Wednesday 7 October 2009

PERTARUHAN KUASA DI ANTARA BARISAN DAN PAKATAN


KELAS KAPITALIS TERUS DIJULANG…KEPERLUAN DAN HAK KELAS PEKERJA DAN ANAK MUDA TERUS DITINDAS !

 Semenjak Najib menjadi Perdana Menteri pada April tahun ini, beliau menggunakan dua pendekatan untuk memperkukuhkan UMNO dan BN yang terumbang-ambing akibat kekalahan teruk dalam Pilihanraya yang ke-12. Pertama, beliau mengumumkan beberapa pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan dan menggariskan beberapa langkah untuk merangsangkan ekonomi negara yang yang tidak tentu arah akibat kejatuhan ekonomi dunia semata-mata untuk menambat semula hati rakyat. Kedua, kerajaan beliau menggunakan muslihat tertentu seperti tuduhan-tuduhan rasuah, politik wang dan sebagainya dengan mempergunakan jentera kerajaan seperti polis, mahkamah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencemarkan dan seterusnya melemahkan Pakatan Rakyat.

TALAM DUA MUKA BARISAN

Selepas kekalahan memalukan dalam pilihanraya yang lalu, Najib dan BN terdesak dan tertekan untuk menyelaraskan beberapa polisi-polisi kerajaan dan terpaksa menyahut beberapa hujah populis 'Agenda Ekonomi' Pakatan Rakyat yang mendapat sambutan pengundi dalam pilihanraya yang lalu. Ini adalah semata-mata untuk memulihkan kepercayaan rakyat ke atas kerajaan dan meningkatkan kredibiliti BN.

Tetapi, persoalannya, berapa jauh Najib mampu berlangkah dengan agenda "reformasi"nya. Perlaksanaan langkah-langkah tersebut amat bergantung kepada pemulihan ekonomi Malaysia akibat ketidaktentuan ekonomi global. Oleh kerana ekonomi Malaysia berlandaskan kepada ekspot, maka kondisi-kondisi luaran merupakan enjin yang melancarkan ekonomi Malaysia yang amat bergantung kepada status ekonomi dunia, pasaran kewangan dan harga barangan komoditi.

Dalam lima bulan pertama tahun ini, jumlah Pelaburan Langsung Luar Negara hanya RM4.2 billion berbanding RM46 billion pada tahun lalu. Ini kerana syarikat-syarikat negara luar telah mengurangkan modal dan pelaburan mereka di Malaysia. Maka, Najib tiada jalan lain melainkan menliberalisasikan beberapa perkhidmatan kewangan semata-mata untuk bersaing dengan negara-negara lain untuk menarik pelaburan asing. Justeru itu, Najib telah memansuhkan beberapa peraturan yang selama ini telah memastikan supaya syarikat-syarikat multinasional memenuhi kuota 30 peratus pemilikan bumiputera. Ini sekaligus, telah menamatkan polisi berusia 40 tahun yang telah dilancarkan oleh Bapa Najib, Tun Razak Hussein yang juga Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Langkah-langkah tersebut adalah semata-mata untuk memberikan lebih kemudahan dan ruang untuk kapitalis-kapitalis antarabangsa untuk mengeksploitasi sumber-sumber alam dan kuasa buruh di negara ini. Namun demikian untuk membolehkan Pelaburan Langsung Luar Negara mampu masuk ke Malaysia, permintaan dan prestasi ekonomi di negara-negara seperti Amerika, Jepun, China dan Eropah masih merupakan faktor penting.

Walaubagaimanapun, pada realitinya, "reformasi" ekonomi Najib masih tidak memansuhkan sistem penaungan dan langkah-langkah perlindungan yang telah dipraktikkan oleh kerajaan untuk melindungi kapital-kapitalis nasional dan syarikat-syarikat (seperti Petronas, TNB, MAS, Simedarby, Proton dan lain-lain) yang terikat dengan kerajaan. Tindakan-tindakan penaungan seperti pemberian kontrak-kontrak tertentu kepada krono-kroni UMNO diteruskan tanpa sekatan. Sebab itulah, tiada banyak tentangan daripada ahli-ahli UMNO ke atas tindakan liberalisasi ekonomi Najib. "UMNO perlu menuruti polisi menliberalisasi ekonomi kerajaan tetapi UMNO masih perlu memastikan supaya masyarakat Melayu setia menyokongnya," hujah Ibrahim Suffian, pengarah Merdeka Center, sebuah badan pengkritik bebas. Selain daripada mewujudkan kelas kapitalis Melayu, kontrak-kontrak kerajaan juga merupakan 'habuan' untuk lebih 30,000 kontraktor, yang mana kebanyakannya adalah ketua-ketua bahagian UMNO yang menjadi landasan sokongan kepada pemimpin-pemimpin dalam UMNO.Oleh yang demikian, kapitalis Melayu dan juga Syarikat-Syarikat yang terikat dengan kerajaan akan terus mendapat perlindungan walaupun liberalisasi ekonomi tersebut dilaksanakan.

Namun demikian di belakang tabir, BN terus mempraktikkan politik "pecah dan perintah" dengan terus menerus mempelopori sistem naungan. Pada masa yang sama, mereka terus mengkaburi rakyat biasa dengan mempropagandakan konsep "satu Malaysia", dengan omong-omongan bahawa setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mempunyai hak yang sama. Kini, slogan Najib- "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" – telah menjadi 'ayat suci' yang dipropagandakan melalui setiap media dan jentera kerajaan. Retorik tersebut diolah terutamanya untuk menambat semula sokongan masyarakat bukan-Melayu yang kebanyakannya pada masa kini menaruh harapan kepada Pakatan.

Setelah mengharungi 100 hari sebagai Perdana Menteri, Najib mengumumkan beberapa langkah-langkah populis untuk mendapatkan semula sokongan rakyat dengan menjanjikan bahawa pentadbirannya "akan memberi keutamaan untuk membendung jenayah, membasmi rasuah, memperbaiki sistem pendidikan, meningkatkan pendapatan rumah-tangga, meningkatkan perkhidmatan di kawasan luar bandar, dan meningkatkan pengangkutan awam untuk memastikan setiap insan di Malaysia mendapat manfaat". Janji-janji sedemikian bukanlah satu perkara yang baru kepada rakyat Malaysia. Ketika pentadbiran Tun Abdullah Badawi janji-janji sedemikian ditaburkan sehingga ianya mengkuburkan masa depan politik beliau apabila rakyat biasa mendapati beliau "cakap tak serupa bikin".

Janji-janji lain Najib, seperti mengusulkan undang-undang dan pembaharuan untuk memperkasakan sistem kehakiman dan sistem Polis masih lagi "hangat-hangat tahi ayam". Manakala rasuah dan penyalahgunaan kuasa terus bermaharajalela. Pada masa yang sama skandal RM12 billion Zon Bebas Pelabuhan Kelang, di mana projek pembangunan pelabuhan tersebut dianugerahkan kepada kroni-kroni politik UMNO dan MCA tanpa sebarang proses tawar-menawar yang terbuka, dan isu pengulingan kuasa di Negeri Perak, masih tidak ada sebarang penyelesaian yang adil. Semua tindakan-tindakan sedemikian menggambarkan Kerajaan Najib tidak banyak bezanya daripada pentadbiran-pentadbiran sebelum ini, iaitu hanya penuh dengan retorik, tetapi bankrap dalam perlaksanaan.

Konsep 'satu Malaysia' Najib hanyalah satu lagi retorik politik, dan tidak akan berjaya untuk membahagikan kekayaan negara secara saksama dan adil tanpa mengira kaum, selagi wujud penindasan dan prasangka kaum yang dipelopori oleh kerajaan pro-kapitalis. Hak dan keperluan kelas pekerja dan rakyat biasa terus menerus ditindas dan dianaktirikan di bawah sistem ini yang hanya bermotifkan kepada keuntungan maksima.

Sekalipun, semenjak Pilihanraya yang ke-12, Pakatan telah memenangi kesemua pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia, tetapi kekuatan sebenarnya masih tidak teruji di kubu kuat Barisan di negeri-negeri seperti Johor, Melaka, Pahang dan di Sabah dan Sarawak. Jadi, sama ada Pakatan berupaya memenangi Pilihanraya Umum yang akan datang masih tidak jelas disebabkan faktor-faktor seperti: situasi ekonomi negara, prestasi Najib dan Kerajaan Barisan dalam memenuhi janji-janji mereka dalam satu atau dua tahun yang akan datang, dan sama ada Pakatan boleh memperkasakan gabunganya sebagai pilihan jelas kepada BN.

Walaubagaimanapun, pengundian rawak yang dilakukan oleh Merdeka Center pada bulan Julai menunjukkan bahawa sokongan kepada kerajaan Najib telah meningkat kepada 65 peratus daripada 42 peratus sebelum beliau menjadi Perdana Menteri di ambang tuduhan pembunuhan dan rasuah oleh Pakatan. Peningkatan sokongan tersebut adalah akibat kegagalan Pakatan dalam memberikan alternatif konkrit untuk menyahut dan menjelaskan retorik dan polisi Najib. Selama ini, Pakatan juga tidak berupaya mengusulkan pilihan jelas untuk mencabar sistem yang dipelopori oleh kerajaan BN yang hanya berlandaskan kepada keuntungan, untuk meningkatkan taraf hidup dan seterusnya melindungi demokrasi dan keperluan rakyat biasa.

SERANGAN BN KE ATAS PAKATAN

Adalah tidak dapat dinafikan, semenjak Najib mengambil alih kuasa pentadbiran, beliau bersama Barisan telah merancang untuk mencemarkan dan melemahkan Pakatan dan pemimpin-pemimpinnya dengan menggunakan berbagai taktik kotor dengan mempergunakan jentera-jentera kerajaan seperti polis, mahkamah, undang-undang dan lain-lain. Tuduhan kes sodomi kedua kerajaan terhadap Anwar Ibrahim, menunjukkan kerajaan Najib bersedia menggunakan apa jua kaedah untuk menjahanamkan reputasi Anwar dan menghadkan penglibatan politik beliau. Ini secara tidak langsung adalah untuk memecah-belahkan Pakatan yang selama ini telah bersatu di bawah kepimpinan Anwar untuk mencabar BN dan memenangi Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, kerajaan BN juga cuba mempergunakan muslihat-muslihat jahat dengan mengumpan ADUN dan MP untuk melompat ke pangkuan Barisan untuk mengucar-kacirkan kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan.

Mereka telah berjaya dengan taktik sedemikian di Negeri Perak dan sekarang sedang cuba mempergunakan kaedah yang sama di Negeri Kedah dan Selangor.

Kematian Teoh Beng Hock, seorang pembantu politik kepada seorang Exco Kerajaan Selangor, ketika di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah menaikkan kemarahan rakyat biasa dan sekaligus telah menjatuhkan kredibiliti SPRM. Serangan berterusan ke atas ahli-ahli politik Pakatan menunjukkan muslihat jahat Barisan untuk melemahkan Pakatan. Pada masa yang sama, ahli-ahli politik UMNO dan BN yang korup dan menyalahgunakan kuasa tidak disiasat atau dituduh oleh SPRM.

HAK-HAK DEMOKRATIK

Ini menunjukkan politik Malaysia tidak memberikan hak saksama kepada pembangkang, di mana BN sentiasa mempunyai kelebihan berbanding dengan pembangkang. BN sudah berkuasa lebih 50 tahun dan pemerintahannya terus menerus memenuhi keperluan kapitalis-kapitalis tempatan dan antarabangsa untuk memaksimumkan keuntungan. Di dalam proses tersebut, hak-hak demokratik dan keperluan rakyat biasa dihadkan dan ditindas. Akibatnya, rakyat biasa tanpa pilihan lain terpaksa berjuang untuk mempertahankan hak dan keperluan mereka.

Walaupun Pakatan menentang tindakan-tindakan tidak demokratik kerajaan BN, tetapi pada masa yang sama terus-menerus menyokong sistem pasaran bebas kapitalisma yang sewenang-wenangnya mancabul hak dan kebajikan rakyat biasa.

Sifat penindasan sistem kapitalisma menggalakkan kerajaan mempergunakan tindakan-tindakan kotor untuk memenuhi keperluan keuntungan kapitalisma. Ini menunjukkan kerajaan hanyalah alat kepada kapitalis-kapitalis untuk memaksimumkan keuntungan. Oleh itu, perjuangan untuk hak-hak demokratik mestilah bersama dengan perjuangan untuk merubah sistem kapitalisma.

PAKATAN JUGA 'CAKAP TAK SERUPA BIKIN'

Pakatan, pada Pilihanraya yang lalu telah mempergunakan beberapa slogan seperti "Agenda Ekonomi untuk pengagihan kekayaan yang adil", "Gaji minima RM1500", "Negara Berkebajikan", "Ekonomi Rakyat", "Pemansuhan DEB (Dasar Ekonomi Baru)", "Pemulihan Pilihanraya Kerajaan Tempatan" dan sebagainya untuk meraih sokongan rakyat biasa yang telah muak dengan politik perkauman BN. Hakikatnya, setelah lebih setahun mentadbir beberapa negeri, rakyat biasa tidak nampak perubahan-perubahan yang dijanjikan oleh Pakatan. Ini kerana, Pakatan dengan retorik 'Kuasa Rakyat' tidak mempunyai perspektif untuk memperkukuhkan hak dan kebajikan majoriti rakyat biasa- kelas pekerja, anak muda, pelajar, petani miskin dan lain-lain yang ditindas oleh kerajaan BN dan sistem kapitalisma-, tetapi hanya melaung-laungkan ketidakpuashatian mereka terhadap serangan politik yang tidak demokratik oleh kerajaan BN terhadap mereka. Pada masa yang sama, perspektif dan penyelesaian kepada isu-isu sosial dan ekonomi seperti inflasi, gaji rendah, perumahan dan sebagainya yang mencetuskan kemarahan rakyat biasa ketika Pilihanraya ke-12, terus-menerus diabaikan oleh Pakatan.

Anwar dan pemimpin-pemimpin Pakatan yang lain hanya berupaya untuk berucap bahawa, "Kita akan buktikan bahawa kita akan menjadi kerajaan yang lebih baik apabila kita mengambilalih kerajaan persekutuan". Pada dasarnya mereka cuba mendorong kepada sistem dua parti untuk melindungi kapitalisma seperti yang diamalkan di Amerika (Parti Democrats dan Parti Republicans) dan di Britain (Parti Labour dan Parti Conservative).

Ini menunjukkan bahawa untuk kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa umumnya, tiada pilihan jelas. Barisan dan Pakatan dengan terus terang menyokong sistem pasaran bebas kapitalisma dengan hanya sedikit berbezaan di antara mereka, di mana Pakatan melaungkan kepada perlunya satu kerajaan yang telus dan bebas daripada rasuah. Walaubagaimanapun dalam kebanyakan isu, kerajaan-kerajaan negeri Pakatan terpaksa tunduk kepada desakan kapitalis-kapitalis ( seperti pemaju dan pelabor) daripada memperjuangkan hak dan keperluan rakyat pekerja dan golongan tertindas.

Isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, merupakan salah satu isu yang menunjukkan sifat pro-kapitalisma Kerajaan Pakatan. Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, telah menunjukkan ketidakupayaan beliau untuk melindungi tanah dan perumahan warisan masyarakat Buah Pala akibat pengkhianatan yang dilakukan oleh Kerajaan BN sebelumnya, daripada dirobohkan oleh pemaju . Di dalam konflik tersebut, Lim hanya menunjukkan bahawa beliau hanya berupaya menjadi seorang perantara yang baik di antara masyarakat Buah Pala dan pemaju, tetapi akhirnya rundingan tersebut menyebelahi kehendak pemaju yang rakus untuk menggondol keuntungan berbillion-billion ringgit. Lim dan kerajaan Pakatan telah membuktikan bahawa mereka tidak berdaya untuk mencabar kehendak pemaju untuk melindungi budaya dan warisan sejarah yang beratus-ratus tahun seperti yang dikehendaki oleh masyarakat Kg Buah Pala.

Sebaliknya, di dalam isu yang seakan-akan sama di Bukit Cina dalam tahun 1980an, apabila Lim adalah pembangkang kepada kerajaan BN negeri Melaka, beliau telah berjuang bersama masyarakat di situ untuk melindungi hak mereka sehingga berjaya menyelematkan Bukit Cina daripada diruntuhkan oleh Kerajaan BN. Di majlis ulang tahun ke -20 'Selamatkan Bukit Cina' pada tahun 2004, Lim menyatakan bahawa, " Perjuangan ini menunjukkan betapa pentingnya untuk melindungi warisan budaya dan sejarah daripada projek-projek pembangunan yang hanya berlandaskan kepada keuntungan. Kedua-dua BN dan MCA hanya melihat tanda ringgit apabila mereka mencadangkan untuk meruntuhkan tanah perkuburan yang tertua di Malaysia untuk membina perumahan, kedai dan pasaraya".

Salah seorang penduduk Kg. Buah Pala dengan marah berkata: "Apabila Pakatan tiada dalam kerajaan mereka berkata mereka bersama rakyat, tetapi apabila mereka jadi kerajaan mereka tidak buat apa-apa untuk melindungi hak rakyat biasa !". Isu tersebut membuktikan sifat tidak berpendirian parti-parti pro-kapitalis yang tunduk kepada kehendak kapitalisma apabila mereka menjadi pemerintah. Akibatnya, rakyat biasa tiada pilihan lain daripada berjuang dengan kekuatan mereka untuk mempertahankan hak mereka.

Politik Pakatan yang tidak konsisten dan hipokrit boleh melemahkan sokongan rakyat yang diterima olehnya dalam pilihanraya yang lalu. Ini boleh dilihat dalam beberapa isu yang melibatkan parti PAS.

Baru-baru ini, PAS menuntut agar SIS (Sisters in Islam) - sebuah NGO yang memperjuangkan hak-hak wanita Islam yang tertindas akibat undang-undang Syariah dan polisi kerajaan BN- diharamkan, dan pada masa yang sama ia terus melaungkan hak bersuara dan demokrasi. Manakala beberapa pemimpin PAS pula cenderung untuk berkerjasama dengan UMNO untuk memperkuatkan dominasi politik Melayu atau Muslim, walaupun PAS merupakan aggota Pakatan yang mendorong kepada politik pelbagai kaum.

Slogan PAS, "PAS untuk Semua", adalah bertujuan untuk mengumpan pengundi-pengundi bukan Melayu. Tetapi pada masa yang sama, PAS cuba menyemarakkan isu-isu sensitif masyarakat beragama Islam semata-mata untuk memelihara sokongan masyarakat Melayu, dan ini menaikkan kemarahan masyarakat bukan Muslim . Tindakan-tindakan sebegini menimbulkan konflik di antara PAS dan DAP yang boleh melemahkan kredibiliti Pakatan.

Ini menunjukkan betapa pentingnya bagi pejuang sosialis dan kesatuan sekerja untuk mengambil posisi tidak memihak kepada parti-parti pro-kapitalis untuk memelihara posisi bebas kelas pekerja. Pada masa yang sama mereka harus kritikal terhadap retorik-retorik populis dan sifat hipokrit Barisan dan Pakatan untuk memperkasakan perjuangan kelas serta membangunkan organisasi kelas pekerja dan anak muda.

ALTERNATIF UNTUK KELAS PEKERJA

Pertaruhan kuasa di antara Barisan dan Pakatan, menjurus kepada serangan peribadi dan ini amat mengecewakan rakyat biasa. Rakyat biasa menaruh harapan tinggi untuk meningkatkan hak dan keperluan asas mereka, tetapi kedua-dua Barisan dan Pakatan tidak mewakili hasrat kelas pekerja dan anak muda.

Beberapa pihak berhaluan Kiri, aktivis sosial dan juga pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja menaruh harapan kepada Pakatan di mana apabila ianya berkuasa, hak dan ruang demokrasi yang lebih baik boleh dimenangi. Jika Pakatan membentuk kerajaan persekutuan, ada kemungkinan perubahan-perubahan dan hak demokratik tertentu dilaksanakan atas desakan kelas pekerja dan rakyat biasa yang menuntut perubahan. Tetapi, ekonomi Malaysia yang berlandaskan kepada ekspot bergantung kepada ekonomi pasaran bebas, yang bermakna kerajaan yang pro-kapitalis juga akan didominasi dan ditekan untuk tunduk kepada keperluan-keperluan keuntungan sistem kapitalisma. Dalam keadaan sedemikian, kapitalis-kapitalis selalunya lebih berkuasa daripada kerajaan itu sendiri, maka hak-hak demokratik tertentu yang diperolehi pada suatu peringkat masa boleh diambil balik jika ianya tidak selaras dengan sistem keuntungan kapitalisma.

Baru-baru ini, beberapa pemimpin HINDRAF melancarkan parti untuk memperjuangkan hak masyarakat India selepas mempertikaikan bahawa Pakatan gagal untuk memperjuangkan hak masyarakat India yang tertindas. Mungkin mereka mempunyai hujah yang berasas, tetapi melancarkan sebuah lagi parti perkauman tidak akan menyelesaikan isu-isu sosial dan ekonomi kelas pekerja dan rakyat miskin masyarakat India.

Kebanyakan isu yang dipertengahkan oleh HINDRAF, seperti golongan India dianaktirikan daripada pembangunan adalah berpunca daripada polisi-polisi pro-kapitalis dan agenda neo-liberal kerajaan BN, dan Pakatan pula gagal untuk menggariskan penyelesaian ke atas isu-isu tersebut. Kebanyakan isu-isu tersebut juga sedang dialami oleh kelas pekerja dan anak muda daripada masyarakat Melayu dan Cina. Kesimpulannya, kelas pekerja dan anak muda tanpa mengira kaum dan agama sedang berhadapan dengan 'musuh' yang sama, iaitu kezaliman sistem kapitalisma.

Justeru itu, pembinaan parti atau organisasi politik dengan posisi bebas berlandaskan kepada kelas pekerja adalah perlu untuk menyatukan pekerja, anak muda, pelajar dan golongan lain yang tertindas akibat politik pro-kapitalisma. Hanya inilah satu-satunya pendekatan untuk memperjuangkan hak dan membina masa depan kita. Semakin ramai warga pekerja dan anak muda yang sedar telah hilang harapan dengan Pakatan dengan agenda pro-kapitalisnya dan menyokong idea untuk membangunkan organisasi politik alternatif untuk kelas pekerja dan anak muda. Alternatif ini seharusnya berlandaskan kepada idea dan perspektif sosialis sebagai penyelesaian kepada kezaliman sistem kapitalisma. Inilah satu-satunya langkah ke hadapan untuk membina masyarakat yang adil, demokratik dan saksama :- masyarakat sosialis untuk memenuhi keperluan majoriti-kelas pekerja, anak muda dan golongan tertindas-tanpa mengira kaum, agama dan jantina.

 
 

No comments: