Thursday 12 January 2012

SENIMAN DAN PERJUANGAN KELAS: MENGUPAS PENGALAMAN WIJI TUKUL



Di Malaysia akhir-akhir ini kita sering melihat tekanan politik yang semakin kuat daripada pemerintah terhadap segala macam bentuk penentangan terhadap kekuasaan Barisan Nasional. Situasi ini sebenarnya bukan merupakan perkara yang luar biasa bagi sebuah negara yang dipimpin oleh sebuah kuasa yang telah terlalu lama di tampuk pemerintahan dan semakin takut akan kehilangan kuasanya. Apalagi kalau melihat penentangan itu tidak hanya muncul daripada parti politik pembangkang sahaja, tetapi juga melibatkan unsur yang lain, seperti aktivis politik, peguam, penulis blog, seniman, dan anak muda. Masing-masing kumpulan ini memainkan peranan tersendiri di dalam lanskap politik terkini. Namun, tulisan singakt ini hendak memberikan penekanan khusus kepada peranan seniman di dalam proses perubahan politik tersebut.




Ada baiknya kita melihat contoh ke negara jiran Indonesia semasa Orde Baru di bawah kepimpinan Soeharto (1966-1998), di mana kuasa menggunakan segala cara dan sumber yang ada padanya untuk menekan keinginan rakyat yang mahukan perubahan. Jika dibandingkan dengan keadan di Malaysia sekarang, pemerintah Indonesia sebelum reformasi lebih teruk memperlakukan setiap aktivis politik yang menentangnya. Tentera memainkan peranan yang sangat besar dalam mempertahankan kuasa. Pembunuhan, penjara, penculikan, dan penderaan fizikal yang dilakukan oleh tentera dan polis merupakan sebuah risiko yang pasti dihadapi oleh aktivis.



Wiji Thukul (1963-???) adalah seorang penyair dan aktivis politik Indonesia yang mungkin namanya kurang kita kenal di sini, namun sebenarnya memiliki peranan besar di dalam menentang kuasa Orde Baru. Puisi-puisinya selalu dibacakan pada saat demonstrasi-demonstrasi pada awal tahun 1990-an yang dilakukan oleh mahasiswa, pekerja, petani, dalam pelagai isu. Hal ini dimungkinkan kerana puisi-puisinya dianggap mewakili suara masyarakat tertindas dan mewakili perasaan rakyat terhadap situasi sosial, ekonomi, politik pada masa itu. Ia sendiri berasal dari keluarga miskin yang tinggal di sebuah perkampungan urban yang miskin di tengah-tengah kota Solo, Jawa Tengah. Justru ketika ia berbicara tentang kemiskinan di sekelilingnya, situasi yang sama juga dihadapi oleh jutaan rakyat miskin lainnya di seluruh Indonesia.



Bait terakhir daripada salah satu puisinya yang paling terkenal, Peringatan, yang berbunyi: “Hanya Satu Kata: Lawan!” menjadi slogan utama para aktivis dalam kempen menjatuhkan Soeharto. Slogan itu selalu terdengar dalam setiap pidato dan pekik sorak para demonstran di jalanan pada saat muncul gerakan politik penentangan semenjak awal tahun 1990an sehingga tercetus reformasi pada tahun 1998. Padahal puisi tersebut diciptakan Wiji Thukul pada tahun 1985, pada saat gerakan politik menentang kuasa Orde Baru belum berani muncul secara terbuka. Ini menunjukkan bahawa dalam keadaan suara dibungkam, seniman melalui karya seninya boleh menjadi pencetus kepada penentangan dan pendorong munculnya gerakan perlawanan. Apa yang istimewa daripada sosok Wiji Thukul ialah, ia tidak hanya menciptakan puisi penentangan sahaja, tetapi juga ikut terlibat di dalam penentangan secara langsung dengan aktif berpolitik. Ia mendatangi pekerja dikilang-kilang mereka, berdiskusi, berkesenian, dan tinggal bersama mereka. Tujuannya ialah untuk memberi keberanian bersuara kepada pekerja melalui mulut mereka sendiri, tentang persoalan yang mereka hadapi. Salah satu contoh di mana pendekatan ini membuahkan hasil ialah ketika ia bersama aktivis pekerja yang lain berhasil memimpin demonstrasi seramai 15,000 pekerja kilang syarikat tekstil Sritek di Solo, pada bulan Disember 1995 yang merupakan salah satu demonstrasi mogok kerja terbesar yang pernah berlaku pada masa Orde Baru. Pada saat demonstrasi itu, sejumlah pekerja dan  aktivis ditangkap dan disiksa oleh tentera. Wiji Thukul mengalami kecedaraan yang teruk sehingga menyebabkan salah satu matanya buta kerana dipukul dengan senapang oleh tentera yang menangkapnya. Namun, perlakuan semacam itu dianggapnya sudah sebati dengan perjuangan melawan penindasan, dan tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan ia menyerah. Perlakuan kejam semacam itu dari tentera bukan kali pertama diterimanya. Sedar akan pengaruh puisi-puisinya yang menghasut kesedaran massa untuk berontak, dan juga oleh besarnya daya juang sipenyairnya sendiri, membuatkan Wiji Thukul selalu menjadi sasaran intimidasi dan penangkapan oleh tentera. Puncaknya ialah pada saat akhir kekuasaan Soeharto, menjelang reformasi 1998, Wiji Thukul hilang diculik oleh alat negara, bersama dengan puluhan aktivis lain yang menjadi mangsa kekuasaan. Nasibnya tidak diketahui sampai hari ini, namun inspirasi perjuangan melalui puisi-puisinya tetap tetap relevan bagi perjuangan.



Bagaimana dengan Malaysia? Adakah seniman boleh memainkan peranan yang sama seperti yang berlaku di Indonesia? Saat ini sasterawan A. Samad Said mungkin dilihat sebagai seniman yang paling menonjol menentang UMNO. Keterlibatannya di dalam demonstrasi menentang PPSMI dan Bersih 2.0 mendapat liputan yang meluas di media. Tidak dapat dinafikan bahawa hal itu berlaku kerana kapasitinya sebagai seorang bekas ssasterawan negara. Namun kenyataan itu tidak secara automatik meletakkannya setaraf dengan seniman pejuang Wiji Thukul yang telah kita sebutkan tadi. Apalagi melihat watak rejim di Malaysia yang tidak segarang rejim diktator dengan pengaruh militer yang kuat seperti di Indonesia, seharusnya kalangan seniman di negara ini lebih berani dan lebih keras menyuarakan suara rakyat. Bukan hanya setakat menyuarakan suara rakyat, tetapi mahu bekerja bersama rakyat, supaya mereka berani menyuarakan suara mereka sendiri.



Untuk menutup tulisan ini, saya kutip dua buah puisi Wiji Thukul yang selalu dibacakan dan dinyanyikannya di depan mahasiswa dan kaum intelektual untuk menyindir mereka.



Apa Guna



Apa guna punya ilmu tinggi

Kalau hanya untuk mengibuli

Apa guna banyak baca buku

Kalau mulut kau bungkam melulu



Di mana-mana

Moncong senjata

Berdiri Gagah kongkalikong dengan kaum cukong



Di desa-desa

Rakyat dipaksa

Menjual tanah

Tapi tapi tapi tapi

Dengan harga murah



Apa guna punya ilmu tinggi

Kalau hanya untuk mengibuli

Apa guna banyak baca buku

Kalau mulut kau bungkam melulu







Mendongkel Orang-orang Pintar



Kudongkel keluar orang-orang pintar dari dalam kepalaku

Aku tak tergetar lagi oleh mulut-mulut orang pintar

Yang bersemangat ketika berbicara



Dunia bergerak bukan karena omongan



Para pembicara dalam ruang seminar

Yang ucapannya dimuat di halaman surat kabar

Mungkin pembaca terkagum-kagum

Tapi dunia tak bergerak setelah surat kabar itu dilipat



WT, 1993





Iyan, CWI

No comments: