Tuesday 3 January 2012

ULASAN TAHUN 2011...MENEMPUH 2012 !



2011 TAHUN KEBANGKITAN RAKYAT …2012 KRISIS KAPITALISMA DIJANGKA TENAT …PILIHANRAYA UMUM MALAYSIA KE-13 ‘IBU’ SEGALA PILIHANRAYA.

Tahun 2011 bermula dengan revolusi di negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara. Satu demi satu regim diktator yang telah bermaharajalela berpuluh-puluh tahun runtuh akibat keteguhan kebangkitan rakyat yang dipelopori oleh anak muda dan kelas pekerja yang menuntut hak demokrasi dan keperluan sosial. Bermula dengan Tunisia, kebangkitan rakyat seterusnya menular ke Mesir, Libya, Yemen dan negara-negara lain. Manakala di Syria ketika kita mencecah tahun 2012 perjuangan rakyat di negara tersebut terhadap regim autokratik Bashar semakin sengit.
 
Kebangkitan anak muda dan kelas pekerja tersebut yang bersifat internasionalisme bukan sahaja telah merangsangkan perjuangan terhadap kerajaan zalim di rantau Asia Barat dan Afrika Utara tetapi juga telah memberikan inspirasi kepada perjuangan terhadap krisis kapitalisme di Amerika Syarikat dan Eropah, dan juga perjuangan anak muda atau kelas pekerja di negara-negara lain termasuk BERSIH 2.0 di Malaysia untuk hak demokrasi dan keperluan sosial.

Pada masa yang sama, kegawatan ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah yang bermula pada  tahun 2008 masih tidak mendapat penyelesaian, dan dijangka kesuraman ekonomi tersebut akan berlanjutan pada tahun 2012. Krisis ekonomi tersebut memberikan impak yang teruk kepada kelas pekerja dan anak muda, dan mereka melancarkan mogok umum dan demonstrasi untuk menentang polisi-polisi pro-kapitalis kerajaan masing-masing. Akibatnya, satu demi satu kerajaan pro-kapitalis tersungkur di Ireland, Britain, Greek, Sepanyol, Portugal dan Itali. Ini termasuk parti-parti pro-kapitalis yang pada satu ketika telah berlandaskan kepada demokrasi sosial dan kelas pekerja seperti PASOK (Greek), Parti Buruh (Britain) dan Parti Sosialis (Sepanyol, Portugal). Polisi dan perspektif parti-parti tersebut sama sekali tidak berbeza dengan parti-parti berhaluan kanan di negara-negara tersebut, dan sosialisme dan kelas pekerja hanya menjadi momokan mereka untuk memancing undi.  

Manakala, gerakan ‘occupy’ yang bermula di Amerika menduduki (menguasai) bandar-bandar  utama di negara tersebut telah menular hampir ke serata pelusuk dunia. Anak muda yang hilang kepercayaan terhadap parti-parti politik yang tidak berupaya membendung krisis kapitalisme, mempergunakan gerakan ‘occupy’ untuk meluahkan perasaan anti-kapitalisme dan menuntut perubahaan tulen. 

Akibat kejatuhan rejim-rejim diktator di negara-negara Asia Barat/ Afrika Utara tersebut, kerajaan autokratik yang lain seperti Myanmar, Malaysia dan lain-lain juga terdesak untuk menjanjikan ruang demokrasi yang lebih untuk mengekang kebangkitan rakyat.  Kerajaan BN yang pada awalnya tidak berganjak untuk melakukan pembaharuan dalam sistem pilihanraya dan hak demokrasi, telah didesak oleh perhimpunan BERSIH 2.0 yang diterajui oleh anak-anak muda.  Justeru itu, BN terpaksa tunduk dengan menjanjikan beberapa pembaharuan dalam sistem pilihanraya dan hak demokrasi termasuk pembaharuan di dalam akta ISA dan AUKU, supaya tidak  menghadapi situasi sepertimana yang dilalui oleh kerajaan-kerajaan diktator di Asia Barat dan Afrika Utara yang selama ini telah terus menerus mengekang hak demokrasi. Walaubagaimanapun, setakat ini pembaharuan-pembaharuan tersebut lebih bersifat kosmetik untuk mendapat sokongan rakyat, dan BN akan berusaha sedaya-upaya untuk memastikan pembaharuan-pembaharuan yang dijanjikan tidak mengugat hegemoni Barisan Nasional selama ini. Manakala pembangkang akan cuba mempergunakan janji-janji demokrasi BN untuk mendesak lebih pembaharuan sebelum menghadapi pilihanraya umum yang ke-13.

Situasi politik dan ekonomi Malaysia sedikit sebanyak telah dipengaruhi oleh konflik politik dan krisis ekonomi yang melanda Asia Barat/Afrika Utara dan Amerika/Eropah. Situasi ekonomi negara masih tidak berubah dengan penumpuan aktiviti ekonomi yang bertujuan merangsang pasaran dalaman negara, tetapi kemasukan pelaburan luar negara dan ekspot barangan keluaran negara masih tidak memuaskan. Manakala tanda-tanda aktiviti ekonomi yang sedang menyusust di negara China dan India, dengan krisis ekonomi yang berterusan di Amerika dan Eropah, boleh memberikan impak yang lebih buruk kepada Malaysia dan negara-negara di rantau ini, jika kegawatan ekonomi dunia tidak berjaya dikekang.  

2012 kemungkinan besar adalah tahun pilihanraya yang ke 13 yang dijangka akan diadakan bila-bila masa selepas bulan Februari. Pilihanraya tersebut yang dianggap sebagai ‘Ibu’ segala pilihanraya dijangka akan sengit dengan kedua-dua BN dan Pakatan akan bertarung untuk menubuhkan kerajaan persekutuan. Pada masa kini, kedua-dua BN dan Pakatan sedang melalui konflik dalaman parti untuk perebutan kerusi dan kuasa. Selain mempergunakan retorik dan agenda populis seperti 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, seperti biasa BN akan mempergunakan kekebalan jentera pilihanraya, wang dan media sedaya upaya untuk memenangi pilihanraya tersebut. Pakatan pula akan menaburkan janji-janji populis dan slogan seperti ‘negara kebajikan’, ‘buku jingga’ dan ‘ubah’ sepertimana pilihanraya yang ke-12 untuk mendapatkan sokongan rakyat biasa yang sedang dibebani dengan tekanan hidup akibat inflasi yang semakin meningkat dan penyusutan aktiviti ekonomi. Tetapi, BN mahupun Pakatan tidak mempunyai jalan penyelesaian kepada kelembapan ekonomi negara akibat krisis ekonomi global yang dijangka akan berterusan di tahun 2012 selain melakukan atau mensyorkan perubahan kosmetik untuk menyelematkan sistem kapitalisme negara ini. Ini bermakna, kerajaan yang terbentuk sama ada kerajaan Pakatan atau BN, akan terus dibelenggu oleh krisis ekonomi global jika krisis tersebut berterusan yang mana boleh memberikan kesan yang teruk kepada taraf sosial anak muda dan kelas pekerja.

Walaupun selepas kejatuhan dan perubahan kerajaan-kerajaan diktator di Asia Barat/Afrika Utara, dan kerajaan-kerajaan di negara Eropah, revolusi balas (counter-revolution) yang diterajui oleh parti-parti baru dengan landasan pro-kapitalis membentuk kerajaan baru dengan sokongan kuasa-kuasa imprealisme seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (European Union). Rakyat biasa di negara tersebut terpaksa meneruskan perjuangan terhadap regim-regim baru yang bertopengkan ‘perubahaan’  tetapi masih ghairah untuk berjinak-jinak dengan kapitalisme untuk memanfaatkan segelintir  golongan kapitalis nasional dan antarabangsa. 

Rakyat biasa mahukan perubahaan ekonomi dan sosial untuk mempertingkatkan keperluan-keperluan asas mereka. Ini adalah perjuangan kelas di antara 99% ( majoriti kelas pekerja dan anak muda) dan 1% (minoriti kapitalis) seperti yang dilaungkan oleh gerakan ‘occupy’ yang mencerminkan keteguhan rakyat biasa untuk perubahan tulen dan kegelojohan memaksimakan keuntungan  sistem kapitalisme yang penuh dengan kepincangan dan krisis.  Ini menunjukkan bahawa satu perubahan sistem kepada demokratik sosialisme amat diperlukan untuk memenuhi keperluan sosial dan ekonomi untuk memenuhi dan memperkembangkan keperluan asas dan hak demokrasi anak muda dan kelas pekerja.  

Selama ini pelopor-pelopor kapitalisme dengan sewenang-wenangnya memutarbelitkan perspektif sosialisme dan idea-idea marxisme dengan merujuk kepada birokrasi dan sistem satu parti Stalinisme dan Maoisme, dan kegagalan parti-parti pilihanraya yang berlandaskan demokrasi sosial (social democrat). Kejatuhan regim diktator Stalinisme pada 1989 disambut oleh pendokong dan intelektual kapitalisme sebagai ‘Kejayaan kepada Kapitalisme’. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa regim-regim dan parti-parti yang berlandaskan kepada Stalinisme atau Maoisme dengan nama ‘sosialisme’ atau ‘marxisme’ telah memperkasakan birokrasi dan menghapuskan demokrasi kelas pekerja, petani dan anak muda yang amat diperlukan untuk pembinaan sosialisme dan ekonomi terancang untuk meningkatkan keperluan rakyat. Tetapi, yang amat nyata pada masa kini di negara-negara bekas Stalinisme seperti di Rusia dan Eropah Timur adalah kejatuhan taraf hidup yang lebih teruk berbanding ketika era Stalinisme itu sendiri. Manakala pekerja dan petani miskin di China pula melancarkan mogok dan protes besar-besaran untuk mempertahankan hak dan demokrasi yang sedang  diancam oleh perkembangan kapitalisme di negara tersebut.

Pendokong dan intelektual kapitalis yang pada satu ketika melaungkan ‘Kejayaan’ kepada sistem mereka terpaksa akur dengan ‘antara krisis yang paling teruk dalam sejarah kapitalisme’ yang sedang dilalui pada masa kini. Kegagalan kapitalisme untuk menyelesaikan krisis sistem itu sendiri telah membantutkan keyakinan ramai anak muda dan rakyat biasa kepada sistem tersebut, dan semakin ramai merujuk semua kepada perspektif sosialisme dan idea marxisme sebagai alternatif kepada kapitalisme.

Pengalaman revolusi di Asia Barat dan Afrika Utara pada tahun 2011 mengajar kita bahawa kapitalisme boleh membentuk regim baru melalui revolusi balas apabila regim lama tidak dapat berfungsi mengawal rakyat dan memanfaatkan kapitalisme. Kapitalisme telah mewujudkan parti-parti pro-kapitalisme aliran perdana untuk memainkan peranan tersebut. Ini sepertimana Parti Republican ditukar kepada Parti Demokrat di dalam pilihanraya Amerika Syarikat yang mana kedua-duanya bersifat pro-kapitalis untuk memenuhi nafsu keuntungan maksima sistem kapitalisme negara tersebut.

Di negara-negara Asia Barat, Afrika Utara, Eropah dan Amerika Syarikat anak-anak muda dan kelas pekerja menunjukkan keberanian dan keteguhan untuk berjuang, tetapi kekurangan di dalam gerakan-gerakan tersebut adalah kepimpinan kelas pekerja dan anak muda untuk menerajui perubahan politik berlandaskan aspirasi kelas pekerja dan anak muda untuk membawa perubahan sosial dan ekonomi yang tulen. Untuk ini parti massa kelas pekerja dan anak muda perlu dibina sebagai alternatif kepada parti-parti pro-kapitalis.

Persoalan yang sama akan timbul di Malaysia, tentang perlunya pembinaan parti massa kelas pekerja untuk memimpin keperluan dan hak sosial dan demokrasi anak muda dan rakyat biasa. Kesedaran dan keperluan tersebut mampu kukuh di ambang keadaan sosial dan ekonomi yang dijangka akan bertambah tenat di Malaysia dan juga secara global.    

No comments: