Saturday 1 August 2009

ISA- AKTA ZALIM KELAS PEMERINTAH


Semenjak perjuangan kelas bertapak dimuka bumi ini, 10000 tahun lalu, berbagai undang-undang atau pendekatan zalim telah dipergunakan oleh kelas pemerintah untuk mempertahankan kuasa pemerintahannya supaya tidak digugat oleh rakyat biasa. Di zaman perhambaan, tuan-tuan hamba dengan kejam mengongkong hamba-hamba supaya mereka mematuhi arahan tuan-tuan hamba. Manakala di era feudalisma, golongan pemerintah - raja, tuan-tuan tanah dan pemimpin-pemimpin gereja- menggunakan berbagai undang-undang dan fatwa untuk mengerah petani-petani miskin mengerjakan tanah-tanah yang sama sekali tidak dimiliki oleh golongan miskin ini.

Manakala sistem kapitalisma yang bermaharajalela semenjak 500 tahun yang lalu, dengan sewenang-wenangnya mengeksploitasi warga pekerja dan rakyat biasa untuk keuntungan maksima. Maka hak dan demokrasi golongan tertindas hanya akan diperolehi melalui perjuangan menentang golongan yang menindas. Perjuangan kelas ini akan berterusan sehingga adanya golongan tentindas dan golongan menindas.

ISA untuk mempertahankan kuasa

Akta atau undang-undang yang diperkenalkan oleh kelas pemerintah adalah semata-mata untuk memperkasakan kuasa dan mempertahankan keistimewaan yang dikecapi oleh mereka. ISA- Akta Keselamatan Dalam Negeri- adalah salah satu akta zalim yang bermatlamat untuk memperkukuhkan kuasa kapitalisma di Malaysia. Ketika darurat 1948 hingga 1960, British dengan sokongan pemodal-pemodal antarabangsa melancarkan penahanan tanpa bicara ke atas ahli-ahli Parti Komunis Malaya (PKM). PKM yang berlandaskan kepada idea-idea Maoisma dan Stalinisma, telah menggunakan taktik perang gerila untuk mendapatkan kemerdekaan daripada kerajaan British di Malaya. Ketika itu, British berjaya menggunakan Ordinan Darurat untuk melemahkan PKM. Manakala kelemahan dan kekeliruan dalam perspektif perjuangan PKM telah menyisihkan PKM daripada warga pekerja dan rakyat biasa dan ini seterusnya memperkukuhkan kuasa pemerintah.

Selepas merdeka pula, kerajaan Perikatan (dan seterusnya BN) telah mengikut pedoman yang ditunjukkan oleh British untuk mempertahankan kuasanya dengan melancarkan berbagai-bagai akta dan undang-undang, dan ISA adalah salah satunya. ISA yang telah dipertahankan oleh kerajaan Barisan Nasional semenjak 1960 semata-mata untuk memperkukuhkan kuasa pemerintahannya. Semenjak itu akta 'Ikut Suka Hati' ini telah dipergunakan untuk menahan sesiapa sahaja yang dianggap menggugat kuasa pemerintahan BN. Ini termasuk pemimpin pekerja dan kesatuan sekerja, pemimpin parti pembangkang dan pelajar yang memperjuangkan hak demokrasi dan hak asasi kemanusian yang lain. Selain daripada ISA, akta-akta lain seperti Akta Kolej dan Universiti (AUKU), Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan, Akta Polis, Ordinan Darurat, Akta Buruh, Akta Kesatuan Sekerja dan lain-lain telah digunakan untuk melumpuhkan hak dan demokrasi tulen.

Undang-undang Kapitalisma

Golongan kapitalis nasional dan antarabangsa yang mengongkong sebahagian besar ekonomi Negara dan mengaut keuntungan maksima, sehingga kini amat selesa dengan peranan Kerajaan BN yang terus menerus mempertahankan Sistem Pasaran Bebas dan agenda-agenda Kapitalisma. Manakala warga pekerja dan rakyat biasa yang diancam oleh agenda-agenda Kapitalisma seperti neo-liberalisma pula, tidak dapat menikmati keperluan-keperluan asas mereka dengan sepenuhnya disebabkan kerakusan untuk memaksimakan keuntungan oleh golongan kapitalis.

Dengan perkataan lain, kerajaan BN hanyalah 'pak turut' golongan kapitalis tersebut. Segala undang-undang atau polisi-polisi yang dilancarkan oleh kerajaan BN adalah semata-mata untuk memenuhi kehendak golongan kapitalis tempatan atau antarabangsa. Justeru itu, kerajaan BN mempergunakan akta-akta kejam ini untuk memperkukuhkan kuasa mereka sekaligus mempertahankan agenda-agenda kapitalisma.

Walaubagaimanapun, pemodal-pemodal nasional dan antarabangsa hanya akan menyokong BN jika ianya dapat mempertahankan 'demokrasi kapitalisma' yang dicanang-canangkan selama ini. Ini seperti politik di Amerika, jika Parti Republican hilang sokongan rakyat, maka kelas kapitalis akan mendokong Parti Demokrat, dan jika parti Demokrat pula hilang sokongan rakyat, maka parti Republikan pula akan dimanja-manjakan. Asasnya kedua-dua parti Demokrat dan Republican adalah penyokong kuat Sistem Pasaran Bebas dan kapitalisma di Amerika.

Oleh itu, jika BN kehilangan sokongan majoriti rakyat, kemungkinan besar pemodal-pemodal nasional dan antarabangsa di Malaysia akan mengalihkan sokongan mereka kepada Pakatan jika ianya mendapat sokongan majoriti rakyat. Ini kerana Pakatan Rakyat juga adalah pendokong setia Sistem Pasaran Bebas Kapitalisma. Ini bermakna Pakatan juga terpaksa menjadi 'pak turut' baru kapitalisma di Malaysia jika ianya menjadi parti pemerintah. Ketika itu, hak dan demokrasi yang sedang dilaung-laungkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan akan terencat jika iannya menggugat agenda-agenda kapitalisma untuk mengaut keuntungan maksima.

Sosialisma untuk demokrasi tulen

Manakala golongan yang tertindas di bawah sistem kapitalisma ini terpaksa memperjuangkan untuk mempertahankan hak mereka yang semakin terhakis. Kemenangan-kemenangan hak dan demokrasi yang diperolehi oleh warga pekerja, anak muda dan rakyat biasa adalah melalui perjuangan kelas tertindas tersebut. Tetapi selagi ada sistem kapitalisma hak dan demokrasi yang telah dimenangi akan dicabuli oleh pemerintah apabila kapitalisma tergugat.

Maka perjuangan untuk demokrasi tulen dan pemansuhan akta zalim seperti ISA haruslah dilakukan bersama-sama dengan perjuangan terhadap sistem kapitalisma. Ini kerana, penindasan dan akta-kata kejam ini adalah seperti 'isi dan kuku' sistem kapitalisma. Alternatif kepada sistem kapitalisma adalah sistem sosialis yang berlandaskan demokrasi tulen dan sistem ekonomi terancang. Sistem sosialis menitikberatkan keperluan-keperluan majoriti warga pekerja, anak muda, pelajar dan golongan tertindas yang lain. Justeru itu, perjuangan kearah membentuk sistem sosialis di Malaysia dan serantau/sedunia adalah penting untuk membina kesejahteraan umat manusia dan alam persekitaran di Malaysia dan sejagat.


 

2 comments:

BN Bangsa Najis said...

The easiest way to overthrow BN Bangsa Najis govt is to mobilize all rakyat to print money.

Ravi CWI said...

Print money to produce more money will not be solving the fundemental problems of the working class, youths, students and the oppressed as long as the oppressor still there. The system of capitalism has to be changed.