkan satu demi satu kerajaan diktator. Walaupun rejim baru telah mengambilalih di Mesir dan Tunisia, terdapat perasaan di kalangan rakyat bahawa revolusi maish tidak selesai, dan kelas pekerja dan anak muda harus meneruskan perjuangan untuk menuntut perubahaan ekonomi, sosial dan politik yang tulen. Ini bermakna pergolakan akan berlanjutan. Manakala revolusi tersebut tidak juga menjanjikan keamanan di rantau ini, di mana ancaman perang mungkin boleh meletus jika Israel atau Amerika Syarikat mengambil tindakan ketenteraan terhadap pelantar nuklear di Iran. Hanya perjuangan berterusan anak muda dan kelas pekerja, yang mencetuskan revolusi pada tahun lepas, boleh mengelakkan kekejaman peperangan yang boleh memporak-porandakan rantau ini.
Bukan hanya Timur Tengah sahaja menjadi  tumpuan kepada imperialisme. Amerika Syarikat mungkin telah menarik balik tentera dari Iraq pada tahun 2011 tetapi ia masih terlibat secara langsung di Afghanistan. Ini mencerminkan kebuntuan di negara itu, di mana Taliban baru-baru ini telah dibenarkan untuk menubuhkan pejabat di Qatar untuk tujuan berunding dengan Amerika Syarikat, dan untuk membawa beberapa elemen Taliban ke dalam pentadbiran Kerajaan di Kabul.
Asia Pasifik
Satu lagi tumpuan imprealisme adalah rantau Asia-Pasifik. Baru-baru ini, kerajaan Amerika Syarikat telah mengeluarkan sebuah dokumen yang menggariskan strategi baru untuk mengalihkan orientasi dasar luar negara ke arah rantau ini. Ini adalah akibat kerisauan Amerika Syarikat bahawa China akan menggunakan kuasa ekonomi yang semakin meningkat untuk menguasai rantau ini. China berkemungkinan boleh menjadi ekonomi terbesar di dunia, walaupun purata taraf hidup di negara tersebut adalah jauh lebih rendah daripada rakyat di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, kebangkitan gerakan rakyat di China akan mencetuskan lebih banyak konflik di China sendiri daripada konflik dengan Amerika Syarikat.
2011 adalah tahun yang penting bagi gerakan-gerakan massa dan telah mewujudkan tugas besar dan cabaran bagi sosialis dan marxis untuk menerangkan idea-idea marxis kepada pekerja-pekerja dan anak muda dalam perjuangan untuk membina sosialisme serta memperkukuhkan perjuangan untuk menukar sistem kapitalisme dan seterusnya bergerak ke arah perubahan sosialis tulen dalam masyarakat.

No comments: