Saturday 25 February 2012

HENTIKAN PEMBINAAN LOJI 'NADIR BUMI' LYNAS !


PENCEMARAN ALAM MENGANCAM KEHIDUPAN MANUSIA

Persekitaran yang selamat amat penting untuk kehidupan yang sihat. Tuntutan kumpulan Anti-Lynas dan masyarakat di Kuantan untuk menutup Loji nadir bumi (rare earth) amatlah wajar memandangkan projek tersebut yang berlandaskan keuntungan boleh membawa kesan-kesan radioaktif yang akan memberikan impak kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Kuantan. Pemprosesan nadir bumi (rare earth) terbesar di dunia bertapak di negara China di mana hampir 95% pemprosesan nadir bumi dunia dilakukan di sini.  Pemprosesan ini telah mendatangkan banyak kesan negatif kepada penduduk China, terutamanya kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pemprosesan ini.  Air yang terdapat di kawasan sekitaran didapati tercemar dengan bahan radioaktif dan tidak sesuai untuk diminum ataupun digunakan untuk penanaman.


Lynas, sebuah syarikat multinasional daripada negara Australia telah mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia untuk membina projek tersebut di kawasan Kuantan walaupun telah mendapat tentangan yang berterusan daripada masyarakat di Kuantan mahupun daripada rakyat Malaysia yang prihatin terhadap isu-isu alam sekitar. Ini menunjukkan sifat sebenar syarikat kapitalis seperti Lynas yang amat mementingkan keuntungan maksima daripada kesejahteraan rakyat. Manakala kerajaan pro-kapitalis BN pula menyambut syarikat seperti Lynas atas nama ‘Pelaburan’ dan ‘Keuntungan’ tanpa mengendahkan keselamatan rakyat. Malahan kita pernah melalui trajedi radioktif Bukit Merah pada tahun 1985 di mana projek nadir bumi kilang Jepun telah membawa kesan radioaktif kepada masyarakat Bukit Merah termasuk kepada beberapa anak-anak kecil yang telah dijangkiti penyakit kanser berdarah dan kanser otak akibat trajedi tersebut. Gerakan masyarakat Bukit Merah yang berterusan akhirnya telah berjaya menutup kilang nadir bumi tersebut pada tahun 1992.  Ini menunjukkan, hanya melalui perjuangan dan tentangan berterusan masyarakat di Kuantan dan Malaysia umumnya dapat menghentikan projek nadir bumi Lynas tersebut.

Pada masa kebelakangan ini isu alam sekitar dibahaskan dengan meluas di semua pelusuk dunia termasuk di Malaysia. Isu-isu seperti perubahaan iklim, peningkatan suhu, pencemaran yang berleluasa dan pembangunan yang tidak terkawal mendapat perhatian penting dan berbagai langkah-langkah alternatif dicadangkan untuk mengatasi kemusnahan alam sekitar. Kami beranggapan bahawa ‘Himpunan Hijau’ pada 26/2/2012 adalah satu inisiatif yang boleh memberikan kesedaran tentang betapa pentingnya isu-isu alam sekitar kepada kehidupan manusia. Pada masa yang sama isu-isu tersebut haruslah dihubungkaitkan dengan isu-isu ekonomi, sosial dan politik yang sedang diharungi di Malaysia mahupun di dunia pada masa kini.

Adalah didapati bahawa dasar-dasar kerajaan seperti Malaysia dan institusi kapitalis dunia seperti Kesatuan Eropah, Badan Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia hanya mencerminkan kepentingan perniagaan yang besar. Kaedah-kaedah untuk menangani masalah alam sekitar sentiasa diselaraskan dengan kepentingan ‘keuntungan’ daripada matlamat jangka panjang untuk kemampanan alam sekitar. Justeru itu, langkah-langkah untuk memerangi isu-isu alam sekitar seperti perubahan iklim mencapai jalan buntu, manakala prospek untuk masa depan untuk persekitaran yang mampan terus malap.

Malahan langkah-langkah seperti cukai hijau, undang-undang hijau atau lain-lain peraturan teknikal bagi membendung masalah pencemaran yang disyorkan oleh pertubuhan-pertubuhan ‘Hijau’ tidak dapat menyelesaikan krisis persekitaran yang sedang kita alami. Ini kerana kerajaan yang bertunjangkan kapitalisme tidak berdaya untuk berkonfrontasi dengan syarikat-syarikat gergasi yang mengakibatkan krisis alam persekitaran. Ini menunjukkan bahawa syarikat-syarikat gergasi lebih berkuasa daripada kerajaan itu sendiri. Krisis kapitalisme global yang sedang dilalui pada masa kini memburukkan lagi usaha-usaha untuk melindungi alam persekitaran apabila beberapa percubaan untuk mencapai kata sepakat di kalangan kuasa-kuasa besar gagal begitu sahaja. Di dalam sistem kapitalisme, kepentingan untuk menyelematkan ‘keuntungan’ sentiasa mengatasi kepentingan untuk menyelematkan alam sekitar dan keperluan rakyat biasa.

Manakala masalah-masalah sosial akibat krisis ekonomi dan juga krisis persekitaran semakin menjadi-jadi. Misalnnya, Jabatan Hal Ehwal Alam Sekitar Afrika Selatan, menjangkakan bahawa pada tahun 2020 hampir 200 juta penduduk di Afrika akan diancam oleh masalah kekurangan air. Manakala, hasil daripada pertanian dijangka akan menyusut sehingga 50%, dan kerosakan teruk terhadap eko-sistem akan terus memburukkan lagi kekurangan makanan di Afrika. Menurut Bangsa-Bangsa Bersatu, pada bulan Januari 2008, kebuluran telah menjejaskan 923 juta penduduk, manakala ketika ini, ia telah menjangkau kepada 1.02 bilion orang. Tragedi di Darfur menunjukkan bahawa perubahan iklim adalah satu ancaman kepada kesejahteraan manusia.

Simptom-simptom sosial yang semakin meningkat menunjukkan kesan daripada sistem kapitalisme yang mengutamakan penggunaan sumber-sumber alam dan teknologi untuk kepentingan ‘kuasa ekonomi’ dan ‘keuntungan maksima’ segelintir kapitalis yang jumlahnya kurang daripada 1%. Manakala rakyat biasa-kelas pekerja, petani, anak muda- yang jumlahnya 99% sedang dianaktirikan dengan kerakusan golongan 1% tersebut. Ini menunjukkan keperluan untuk merubah sistem kapitalisme  yang membawa kepada bencana, peperangan, kebuluran besar-besaran dan kemusnahan alam sekitar. Masalah alam persekitaran seperti pemanasan global tidak akan dapat diselesaikan dengan idea-idea yang bernas atau pelarasan teknikal yang amat berasaskan kepada pasaran bebas kapitalisme. Menyelesaikan isu-isu alam sekitar bukanlah perkara teknikal, ianya adalah isu politik. Tanggungjawap mengawal dan melindungi alam persekitaran harus dipikul oleh semua lapisan masyarakat bukannya diletakkan di tangan segelintir kapitalis dan ahli-ahli politik yang mendokong kapitalisme.

Pengeluaran dan perdagangan perlu dirancang dan diletakkan di bawah kawalan demokratik majoriti rakyat. Dengan ini, keuntungan sebagai kuasa memandu akan dilupuskan dengan sistem demokratik sosialis dan digantikan oleh pengeluaran untuk memaksimakan keperluan masyarakat.  Perhimpunan yang dipilih secara demokratik di pelbagai peringkat: tempatan, seluruh industri, kebangsaan dan antarabangsa - akan memutuskan bagaimana lebihan pengeluaran perlu dibahagikan; apa yang harus mengambil keutamaan; apakah objektif produktiviti yang perlu difokuskan; apakah yang akan digunakan untuk pelaburan dan keperluan awam atau penggunaan peribadi. Perancangan-perancangan tersebut  harus sentiasa dibincangkan dan dikaji semula secara demokratik.

Ekonomi terancang juga bermakna bahawa sistem kapitalisme perlu diubah sama sekali. Sumber-sumber yang dibazirkan melalui spekulasi dan sektor pengiklanan boleh dipergunakan untuk melabur dalam pengeluaran, serta menyelesaikan masalah alam sekitar, dan juga melancarkan projek-projek infrastruktur di negara-negara membangun. Di bawah sistem kapitalisme, semua usaha mestilah menguntungkan atau ia akan ditutup atau dilupuskan. Dalam masyarakat sosialis, ruang yang secukupnya akan disediakan untuk pendidikan, penyelidikan, penukaran, pertanian organik, atau membetulkan masalah global yang lain tanpa meletakkan keutamaan untuk menjana keuntungan.

Teknologi boleh digunapakai di dalam aktiviti perancangan dan untuk menggariskan langkah-langkah penjimatan tenaga yang sistematik, misalnya melalui kaedah-kaedah pembinaan bangunan, proses pengeluaran perindustrian dan penjimatan tenaga di rumah yang lebih cekap dan mesra alam. Penyelidikan yang lebih intensif juga amat perlu untuk meneroka kemungkinan-kemungkinan yang baru termasuk pembangunan sumber-sumber tenaga baru seperti solar, angin, kuasa hidro dan kuasa pasang surut. Kita juga memerlukan, perancangan dan pelaburan besar-besaran dalam infrastruktur pengangkutan awam, dari peringkat tempatan ke peringkat antarabangsa, berdasarkan cara yang paling cekap dan mesra alam.

Penyusunan semula sektor pertanian pada peringkat kebangsaan dan global harus dititikberatkan dengan membangunkan kaedah-kaedah pengeluaran makanan yang mesra alam. Selama beberapa dekad kebelakangan ini, kaedah pertanian kapitalis secara intensif telah memusnahkan kesuburan tanah. Manakala, di peringkat antarabangsa, banyak negara-negara pengeksport makanan telah menjadi terlalu bergantung kepada satu atau dua produk, yang terdedah kepada turun naiknya harga pasaran dunia. Masalah perniagaan agro yang dikongkong oleh syarikat gergasi antarabangsa dan eksploitasi petani kecil yang tidak mempunyai tanah oleh tuan-tuan tanah memerlukan penyelesaian sosialis. Langkah segera perlu diambil untuk memulihkan kerosakan eko-sistem, seperti hutan, tasik dan lautan, dan pemusnahaan tanah ladang.

Adalah tidak dapat dinafikan, bahawa banyak lagi penyelidikan yang diperlukan untuk mencapai matlamat yang luas, dan teknologi baru harus diuji dalam amalan. Tetapi peraturan alam sekitar yang diperkenalkan oleh syarikat-syarikat gergasi dan kerajaan kapitalis, tidak pernah serius untuk membendung masalah kemusnahan alam sekitar. Objektif ini memerlukan perancangan sosialis pada skala global. Untuk membendung krisis alam sekitar memerlukan pembinaaan satu masyarakat sosialis yang berdasarkan kepada pengeluaran yang bermakna, untuk keperluan semua tanpa sebarang prasangka dan ekspolitasi.

  • HENTIKAN PEMBINAAN LOJI ‘RARE EARTH’ LYNAS DAN AKTIVITI-AKTIVITI KAPITALIS YANG SEWENANG-WENANGNYA MENCEMARKAN ALAM SEKITAR DENGAN NAMA ‘KEUNTUNGAN MAKSIMA’. 
  • TIDAK KEPADA LOJI NUCLEAR. GUNAKAN TENAGA-TENAGA ALTERNATIF YANG SELAMAT DAN MESRA ALAM. 
  • PERANCANGAN SISTEM PENGANGKUTAN AWAM SECARA DEMOKRATIK UNTUK MENGURANGKAN PENCEMARAN DAN KESESAKAN. 
  • PEMBINAAN PARTI MASSA KELAS PEKERJA DAN ANAK MUDA SEBAGAI ALTERNATIF UNTUK PARTI-PARTI PRO-KAPITALISME SEBAGAI LANDASAN KE ARAH MEMBINA MASYARAKAT SOSIALIS UNTUK MEMAKSIMAKAN KEPERLUAN RAKYAT DAN MEMELIHARA ALAM PERSEKITARAN. 
  • EKONOMI TERANCANG BERLANDASKAN KEPADA DEMOKRATIK SOSIALISME UNTUK MERANCANG KEPERLUAN-KEPERLUAN RAKYAT DENGAN MEMASTIKAN KEMAMPANAN PERSEKITARAN. 
  • MEMBINA INTERNASIONALISME  UNTUK SOLIDARITI ANTARABANGSA KELAS PEKERJA DAN ANAK MUDA

No comments: